'Perlu terima' identiti nasional mungkin bukan yang paling penting bagi kebanyakan rakyat SG: SM Lee
Walaupun identiti nasional semakin kukuh apabila generasi rakyat Singapura melalui pelbagai krisis, ia mungkin bukan satu-satunya atau bahagian paling penting bagi ramai rakyat Singapura, kata Menteri Kanan Lee Hsien Loong pada Selasa (9 Sep).
Menteri Kanan Lee Hsien Loong di forum tahunan Universiti Nasional Singapura pada 9 September 2025. (Gambar: MDDI)
Beliau berkata aspek lain seperti bangsa dan agama juga membentuk bahagian penting dalam kehidupan masyarakat, dan perkara itu perlu diakui.
“Bagi ramai orang, menjadi rakyat Singapura itu penting, tetapi ia mungkin bukan bahagian paling penting dalam identiti mereka, dan kita perlu menerima bahawa itulah hakikat manusia,” kata Encik Lee di forum tahunan Universiti Nasional Singapura (NUS).
Forum Menteri Kent Ridge 2025, yang menumpukan pada topik identiti nasional Singapura, dikendalikan oleh Profesor Madya Leong Ching dari NUS, dan dihadiri kira-kira 800 penuntut serta kakitangan akademik daripada pelbagai universiti autonomi tempatan, institusi pengajian tinggi dan prauniversiti.
Satu tinjauan terbaharu oleh Institut Kajian Dasar (IPS) menunjukkan bahawa walaupun kewarganegaraan secara konsisten dianggap sebagai bahagian paling penting identiti rakyat Singapura, semakin ramai yang melihat agama sebagai elemen utama dalam kehidupan mereka.
"Saya rasa saya boleh katakan bahawa identiti nasional kini lebih kukuh, tetapi pada masa sama ia bukanlah satu-satunya kelompok yang kita miliki kerana setiap orang mempunyai lapisan identiti yang berbeza," kata SM Lee.
Selain bangsa dan agama, bahasa juga penting, terutama bagi generasi lebih tua. Beliau menambah bahawa pandangan politik dan orientasi seksual turut membentuk pergaulan sosial serta perspektif dunia seseorang.
“Jadi semua ini adalah aspek lain yang perlu kita sedar bahawa kita adalah satu rakyat, tetapi kita tidak serupa sepenuhnya, dan ada garis pemisah yang perlu kita jaga.”
Apabila ditanya sama ada globalisasi atau perpecahan dalaman merupakan cabaran lebih besar kepada identiti nasional, Encik Lee berkata perkembangan global dan “kuasa luar yang kuat” akan menarik negara ke pelbagai arah dari semasa ke semasa.
“Tugas kita adalah menentangnya dan sentiasa ingat: ‘Ya, saya Muslim, atau saya orang Cina, atau saya orang India, tetapi saya juga rakyat Singapura.’”
Beliau menegaskan walaupun generasi muda kini berdepan pilihan berbeza berbanding generasi lebih tua, menjadi rakyat Singapura tetap merupakan keputusan “berdasarkan pilihan dan keyakinan”.
Analogi ini datang daripada salah seorang bapa pengasas Singapura, mantan Menteri Luar S Rajaratnam, yang pernah berkata bahawa menjadi rakyat Singapura bukanlah soal keturunan, tetapi soal keyakinan dan pilihan.
Generasi pengasas dahulu, kata Encik Lee, berdepan pilihan sama ada untuk bangkit memperjuangkan negara yang mereka percaya, atau berdiam diri menerima nasib.
“Bagi generasi itu, pilihan mereka adalah bangkit, berjuang, dan membina.”
Bagi generasi muda pula, pilihan tetap wujud – sama ada meneruskan misi menjadikan Singapura lebih baik untuk generasi seterusnya atau berhijrah mencari peluang di tempat lain.
SESUATU YANG 'UNIK' TENTANG RAKYAT SG
Apabila ditanya oleh seorang penuntut apakah yang berjaya membantu Singapura membentuk identitinya, Encik Lee merujuk kepada dasar-dasar yang membolehkan kumpulan berbeza belajar menyesuaikan diri, berkompromi, dan bekerjasama.
Beliau berkata penyesuaian itu membentuk rakyat Singapura dengan cara yang “unik”.
“Sebab itu … bila anda nampak (orang Singapura) di luar negara, anda dapat tahu dia orang Singapura sebelum dia bercakap,” katanya.
“Ada sesuatu yang tersendiri … hasil daripada kita hidup bersama, membuat penyesuaian, dan menjadi serupa antara satu sama lain.”
Beliau menambah bahawa seorang Cina Singapura berbeza daripada orang Cina dari China, begitu juga seorang India Singapura atau Melayu Singapura berbeza daripada rakan serumpun di luar.
Apa yang ada pihak cadangkan untuk Singapura lakukan – iaitu berpura-pura seolah-olah kita semua sama – tidak pernah dipilih kerana pemerintah percaya ia tidak akan berhasil.
KUKUHKAN IDENTITI & KEKALKAN KESTABILAN POLITIK
Selain itu, Encik Lee turut ditanya oleh para penuntut mengenai pandangannya tentang bagaimana Singapura boleh mengekalkan sistem politik yang “unggul”. Ini merupakan faktor yang beliau sebut semasa perhimpunan Hari Pekerja tahun lalu sebagai kunci untuk sebuah negara kecil seperti Singapura untuk terus berjaya.
Encik Lee berkata bahawa perkara itu akan melibatkan usaha menarik “orang yang baik” yang mempunyai semangat misi ke dalam politik dan memastikan mereka dipilih.
Beliau mengulangi perlunya untuk Singapura mengekalkan kestabilan politik, sambil merujuk kepada pergolakan dan perubahan kepimpinan di beberapa negara kebelakangan ini.
Apa yang juga diperlukan adalah sebuah masyarakat yang bersatu.
“Jika anda berpecah mengikut garis bangsa, bahasa dan agama … anda tidak boleh mempunyai pemerintah yang baik, anda tidak boleh mempunyai pertumbuhan ekonomi yang baik, dan anda tidak boleh mempunyai … sebuah masyarakat yang adil,” kata Encik Lee.
Kelas sosial mungkin menjadi satu lagi garis pemisah yang boleh memecahbelahkan masyarakat, beliau memberi amaran, sambil menekankan perlunya rakyat Singapura untuk bersatu.
“Kita mesti menjadi sebuah masyarakat yang cukup bersatu di mana semua orang mempunyai kepentingan, semua orang merasakan bahawa negara ini berfungsi untuknya, dan barulah anda boleh mempunyai politik yang berfungsi.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.