Perlu masa untuk susun penjelasan Raeesah Khan selepas pembohongan diulang di Parlimen: Kenyataan Sylvia Lim dalam laporan COP
Pengerusi WP Sylvia Lim semasa perbicaraan Jawatankuasa Hak Istimewa (COP) pada 13 Disember 2021. (Gambar: YouTube/govsg)
SINGAPURA: Apabila Cik Raeesah Khan mengulangi pembohongannya pada 4 Oktober di Parlimen, pengerusi Parti Pekerja Sylvia Lim berpendapat meminta Cik Raeesah menjelaskan perkara sebenar pada sidang parlimen pada hari berikutnya bukanlah satu pilihan, menurut laporan Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen (COP) yang dikeluarkan pada Selasa (14 Dis).
Cik Lim, yang merupakan Anggota Parlimen (AP) GRC Aljunied, memberi keterangan pada Isnin di hadapan COP. Laporan khas keempat mengenai sidang itu mengandungi perkara-perkara utama daripada keterangan Cik Lim dan AP Sengkang Profesor Madya Jamus Lim.
Cik Lim memberitahu COP bahawa masa diperlukan untuk menyusun penjelasan Cik Raeesah dengan teliti, dan memastikan dia selesa untuk menyampaikannya.
Cik Lim juga merujuk kepada apa yang berlaku pada 3 Ogos, apabila Cik Raeesah pertama kali berbohong di Parlimen. Pada ketika itu, Encik Singh sudah menyiapkan penjelasan bagi Cik Raeesah, yang disampaikan bekas AP itu pada hari yang sama.
Penjelasan itu, yang mana Cik Raeesah "berkata ia (berlaku) di balai polis Bedok dan sebagainya" adalah satu kenyataan "yang memperpanjangkan satu pembohongan", kata Cik Lim dalam keterangannya yang dirakam dalam video persidangan itu, yang turut dikeluarkan pada Selasa petang.
"Maka itu saya berpandangan bahawa bertindak tergesa-gesa dalam keadaan ini, malah pada 4 Okt pun, adalah tidak bijak dan kami perlu melakukannya secara tenang dan dengan pertimbangan sewajarnya," kata Cik Lim.
Cik Lim akur bahawa meskipun beliau sudah tahu sejak 8 Ogos bahawa Cik Raeesah telah berbohong di Parlimen, pengerusi WP itu pada awalnya tidak terlibat dalam menangani hal tersebut.
Cik Lim juga ditanya mengenai pesanan WhatsApp yang dihantar Cik Raeesah kepada pembantunya Cik Loh Pei Ying dan Encik Yudhishthra Nathan, yang mengatakan bahawa pemimpin WP telah memberitahu Cik Raeesah untuk "merahsiakan maklumat itu hingga ke liang lahad".
Cik Lim tidak bersetuju dengan keterangan Cik Raeesah.
Menurut laporan itu lagi, COP telah bertanya kepada Cik Lim sama ada beliau boleh mengatakan mana-mana keadaan mental Cik Raeesah (termasuk celaru disosiasi) mungkin menyebabkan Cik Raeesah membuat kenyataan "merahsiakan maklumat itu hingga ke liang lahad". Cik Lim berkata beliau tidak dapat dengan yakin mengatakan ia bukan satu kemungkinan.
Cik Lim menjelaskan kepada COP bahawa oleh kerana setiausaha agung WP Pritam Singh paling mengenali Cik Raeesah, dan sedang membimbingnya, beliau menyerahkan kepada Encik Singh untuk mengambil tindakan susulan dengan Cik Raeesah.
Cik Lim tidak tahu bahawa Encik Singh berjumpa Cik Raeesah pada 3 Oktober dan hanya mengetahui tentang pertemuan itu pada keesokan harinya. Cik Raeesah dan Encik Singh telah memberikan keterangan bercanggah tentang pertemuan itu.
Cik Raeesah memberitahu COP bahawa pada 3 Okt, Encik Singh telah memberitahunya bahawa "tiada penghakiman" daripadanya jika wanita itu "meneruskan" naratif palsu tersebut.
Bagaimanapun, Encik Singh berkata dalam keterangannya minggu lalu bahawa Cik Raeesah telah menyalahtafsir kata-katanya. Menurut Encik Singh, beliau telah berkata bahawa "jika isu itu timbul", Cik Raeesah perlu "mengambil tanggungjawab ke atas isu itu", dan jika dia berbuat demikian, Encik Singh "tidak akan menghakiminya".
Mengenai pertemuan tersebut, Cik Lim memberikan COP salinan nota yang dicatatnya semasa temu bual Panel Disiplin WP dengan Cik Raeesah pada November.
Beliau memberitahu COP bahawa nota-nota itu adalah rakaman temu bual, dan perbualan antara Encik Singh dan Cik Raeesah mengenai pertemuan 3 Okt itu:
Pritam Singh: Sebelum sesi Okt, saya bertemu anda + saya beritahu anda ia adalah keputusan yang harus anda buat. Adakah keperluan berterus terang di Parl(imen) terlintas di fikiran?
Raeesah Khan: Ya, tapi dibelenggu rasa salah + pengalaman sendiri. Sangka ia tidak akan dibangkitkan.
Pritam Singh: Tidak boleh bohong, bukan?
Raeesah Khan: Ya.
Cik Lim diminta memberi pandangannya mengenai kata-kata Encik Singh: "Saya beritahu anda itu adalah keputusan yang harus anda buat". Beliau berkata bahawa Encik Singh nampaknya telah memberitahu Cik Raeesah bahawa terserah kepada Cik Raeesah untuk memutuskan apa yang perlu dilakukan pada 4 Okt, jika isu itu timbul di Parlimen.
Namun "beliau(Cik Lim) kemudian berkata beliau tidak dapat 'faham selepas befikir panjang' kemungkinan Encik Singh akan memberi Cik Raeesah pilihan antara bercakap benar dengan berbohong lagi," menurut laporan COP.
"MARAH TENTANG APA YANG BERLAKU"
Pada 4 Okt, Cik Raeesah mengulangi pembohongannya di Parlimen semasa berdebat dengan Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam. Cik Raeesah berkata anekdot yang dikongsinya tentang menemani mangsa seorang mangsa serangan seksual ke balai polis adalah benar, tetapi enggan memberikan butiran lanjut mengenainya.
Dia berkata mangsa keluar sambil menangis kerana seorang pegawai polis telah membuat komen mengenai pakaiannya dan mangsa telah minum arak.
Namun pada 1 Nov, Cik Raeesah mengaku di Parlimen bahawa dia telah mendengar anekdot itu dalam sebuah kumpulan sokongan, namun berbohong telah menemani mangsa kerana tidak mahu mendedahkan bahawa dia sendiri pernah menjadi mangsa serangan seksual.
Apabila Cik Raeesah berbohong lagi pada 4 Okt, Cik Lim hadir di Parlimen dan beliau berasa "sangat marah dengan apa yang berlaku". Daripada membetulkan catatan parlimen, pembohongan itu "diperpanjangkan lagi", mengeruhkan lagi keadaan, menurut laporan itu.
PERTEMUAN DI RUMAH PRITAM SINGH PADA 12 OKT, MENURUT SYLVIA LIM
Cik Lim juga memberi keterangan tentang pertemuan pada 12 Okt antara beliau, Cik Raeesah dan Encik Singh di rumah Encik Singh. Beliau berkata bahawa pada pertemuan itu, pada awalnya, Cik Raeesah menunjukkan keberatannya untuk membetulkan rekod itu.
Apabila COP bertanya sama ada Cik Lim mendapatkan penjelasan daripada Encik Singh mengenai apa yang dibincangkan dan dipersetujui dengan Cik Raeesah, Cik Lim berkata bahawa beliau tidak berbuat demikian. Jelas beliau, tidak pernah terlintas di fikiran bahawa Encik Singh dan Cik Raeesah akan bersetuju untuk "memperpanjangkan lagi" pembohongan itu.
Cik Lim berkata, dalam pandangannya kemungkinan Encik Singh memberi Cik Raeesah pilihan sama ada untuk berterus terang atau berbohong, adalah tidak masuk akal, menurut laporan itu.
Cik Lim memberi keterangan bahawa kedua-dua beliau dan Encik Singh sangat marah dan memberitahu Cik Raeesah supaya membuat pembetulan dan menekankan bahawa Cik Raeesah tiada pilihan kecuali berterus terang di sidang Parlimen berikutnya pada November. Setelah berbincang, Cik Raeesah bersetuju itu adalah perkara terbaik untuk dilakukan, menurut laporan tersebut.
"Cik Lim mengesahkan ini adalah kali pertama satu komitmen zahir dibuat bagi Cik Raeesah menjelaskan pembohongan di Parlimen," menurut laporan itu.
TEMU BUAL PANEL DISIPLIN
Selepas Cik Raeesah menyampaikan ucapannya menjelaskan kenyataan yang tidak benar di Parlimen pada 1 Nov, WP menubuhkan Panel Disiplin untuk meneliti isu itu.
Sebagai persiapan, Cik Raeesah bertemu dengan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) WP pada 29 Okt untuk membincangkan draf kenyataannya. Ini adalah kali pertama CEC mendapat tahu bahawa Cik Raeesah telah berbohong di Parlimen, menurut keterangan Cik Lim.
CEC tidak dimaklumkan bahawa Encik Singh, Cik Lim dan naib pengerusi WP Faisal Manap sudah tahu tentang pembohongan Cik Raeesah sejak 8 Ogos. Mereka juga merupakan tiga ahli panel disiplin yang ditubuhkan WP.
Panel itu mengadakan dua temu bual dengan Cik Raeesah, pada 8 dan 29 Nov. Pada sesi-sesi tersebut, apabila ditanya mengapa perkara tidak benar dimasukkan dalam kenyataan 3 Ogos, Cik Raeesah menjelaskan dia mengalami "(celaru) disosiasi" dan tidak sedar apa yang dilakukannya.
Mereka juga bercakap tentang tindakan yang diambil oleh Cik Raeesah untuk menangani keperluan psikologinya, dan Cik Raeesah menyerahkan dokumen daripada seorang ahli psikoterapi yang menyatakan bahawa dia sedang menjalani terapi.
Akhir sekali, mereka bercakap tentang sama ada dan, jika ya, mengapa Cik Raeesah mahu kekal dalam Parti, sebagai seorang anggota parlimen dan anggota CEC, menurut laporan itu.
Panel itu juga mengesahkan bahawa Cik Raeesah telah menghadiri sesi yang diadakan pada 2018 dan 2019 oleh kumpulan wanita yang pernah mengalami gangguan seksual, seperti yang didakwanya.
BILA CEC DIBERITAHU TENTANG KEDUDUKAN PERKARA
Keterangan yang diberikan oleh Profesor Madya Lim berkata bahawa CEC WP hanya dimaklumkan tentang pembohongan Cik Raeesah di Parlimen, semasa satu mesyuarat tergempar pada 29 Okt.
Menurutnya beliau tidak tahu sehingga beberapa tempoh kemudian bahawa Encik Singh, Cik Lim dan Encik Faisal sudahpun tahu sejak Ogos bahawa Cik Raeesah telah berbohong.
Prof Madya Lim berkata selain daripada apa yang diberitahu pada mesyuarat 29 Okt, beliau hanya tahu butiran mengenai perkara itu hanya apabila ia diketahui umum, menurut laporan itu.
Beliau ditanya sama ada, sebagai seorang anggota CEC, beliau menjangkakan jawatankuasa itu sepatutnya diberitahu bahawa Cik Raeesah telahpun mengaku kepada kepimpinan parti pada Ogos.
COP juga bertanya sama ada beliau menjangkakan panel disiplin akan "tidak berminat dengan episod dan keadaan sekitar, supaya mereka tidak mempunyai kepentingan peribadi dalam perkara yang mereka sepatutnya siasat", menurut laporan itu.
Prof Madya Lim menjawab bahawa beliau yakin akan kepimpinan parti untuk memaklumkan CEC mengenai semua fakta penting.
"Memandangkanpemimpin Parti tidak memberitahu CEC tentang pelibatan mereka dalam perkara itu sejak peringkat awal, Prof Madya Lim percaya hal itu tidak penting," tambah laporan tersebut.
Menurut ringkasan keterangannya, Prof Madya Lim berkata jika Cik Raeesah sudah bercadang untuk mengaku kemudiannya, maka pengakuannya sebelum itu kepada pemimpin Parti bukan sesuatu yang dianggap penting.
Jika sebaliknya, Encik Singh, Cik Lim dan Encik Faisal telah mengarahkan Cik Khan untuk "merahsiakan maklumat itu hingga ke liang lahad", seperti yang dikatakan Cik Raeesah kepada COP, maka tindakan mereka menyelindungkan fakta itu dan pelibatan mereka sendiri, adalah "maklumat penting yang sepatutnya telah didedahkan".
Prosiding COP direhatkan hingga Rabu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.