Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Permainan kad mesra keluarga tertumpu kepada kehidupan lebih sihat dilancarkan

Anggaran Waktu Membaca:
Permainan kad mesra keluarga tertumpu kepada kehidupan lebih sihat dilancarkan

(Gambar: Pejabat Kawasan Undi Marsiling)

Diterbitkan : 03 Sep 2022 11:21PM Dikemas Kini : 03 Sep 2022 11:22PM

SINGAPURA: Pandemik COVID-19 menyaksikan lebih ramai warga Singapura mengambil berat tentang kesihatan dan kesejahteraan mental mereka. 

Malah, ia juga menjadikan sesetengah penyakit - seperti radang paru-paru atau pneumonia - satu ancaman lebih serius kepada warga emas serta individu yang menghidapi penyakit kronik. 

Justeru, Kawasan Undi Marsiling dan RSVP Singapore berganding bahu untuk melancarkan sebuah permainan kad mesra keluarga pertama seumpamanya yang memberi tumpuan kepada kehidupan lebih sihat.

Demikian menurut Pejabat Kawasan Undi Marsiling dalam satu kenyataan media pada Sabtu (3 Sep).

Permainan Kad Silang Generasi - dimulakan oleh para relawan akar umbi Marsiling - memaparkan beberapa mercu tanda utama Marsiling dan ia sesuai untuk dimainkan secara berkumpulan sebagai sebuah keluarga mahupun dengan rakan-rakan masyarakat. 

Ia dilancarkan pada Sabtu (3 Sep) oleh Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Tenaga Manusia Zaqy Mohamad semasa karnival 'Live the Life' di Marsiling.

(Gambar: Pejabat Kawasan Undi Marsiling)

Menerusi permainan itu, ia diharapkan rakyat Singapura dapat mempelajari tentang cara bagaimana untuk hidup bersama COVID-19 dengan lebih baik lagi melalui permainan yang menarik lagi interaktif. 

Inisiatif tersebut juga menyokong inisiatif nasional 'Healthier SG' dalam usaha membangunkan sebuah ekosistem jagaan kesihatan yang lebih baik di samping mendapatkan rakan-rakan kongsi masyarakat serta sosial untuk menyokong matlamat kesihatan penduduk Singapura. 

"Pandemik COVID-19 membuka mata kita tentang betapa kita harus menyesuaikan diri kepada keadaan kesihatan yang berubah-ubah dan untuk menjaga kesejahteraan serta kesihatan diri sendiri," kata Encik Zaqy yang juga penasihat akar umbi GRC Marsiling-Yew Tee.

"'Live the Life @ Marsiling' adalah cara kami menyemarakkan usaha seluruh masyarakat untuk mendidik penduduk kami tentang peri penting jagaan kesihatan pencegahan seperti makan dengan sihat, kerap bersenam, menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala dan juga mendapatkan suntikan vaksinasi tahunan mereka," kata Encik Zaqy. 

Di bawah inisiatif tersebut, para pemimpin masyarakat dan warga emas akan dilatih sebagai Duta Jagaan Kesihatan Pencegahan untuk mewujudkan sebuah sistem sokongan yang kukuh dalam kalangan golongan tua. Ini selain mengalakkan mereka supaya mengamalkan gaya hidup lebih sihat menerusi aplikasi-aplikasi yang mudah digunakan seperti HealthHub dan Healthy 365 untuk memantau kemajuan yang dikecapi. 

(Gambar: Pejabat Kawasan Undi Marsiling)
Sumber : BERITA Mediacorp/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan