Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perlu jalani pemulihan di rumah? Ini yang anda perlu lakukan semasa mengasingkan diri

Anggaran Waktu Membaca:
Perlu jalani pemulihan di rumah? Ini yang anda perlu lakukan semasa mengasingkan diri

Gambar: iStock/Edwin Tan

Diterbitkan : 04 Mar 2022 08:27PM Dikemas Kini : 04 Mar 2022 08:28PM

SINGAPURA: Anda terbatuk-batuk dan tak berhenti bersin. Anda pun mencapai kit ART untuk melakukan ujian kendiri dan seperti yang dijangkakan, anda positif COVID-19.

Selepas mendapat pengesahan bahawa anda layak untuk mengasingkan diri di rumah sn memutuskan bilik untuk mengasingkan diri, soalan seterusnya ialah: Apakah barang-barang yang anda perlu ada untuk 72 jam seterusnya?

Sekiranya anda masih positif selepas 72 jam, berikut adalah senarai barangan yang perlu anda bawa bersama untuk menjalani pengasingan selama tujuh hari akan datang.

Jika anda mengasingkan diri bersama anak anda, pastikan anda menyiapkan set bekalan berasingan. Penting untuk anda mengelak daripada berkongsi barangan.

Mengenai cara menyediakan bilik, Dr Edwin Chng, pengarah perubatan Parkway Shenton, menasihatkan agar "barangan tidak penting dan yang tidak boleh dibersihkan dengan sabun, bahan cuci atau alkohol harus dikeluarkan dari bilik tidur".

“Secara amnya, COVID-19 cenderung untuk bertahan lebih lama pada permukaan yang tidak dapat menyerap cecair (dari beberapa hari sehingga beberapa minggu) berbanding dengan permukaan yang boleh menyerap cecair (dari berberapa minit hingga beberapa jam).

“Bagaimanapun, risiko relatif penularan melalui benda tercemar dianggap lebih rendah berbanding sentuhan secara langsung, penularan melalui titisan cecair atau penularan melalui udara,” katanya.

Sementara itu, sediakan barang-barang berikut sebelum anda memulakan pengasingan:

UBAT DAN BEKALAN

Ubat selesema/batuk/demam, semburan tekak/cecair berkumur, kit ART, termometer, oksimeter, tisu dan tisu alkohol.

Profesor Madya Raymond Seet, perunding kanan Divisyen Neurologi Hospital Universiti Nasional (NUH), menasihatkan agar menggunakan ubat berkumur yang mengandungi povidone-iodin.

Pastikan anda berkumur dengan betul dan bukan sekadar membilas, tambahnya.

Menurut beliau, sesetengah kajian mencadangkan bahawa povidone-iodin dapat bertindak balas terhadap virus SARS-CoV-2.

Ubat berkumur tersebut boleh diperolehi di banyak kaunter farmasi. Bagaimanapun, beliau memberi amaran bahawa bagi mereka yang mengalami gangguan tiroid, alahan kepada iodin atau yang sedang hamil perlu mendapatkan nasihat doktor mereka terlebih dahulu sebelum menggunakan povidone-iodin.

Mengenai kit ART, pastikan anda mempunyai bekalan yang mencukupi untuk bertahan lebih dari seminggu. Sebagai contoh, tujuh kit ART dan juga beberapa kit tambahan untuk berjaga-jaga.

Bagi ubat harian daripada GP, pastikan bekalannya mencukupi. Ini termasuk juga ubat demam dan batuk yang boleh dibeli di farmasi, menurut Profesor Madya Sophia Archuleta, perunding kanan dan ketua Bahagian Penyakit Berjangkit NUH.

Termometer dan oksimeter nadi juga berguna untuk memantau gejala dan terutama sekali tanda-tanda amaran seperti hipoksia atau ketepuan oksigen yang rendah, tambahnya.

KEBERSIHAN DIRI

Barang-barang mandi seperti syampu, sabun badan, sabun pencuci muka, berus gigi, ubat gigi, flos, pencukur dan tuala.

Gunakan bilik yang mempunyai kamar mandi adalah paling sesuai kerana ia mengurangkan kontak antara anda dengan anggota keluarga yang sihat. Bagi tujuan itu, jangan berkongsi barang-barang mandi, menurut Dr Chng, agar dapat mengelakkan pencemaran.

Jika anda ingin mengurangkan lagi kontak dengan anggota keluarga, bawa tuala yang mencukupi untuk bertahan selama tujuh hari. "Sebaik-baiknya, tuala perlu ditukar setiap hari tetapi untuk tujuan praktikal, ia boleh ditukar pada setiap dua hingga tiga hari," kata Dr Chng.

Namun jika anda perlu berkongsi kamar mandi, semua harus memakai pelitup semasa menggunakannya, nasihat Prof Madya Archuleta. "Kamar yang dikongsi harus mempunyai pengudaraan yang baik, seperti memastikan tingkap kamar mandi terbuka," katanya.

Selain itu, tidak cukup dengan hanya menyiram dan membersihkan jamban selepas setiap kali menggunakannya. Anda juga harus membersihkan dan membasmi kuman pada semua permukaan yang boleh diakses seperti singki, paip, tempat sabun, tempat kertas tandas, pemegang pintu dan pam mangkuk tandas, kata Dr Chng.

DOBI

Pakaian luar dan dalam dan bakul dobi yang berasingan.

Sediakan pakaian luar dan dalam yang mencukupi untuk pertukaran harian. Letakkan pakaian yang sudah digunakan di dalam bakul, berasingan daripada pakaian anggota keluarga yang lain, di luar pintu bilik, nasihat Dr Chng. "Elakkan daripada mencampak pakaian itu", yang boleh menyebabkan virus tersebut menular.

Anda boleh menggunakan bahan cuci baju biasa untuk pakaian anggota keluarga yang sakit, kata Prof Madya Archuleta.

“Basuh tangan anda selepas menyentuh pakaian itu. Jika ia kelihatan kotor, gunakan sarung tangan pakai buang,” katanya.

PERKAKAS

Sudu, garfu, pisau, cawan, span dan sabun cuci pinggan mangkuk.

Jika boleh, basuh perkakas anda sendiri untuk mengurangkan kontak orang tersayang daripada air liur anda.

Tetapi jika bilik anda tidak mempunyai kamar mandi, letakkan perkakas yang sudah anda gunakan di luar bilik, supaya anggota keluarga yang ditugaskan boleh membasuhnya. Pastikan mereka memakai sarung tangan semasa membasuh perkakas itu dengan sabun dan air panas, kata Dr Chng.

"Ia juga sesuai untuk menggunakan span dan sabun pencuci pinggan mangkuk yang berasingan daripada ahli keluarga yang lain untuk mengelakkan pencemaran," katanya.

Apabila selesai membasuh perkakas itu, ingatkan anggota keluarga anda untuk mencuci tangan selepas menanggalkan sarung tangan, kata Dr Chng.

SAMPAH

Beg sampah dan tong sampah.

Gunakan tong sampah yang mempunyai penutup, supaya tisu yang sudah anda gunakan, kit ART dan sampah-sampah lain ditutup dan tidak terdedah kepada udara.

Lapiskan tong sampah itu dengan dua beg plastik untuk mengelakkan kebocoran dan ikat beg plastik itu apabila anda ingin mengganti dengan yang baru, tambah Dr Chng. Kemudian, biarkan beg sampah itu di luar pintu. Anggota keluarga yang membuangnya hendaklah memakai sarung tangan sebelum menyentuhnya.

HIBURAN

Mainan untuk kanak-kanak (plastik, kayu dan kain) dan gajet (komputer riba, telefon bimbit dan tablet) untuk orang dewasa.

Tidak perlu membasmi kuman sebelum membawanya ke dalam bilik, melainkan jika ia kotor, kata Dr Chng.

Sumber : CNA/KF/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan