Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perlumbaan jong akan kembali warnai perairan SG setiap tahun!

Encik Abdul Aziz Haji Ismail, 78 tahun, tidak dapat menyembunyikan rasa terujanya setiap kali berbicara tentang jong.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Encik Abdul Aziz Haji Ismail, 78 tahun, tidak dapat menyembunyikan rasa terujanya setiap kali berbicara tentang jong.

Manakan tidak, bekas penduduk Pulau Brani berusia 78 tahun itu menghabiskan banyak masa mudanya bermain jong.

"Setiap keluarga akan ada satu jong. Pulau Brani dengan Belakang Mati, menghadap sama-sama. Bila mana kita ada perlumbaan jong, kita mula dari tengah, kita lepaskan jong menghadap Pulau Brani. Kita dahulu tidak ada waktu tertentu. Bila-bila masa inginkan ada perlumbaan, kita buat, antara kawan-kawan di pulau," kongsi Encik Aziz kepada wartawan Nurhelmy Hakim.

Jong adalah perlumbaan perahu tradisional di Selat Singapura, Riau-Lingga, dan Selat Johor diilhamkan dari sampan panjang, perahu katir, dan kolek.

Pada tahun 50-an dan 60-an, perlumbaan jong atau kolek kerap diadakan di kawasan Katong, Siglap dan Pasir Panjang.

Selain mencerminkan kehebatan orang Melayu dalam seni bina kapal, ia juga menonjolkan kepakaran mereka dalam ilmu pelayaran.

"Jong diperbuat daripada kayu paling ringan, kayu Jelutong. Sebenarnya ia bukan untuk jong, tetapi untuk pelampung tangkap ikan. Jong kita akan berlanggar antara satu sama lain. Jong tidak ada pengemudi, terlalu laju sehingga seakan-akan terbang, itu yang seronok bermain jong," jelas beliau.

GOLONGAN MUDA LESTARIKAN WARISAN SUKAN PERLUMBAAN JONG

Anak-anak dan cucu-cucu Encik Aziz kini menunjukkan minat yang mendalam untuk memelihara warisan sejarah ini.

Anaknya, Cik Normini Abdul Aziz berkata: "Saya dapat tahu tentang jong daripada ayah saya. Saya rasa sedih juga kerana saya tahu ramai yang tidak meletakkan nilai pada jong lagi. Walaupun sesetengah orang memiliki jong, tetapi mereka tidak menggunakan dan sekadar menyimpannya saja."

"Saya dapat melihat kasih sayang dalam jong, ada banyak ukiran, banyak unsur tradisional. Ia bukan sekadar satu sukan sahaja bahkan pusaka dan tradisi yang patut kita galakkan terutama di seluruh Nusantara. Inilah permainan kita," ujar Cik Normini.
(Gambar: BERITA Mediacorp/Hakim Irwan)
Cucu Encik Aziz pula, Yusuf Iskandar berkata: "Saya selalu tertarik mendengar kisah-kisah datuk saya di pulau, kehidupan berbezanya dahulu. Apa yang saya suka tentang jong ini adalah ia tradisional tetapi ada juga elemen percubaan di mana kita boleh ke laut, bermain dengan jong itu sendiri."

Encik Aziz dan keluarganya juga sering menyaksikan perlumbaan jong di Desaru dan Pontian, Johor.

Namun pada Disember 2024, keluarga itu mendapat peluang untuk mengikut jejak Encik Aziz untuk berlumba jong.

PERLUMBAAN JONG DISERTAKAN DALAM PESTA SUKAN 2024, AKAN JADI ACARA TAHUNAN

Pada Disember lalu, Encik Abdul Aziz sekeluarga menyertai Pesta Sukan 2024, anjuran bersama Persekutuan Sukan Layar Singapura (SSF) dan pelestari sukan jong, Encik Fawzi Nasir.

Perlumbaan jong, yang pernah menjadi sebahagian daripada Pesta Sukan antara 1960-an hingga 1980-an, dihidupkan semula beberapa tahun lalu.

Untuk menarik minat masyarakat, Encik Fawzi mengadakan klinik ringkas sebelum perlumbaan.

"Kursus itu sebagai pengenalan untuk umum, tentang cara bentuk jong direka, mengapa ia dibina sebegitu, sejarah, tentang bagaimana untuk mengendalikannya. Ada lagi rahsia jong sebab jong ini belayar secara lurus," jelas Encik Fawzi.

Acara di Pantai East Coast itu menarik hampir 30 peserta tempatan dan antarabangsa.

"Untuk Galeri Jong Pontian, ini kali pertama bermain di Singapura, selalunya kita bermain di peringkat antarabangsa," kata peserta dari Malaysia, Encik Mohd Riduwan Efendi.

Kumpulan Galeri Jong Pontian muncul juara bagi edisi perlumbaan jong itu.

Peserta dari Indonesia, Encik Basir, turut berkongsi pengalamannya: "Perbezaan antara Singapura dan Indonesia, kita bermain jong di Indonesia, kita tidak pakai bot, kita dayung sahaja. Itu sahaja. Soal jong memang tidak ada beza."

Beliau menambah, "Kami sangat berharap pemerintah Singapura dibuatkan semasa musim angin, di Singapura kira-kira bulan Ogos. Itu waktu baik untuk adakan acara jong."

Golongan muda juga mula menunjukkan minat terhadap sukan tradisional ini, termasuk mereka yang bukan berbangsa Melayu.

"Saya pernah melihat di buku-buku sejarah ada satu acara yang dipanggil Pesta 5S di mana ada perlumbaan jong di sekitar kepulauan selatan Singapura. Mereka menganjurkan acara sukan laut sebegini dan saya berharap semangat kesukanan sebegitu dapat dilihat lagi di Singapura," kata seorang pelajar tempatan, Elizabeth Tan Junzhen.

Berdasarkan maklum balas positif daripada peserta dan SSF, perlumbaan jong akan disertakan ke dalam Pesta Sukan setiap Ogos bermula tahun ini.

Penganjur turut berharap dapat menghidupkan semula sukan air dan aktiviti tepi pantai lain, seperti memanjat pokok pinang.
Sumber : BERITA Mediacorp/HK/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan