Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perlumbaan 'Amazing Read @ Heartlands' pupuk minat membaca di 11 bandar M³ secara serentak

Buat julung-julung kalinya, acara perlumbaan 'Amazing Read @ Heartlands' diadakan secara serentak di 12 lokasi di 11 bandar M³ anjuran Yayasan MENDAKI pada Ahad (16 Okt)

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Buat julung-julung kalinya, acara perlumbaan 'Amazing Read @ Heartlands' diadakan secara serentak di 12 lokasi di 11 bandar M³ anjuran Yayasan MENDAKI pada Ahad (16 Okt)

12 penasihat pertubuhan akar umbi dan anggota parlimen Melayu juga ikut serta dalam sesi bercerita buku kanak-kanak secara serentak di lokasi masing-masing.

Mereka membacakan buku Bahasa Inggeris berjudul 'The Crane and the Crab' yang ditulis oleh mantan Presiden Singapura, mendiang Encik SR Nathan.

Acara itu diadakan sempena bulan 'Raikan Ilmu' dan sambutan ulang tahun MENDAKI yang ke-40.

MASAGOS SERU GOLONGAN BAPA MEMBACA BUKU KEPADA ANAK-ANAK

Di acara di Hab Tampines Kita misalnya, seramai 200 orang termasuk kanak-kanak dan orang dewasa berbilang kaum hadir seawal 10 pagi untuk menyertai acara tersebut.

Mereka terdiri daripada mereka yang pernah menghadiri program-program MENDAKI seperti KelasMateMatika (KMM) dan juga orang awam.

(Gambar: Yayasan MENDAKI)

Selepas selesai mengikuti sesi membaca dengan Menteri Bertanggungjawab Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli, para peserta ditugaskan melakukan tiga aktiviti yang berkaitan dengan cerita yang disampaikan.

Di samping menguji daya pemikiran, ketangkasan serta kreativiti mereka, aktiviti-aktiviti tersebut juga bertujuan memupuk hubungan kekeluargaan.

"Kita harus memikirkan sentiasa bagaimana untuk mengeratkan hubungan antara anggota keluarga dari kecil, dari awal lagi dan dengan menghadiri program-program seperti ini masa anak-anak mereka kecil, nanti sudah mereka besar nanti mereka akan ingat perjalanan hidup mereka bersama ibu ayah dan terbinanya hubungan yang terbaik dari awal itu, mereka akan insya-Allah menjalani hubungan keluarga yang baik," kata Encik Masagos, yang juga Pengerusi, MENDAKI.

Beliau juga menekankan kepentingan peranan ibu bapa dalam memupuk minat membaca dalam anak-anak.

"Kita lihat logo MENDAKI, itu ada 'Iqra', iaitu 'membaca', jadi bacalah dan program seperti ini di mana kita ingin menitikberatkan kebolehan dan minat untuk membaca adalah satu daripada sikap dan kebolehan yang sangat penting ditanam pada anak-anak kita dan siapa lagi kalau tidak ibu bapa?" kata Encik Masagos.

"Saya juga menyeru kepada para bapa supaya mengambil berat, membaca buku bersama anak-anak mereka," tambahnya.

KELUARGA PESERTA GIGIH SEMAI MINAT MEMBACA DI RUMAH

Antara ibu bapa yang turut hadir bagi memupuk minat membaca bersama anak-anak ialah Encik Azri Zulfarhan Kamsim, 35 tahun.

Bapa enam orang anak itu berpendapat acara tersebut dapat memberi anak-anaknya pendedahan kepada genre cerita yang berbeza-beza.

"Mungkin ada yang bersifat fiksyen, fantasi, pengembaraan atau kekeluargaan yang dalam kisah-kisah yang berlainan daripada cerita itu lalu kita gunakan imaginasi mereka untuk memupuk itu minat dalam bidang-bidang yang berlainan," kata Encik Azri, yang juga seorang pensyarah adjung.

Selain membaca, Encik Azri juga kerap membawa anak-anaknya yang berusia antara setahun hingga lapan tahun untuk belajar dengan meneroka alam sekitar.

"Biasanya kita akan ada aktiviti di luar seperti kalau kita ke kebun nanti nampak lain-lain haiwan. Lepas itu kita akan pergi online ataupun cari buku ensiklopedia untuk melihat haiwan-haiwan berlainan. Nanti saya akan suruh mereka cari kenapa warnanya begini. Jadi dari situ ada lain-lain aktiviti yang kita boleh teroka, mereka pun ada minat ingin tahu," tambahnya.

Bagi Cik Nirna Sarnin, 41 tahun yang menyertai perlumbaan tersebut bersama ibu dan dua puterinya berusia empat dan enam tahun, beliau terdorong untuk mempelbagaikan lagi rutin membaca dengan anak-anaknya.

"Sebalik daripada membuka buku untuk membaca, mungkin akan ada lagi aktiviti yang telah kami pelajari daripada MENDAKI dan saya boleh meningkatkan lagi dalam cara kita baca hari-hari yang kita buat," kata Cik Nirna, seorang ejen hartanah.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Di akhir acara, tiga keluarga yang meraih mata keseluruhan tertinggi dinobatkan sebagai pemenang.

Keluarga Cik Nirna muncul sebagai juara manakala keluarga Encik Azri pula menduduki tempat ketiga.

Masing-masing membawa pulang baucar bernilai antara S$100 hingga S$200 dan kit sumber pembelajaran.

Secara keseluruhannya, seramai 1,000 peserta menyertai acara ini di kesemua 12 lokasi.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan