Perlu terbuka kepada perbincangan dan perbezaan pendapat, namun dengan hormat dan kepekaan: Zaqy
Masyarakat Singapura perlu terus bersatu menolak retorik yang memecahbelah, dan sebaliknya mengamalkan nilai saling menghormati, memahami serta semangat perdamaian dan memperbaiki hubungan.

Petikan skrin yang menunjukkan catatan Encik Zaqy Mohamad di Facebook. (Gambar: Facebook/Zaqy Mohamad)
Demikian ditekankan Menteri Negara Kanan bagi Tenaga Manusia merangkap Pertahanan, Encik Zaqy Mohamad, dalam satu catatan di Facebook pada Khamis (10 Apr).
Encik Zaqy turut mengakui bahawa kenyataan terbaru oleh mantan NMP, Encik Calvin Cheng, telah menimbulkan rasa terluka dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam.
Beliau menyatakan persetujuannya dengan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli, bahawa komen tersebut adalah tidak hormat, melampaui batas dan tidak boleh dipandang ringan.
"Namun begitu, saya berasa lega apabila mendapati ruang perdamaian masih terbuka. Calvin Cheng telah bertemu dengan pemimpin agama kanan, Ustaz Mohamad Hasbi Hassan dan Ustaz Pasuni Maulan daripada PERGAS, di mana beliau mengakui kesan kenyataannya dan menyatakan kesediaannya untuk terus berdialog dengan rendah hati.
"Saya amat menghargai sikap belas kasihan dan kepimpinan yang ditunjukkan oleh para asatizah kita, yang menerima beliau dengan niat baik dan menjunjung nilai dialog serta pendamaian," kata Encik Zaqy.
Lantaran itu, PM Wong menyeru agar keharmonian ini terus dihargai dan dipelihara, lebih-lebih lagi dalam suasana dunia yang semakin tidak menentu dan terdedah kepada pengaruh luar yang boleh menggugat perpaduan masyarakat.
Encik Zaqy menambah bahawa ia adalah perlu untuk terbuka kepada perbincangan dan perbezaan pendapat.
Namun, ia mesti dilakukan dengan penuh hormat dan kepekaan, tanpa mengira kaum atau agama.
Kebebasan bersuara bukanlah lesen untuk melepaskan diri daripada tanggungjawab.
"Kata-kata mempunyai kuasa — lebih-lebih lagi dalam masyarakat berbilang seperti kita. Mari kita terus bersatu menolak retorik yang memecahbelah, dan sebaliknya mengamalkan nilai saling menghormati, memahami dan menyembuhkan. Inilah cara kita mengekalkan Singapura yang kita cintai — bersatu dalam kepelbagaian, dan teguh bersama," kata beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.