Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perlukah matikan telefon bimbit ketika berada dalam penerbangan?

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Sesiapa yang pernah menaiki pesawat, mungkin pernah terlupa untuk mematikan telefon bimbit atau meletakkan telefon bimbit pada mod pesawat ketika pesawat sedang bersiap sedia untuk berlepas atau mendarat.

Namun, nahas pesawat di Nepal pada Ahad (15 Jan) yang meragut lebih 70 nyawa, secara tidak langsung memberi tumpuan kepada isu tersebut.

Seorang penumpang didapati sedang merakam video yang disiarkan secara langsung ketika berada di kapal terbang tersebut, hanya beberapa saat sebelum nahas itu berlaku.
Ini mencetuskan spekulasi bahawa penggunaan telefon tersebut mungkin menyebabkan gangguan fungsi peralatan penerbangan tersebut.

Bolehkah penggunaan telefon bimbit menjejas fungsi peralatan pesawat? Jika ya,bagaimana?

Mediacorp bertanya kepada pakar penerbangan dan meneliti dasar-dasar penerbangan yang berbeza berhubung telefon bimbit.

Perunding keselamatan penerbangan Michael Daniel berkata bahawa teknologi moden sudah berkembang ke tahap di mana isyarat daripada telefon bimbit tidak begitu menjejas fungsi pesawat.

"Pesawat moden, rangkaian wayarnya kini jauh lebih baik. Ia sebenarnya dilengkapi rangkaian wayar yang mengurangkan kesan HIRF (lapangan radiasi keamatan tinggi)," kata Encik Daniel, yang menganggotai panel pakar bagi Persatuan Industri Aeroangkasa (Singapura).

Para penumpang juga tidak duduk berhampiran dengan tempat sistem pesawat, yang terletak di dek penerbangan atau kokpit. Oleh itu, sebarang penggunaan telefon bimbit tidak mungkin menyebabkan gangguan, katanya.

Sekalipun demikian, peralatan pesawat direka untuk mempunyai tahap "imuniti" tertentu terhadap isyarat yang dikeluarkan oleh telefon dan peranti elektronik lain, kata seorang pakar kejuruteraan Institut Teknologi Singapura

Telefon bimbit juga perlu mematuhi peraturan dan piawai yang mengehadkan kekuatan pengeluaran isyarat peranti-peranti itu, kata Profesor Madya Neelakantam Venkatarayalu.

MENGAPA MASIH PERLU MATIKAN TELEFON BIMBIT ATAU GUNA MOD PESAWAT?

Menurut Encik Daniel, langkah mematikan telefon bimbit atau meletakkannya pada mod pesawat dapat mengurangkan lapangan radiasi keamatan tinggi, terutama sekali semasa fasa penting penerbangan, iaitu ketika pesawat sedang bersiap sedia untuk berlepas atau mendarat.

Ini memandangkan fasa tersebut memerlukan sensitiviti peralatan pesawat.

"Lebih ramai penumpang mematikan (peranti mereka) dan mengurangkan kesan HIRF, lebih baik adalah untuk avionik pesawat."

Sekalipun demikian, sebab lebih utama di sebalik mengarahkan para penumpang untuk mematikan telefon mereka adalah bagi memastikan para penumpang memberi tumpuan kepada anak kapal dan agar tumpuannya tidak terganggu ketika taklimat keselamatan sedang dikendalikan.

APA BEZA GUNA TELEFON BIMBIT SEMASA BERLEPAS DAN MENDARAT BERBANDING KETIKA PESAWAT DI LANDASAN?

Telefon bimbit yang tidak dimatikan atau ditetapkan pada mod pesawat, akan menghantar isyarat suar secara aktif, mencari stesen pangkalan atau menara sel dalam usaha untuk menyambung ke rangkaian penyedia khidmat telefon bimbit.

Pada ketinggian yang agak tinggi, telefon tidak dapat dihubungkan. Sebaliknya, semasa berlepas dan mendarat, telefon mungkin akan berhubung dengan menara rangkaian khidmat telefon bimbit.

LEBIH BAIK MATIKAN TELEFON DARIPADA GUNA MOD PESAWAT?

"Hakikat mengenai mod pesawat adalah ia tidak semestinya mematikan Bluetooth atau Wi-Fi, ia hanya mengurangkan jumlah isyarat pada peranti," kata Encik Daniel.

Mematikan telefon akan mengehadkan mana-mana isyarat sepenuhnya.

APAKAH DASAR SYARIKAT PENERBANGAN BERHUBUNG PENGGUNAAN TELEFON BIMBIT?

Mediacorp meninjau dasar-dasar penerbangan bagi berpuluh-puluh syarikat penerbangan. Kesemuannya memerlukan telefon bimbit diletakkan pada mod pesawat semasa penerbangan.

Sementara itu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) membenarkan penggunaan telefon bimbit di bawah keperluan tertentu dan mengikut dasar syarikat penerbangan.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan