Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perlu masa tentukan kejayaan M³, kata pengamat

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Kejayaan sebenar gagasan M³ terutama sekali dari segi kesan yang dirasai masyarakat di lapangan akan mengambil masa.

Zamil Kanan ISEAS-Institut Yusof Ishak Dr Norshahril Saat berkata, masih awal untuk menentukan kejayaannya yang sebenar namun menekankan ini tidak bermakna usaha ditanam selama ini gagal memenuhi objektif asal iaitu mengerah sumber-sumber masyarakat sedia ada demi kemaslahatan bersama.

Lebih seminggu lalu, M³ meraikan ulang tahun kelima dengan membentangkan perkembangan program-program yang dilakarkan.
JANGKAU LEBIH 127,000 PENDUDUK; PROGRAM DIPERLUAS

Dalam tempoh lima tahun berkenaan, jumlah program M³@Bandar sudah meningkat hampir lima kali ganda dalam tempoh lima tahun.

Hampir 330 program dilakarkan yang menjangkau lebih 127,000 penduduk berbanding hanya 77 program yang disertai 33,000 penduduk lima tahun lalu.

Program seperti Projek DIAN@ M³ pula bakal diperluaskan lagi demi mendampingi lebih ramai anggota masyarakat yang memerlukan.
Persoalannya adalah samada angka-angka yang bertambah serta rancangan peluasan itu sudah cukup sebagai bukti keberkesanan usaha-usaha M³.

"Kalau kita mahukan satu masyarakat yang berjaya, kita perlu lihat di peringkat bawahan samada ia berkesan dan mengubah hidup mereka. Kita juga perlu lihat kepada banci statistik negara jika masih ada kekurangan dalam masyarakat kita," ujar Dr Norshahril.

Dr Norshahril menambah M³ tidak boleh hanya dinilai berdasarkan jumlah program dikendalikan serts peserta dan sukarelawan terlibat.

Beliau berkata: "Jika di peringkat akar umbi masyarakat merasakan bahawa tiada kesan yang jelas, saya fikir golongan yang kedepankan perlu mengambil maklum balas ini dengan objektif."

CABARAN BAKAL DIHADAPI

Dalam pada itu, timbul juga keprihatinan terhadap dua cabaran yang mungkin dihadapi rangkaian M³.

Pertama adalah dari segi profil para sukarelawan yang mana M³ sudah membuka pintu kepada para relawan pertubuhan.

Para sukarelawan di bawah M³ setakat ini lebih bersifat individu dan merupakan penggerak program-program di 11 M³@Bandar.

"Apabila kita tidak mendapatkan kepakaran yang sewajarnya, ia tidak akan menghasilkan satu solusi yang ideal buat masyarakat.

"Saya fikir kita tidak boleh memaksakan. Kita hanya boleh menggalakkan golongan untuk menjadi sukarelawan dalam bidang masing-masing di mana mereka selesa," kongsi Dr Norshahril.

Cabaran kedua adalah bagaimana sinergi yang dijana selama ini antara MUIS, MENDAKI dan MESRA boleh diperkukuh lagi.
Mentelah lagi dengan program-program yang bakal diperluas serta ditambah, mungkin ada tindihan peranan yang sekaligus bercanggah dengan objektif asal M³.

"Dalam mana-mana projek sekalipun, pasti semasa ia dijalankan mungkin satu dua tahun, akan ada proses memikir ulang, evaluasi dan sebagainya."

Di sinilah, kata Dr Norshahril, M³ perlu bersifat terbuka dan akur jika ada perkara-perkara yang mungkin boleh diperbaiki lagi.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan