Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perlu lebih banyak rundingan untuk 'percepatkan proses' aturan perjalanan khas Bintan, Batam: PM Lee

Lebih banyak perbincangan perlu diadakan antara Singapura dengan Indonesia untuk "mempercepatkan" pelaksanaan aturan perjalanan khas dua hala bersama Batam dan Bintan supaya pelawat boleh melakukan perjalanan antara Singapura dengan kedua-dua pulau Indonesia itu tanpa perlu dikuarantin, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Selasa (25 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:
Perlu lebih banyak rundingan untuk 'percepatkan proses' aturan perjalanan khas Bintan, Batam: PM Lee

(Gambar: Bintan, Banyan Tree Bintan Resort)

BINTAN: Lebih banyak perbincangan perlu diadakan antara Singapura dengan Indonesia untuk "mempercepatkan" pelaksanaan aturan perjalanan khas dua hala bersama Batam dan Bintan supaya pelawat boleh melakukan perjalanan antara Singapura dengan kedua-dua pulau Indonesia itu tanpa perlu dikuarantin, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Selasa (25 Jan).

Pada masa yang sama, Singapura mengusulkan kepada Indonesia satu aturan laluan perjalanan dua hala pelawat lengkap divaksin (VTL) ke lebih banyak destinasi di Indonesia selain daripada dua pulau peranginan itu, yang terletak dekat dengan Singapura, kata Encik Lee yang berada di Bintan bagi Retreat Pemimpin-pemimpin antara dua pemerintah.

Bercakap kepada wartawan selepas pertemuannya dengan Presiden Indonesia Joko Widodo, Encik Lee berkata Singapura sudah "mengorak langkah" dengan melaksanakan laluan perjalanan VTL bagi Jakarta dan Indonesia pula bagi Batam dan Bintan.

Semasa Retreat Pemimpin itu, Encik Lee berkata warga Indonesia meluahkan hasrat untuk menarik lebih ramai pengunjung ke Batam dan Bintan menerusi aturan perjalanan khas itu.

"Kami ingin melangkah lebih jauh lagi, dan pihak Indonesia juga mahu pergi jauh lagi dengan cadangan-cadangan mereka," kata Encik Lee menjawab pertanyaan Mediacorp.

Pada Isnin (24 Jan), Indonesia mengumumkan koridor perjalanan bebas kuarantin yang membolehkan pelawat dari Singapura pergi ke dua-dua pulau di Indonesia itu yang merupakan destinasi pelancongan popular dalam kalangan rakyat Singapura. Mereka hanya dibenarkan pergi ke Nongsa resort di Batam dan Lagoi resort di Bintan.

Pelawat tidak dibenarkan meninggalkan pusat-pusat peranginan itu untuk ke tempat-tempat lain, kata Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Sandiaga Uno dalam satu sidang media secara maya.

Koridor perjalanan itu, yang bermula pada Isnin, adalah sepihak. Ini bermakna ia tidak tertakluk kepada warga Indonesia yang melakukan perjalanan ke Singapura.

Sebagai sebahagian daripada aturan perjalanan khas itu, pelawat harus diuji negatif COVID-19, 72 jam sebelum mereka berlepas dan sekali lagi pada ketibaan di terminal feri Nongsapura di Batam atau terminal Bandar Bentan Telani di Bintan.

Pada Selasa, Encik Widodo berkata Singapura dan Indonesia kini dalam proses memuktamadkan kerjasama dalam mengiktiraf vaksin serta memastikan wadah-wadah mereka untuk menjejak dan melindungi individu daripada virus COVID-19 dapat berfungsi bersama.

Encik Lee memberitahu wartawan bahawa perangkaan COVID-19 di Singapura buat masa ini adalah lebih tinggi berbanding dengan Indonesia, dan wajar bagi mereka untuk berasa prihatin.

"Namun kadangkala, jumlah kes COVID-19 kami adalah rendah, dan jumlah kes COVID-19 mereka pula lebih tinggi, ia pernah berlaku dan justeru kami berasa bimbang tentang situasi mereka.

"Jadi untuk kedua-dua pihak berasa selesa untuk membuka sempadan pada masa yang sama, bukanlah mudah," kata PM Lee.

Sehubungan itu, cadangan Singapura untuk mengadakan laluan perjalanan dua hala bagi penumpang lengkap divaksin juga bergantung pada situasi COVID-19 di kedua-dua negara, katanya.

Encik Lee berkata: "Anda mungkin belum bersedia untuk melaksanakannya namun mari kami bincangkan apabila keadaannya sesuai untuk berbuat demikian. Dan (pihak Indonesia) bersedia untuk berbincang."

Berhubung harapan Indonesia mengenani aturan perjalanan khas ke Batam dan Bintan, Encik Lee berkata Singapura akan membincangkan hal itu bersama mereka dengan melibatkan sama Menteri Pengangkutan dari kedua-dua negara, "untuk melihat bagaimana kami dapat mempercepatkan proses".

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan