Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Permainan kampung antara kegiatan menarik pupuk pemahaman pelajar sempena Hari Keharmonian Kaum

Tahun ini genap enam dekad sejak peristiwa rusuhan kaum dahsyat yang meletus di Singapura pada 21 Julai 1964.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Tahun ini genap enam dekad sejak peristiwa rusuhan kaum dahsyat yang meletus di Singapura pada 21 Julai 1964.

Bagi memperingati peristiwa itu, Kementerian Pendidikan (MOE) menamakan tarikh tersebut sebagai Hari Keharmonian Kaum sejak 1997.

Pada tahun ini, sekolah-sekolah di Singapura menganjurkan pelbagai aktiviti bagi memperingatinya pada Jumaat (19 Jul).

AKTIVITI PERMAINAN KAMPUNG DIDIK ASPEK BUDAYA SATU SAMA LAIN

Di Sekolah Rendah Endeavour misalnya, pelbagai acara menarik disajikan sepanjang minggu ini.

Dengan kerjasama tenaga pengajar serta Kumpulan Sokongan Ibu Bapa, ia mengadakan pameran pelbagai jenis permainan kampung.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Para pelajar juga berpeluang menguji ketangkasan mereka menerusi lapan jenis permainan tradisional seperti batu seremban, 'capteh' dan 'kuti-kuti'.

Menerusi permainan yang seronok ini, para pelajar diharap dapat mempelajari aspek budaya kaum lain dan saling menghargai.

"Pada Hari Keharmonian Kaum, sekolah telah menekankan kepada pelajar tentang pentingnya mengekalkan keharmonian itu kerana Singapura adalah negara yang mempunyai masyarakat yang pelbagai kaumnya dan budaya. Jadi penting untuk kita menghargai dan menunjukkan rasa hormat di antara kaum ini," kata guru Bahasa Melayu, Cikgu Norashikin Mohd Noor kepada wartawan Syawal Yusoff.

Menurut pihak sekolah, kegiatan tersebut akan diteruskan hingga Isnin (22 Jul).

(Gambar: Syawal Yusoff)

Bahkan usaha sebegitu bukan sahaja diadakan setahun sekali.

Di samping subjek Pendidikan Perwatakan dan Kewarganegaraan (CCE), sekolah di Admiralty itu turut menganjurkan pelbagai inisiatif lain bagi memperkukuhkan lagi pemahaman budaya dalam kalangan pelajar.

"Untuk memperkayakan lagi pengalaman para pelajar, mereka juga telah mengikuti permainan tradisional etnik dan juga persembahan tarian. Bukan itu saja usaha kami, kami juga telah mengadakan minggu bahasa ibunda di mana mereka mengikuti aktiviti-aktiviti yang mendekatkan mereka lagi dengan kraf masyarakat-masyarakat yang ada di Singapura seperti mencipta tanjak tradisional Melayu. Kemudian, kita juga ada mempelajari tentang ‘toranam’ daripada masyarakat India dan juga untuk membuat kipas yang terkenal dalam budaya Cina," tambah Cikgu Norashikin.



SIKAP HORMATI BUDAYA MASYARAKAT LAIN PERLU DITERAP DARI KECIL

Sambutan pada pagi tadi turut diserikan dengan kehadiran Menteri Kedua Pendidikan, Dr Mohamad Maliki Osman.

Semasa kunjungannya, beliau sempat beramah mesra dan menyertai para pelajar mencuba permainan berbeza.

Dr Maliki yang juga Menteri Kedua Ehwal Luar turut meluangkan masa untuk menyertai sebuah sesi perbincangan bersama para pelajar darjah enam di sekolah itu.

Perbincangan tersebut memberi pencerahan tentang stereotaip perkauman dan bagaimana untuk bersikap lebih memahami dan menghormati budaya seseorang.

(Facebook/Dr Maliki Osman)

Beliau berharap, ianya dapat memupuk sikap empati dan meningkatkan penghargaan terhadap budaya masyarakat lain dalma kalangan golongan muda.

"Kita tahu bahawa kadang-kadang anak-anak muda kita kurang sensitif tentang apa yang mereka katakan. Mereka mungkin katakan ini merupakan pergaulan biasa sahaja tetapi kadang-kadang kata-kata sedemikian akan menyinggung perasaan dan meningkatkan ketegangan di antara mereka.

"Jadi yang penting ialah kita menerapkan nilai positif memahami bahawa setiap orang mempunyai perasaan yang harus dihargai dan dihormati dan diberi peluang untuk meluahkan perasaan tersebut. Ini memberi peluang kepada anak-anak kita memahami bahawa kita harus menghormati antara satu sama lain dari permulaan, dari usia muda, usia kecil, mereka tahu bahawa mereka mempunyai perasaan yang boleh diluahkan dan kemudian perasaan tersebut dihargai, dihormati oleh kawan-kawan masing-masing," kata Dr Maliki.

(Gambar: Syawal Yusoff)

PELAJAR LEBIH FAHAMI TENTANG KESAN STEREOTAIP PERKAUMAN

Sesi sepanjang satu jam itu juga dilakukan secara serentak di keenam-enam kelas darjah enam dan dipimpin oleh guru bilik darjah masing-masing.

Bagi pelajar Umar Rayyan Mohd Farouk, 12 tahun, sesi sebegini membolehkannya untuk lebih memahami dan prihatin dengan masyarakat lain.



"Pelajaran ini telah membantu saya menyedari bahawa setiap orang adalah unik. Walaupun kita berasal daripada kumpulan yang sama, kita istimewa dengan cara-cara kita sendiri. Kita perlu mengelakkan diri daripada stereotaip. Kata-kata yang saya gunakan dengan kawan-kawan saya haruslah sopan dan tidak menyakiti hati sesiapa.

"Apabila kita belajar tentang tradisi dan budaya kawan-kawan kita, kita belajar untuk menghormati perbezaan. Perbezaan kaum tidak perlu membuat kita rasa kekok untuk bergaul. Kita perlu menghormati satu sama lain termasuklah menghargai budaya," kata Umar.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Sementara itu, acara memperingati Hari Keharmonian Kaum di Maktab Rendah St. Andrews pula disertai Menteri Pendidikan Chan Chun Sing.

Beliau menekankan peranan yang boleh dimainkan golongan belia serta perlunya untuk memanfaatkan kekuatan silang budaya dan keluar dari zon selesa untuk memahami perspektif berbeza.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan