Perlu gandakan usaha untuk kukuhkan kedwibahasaan: Chan Chun Sing

SINGAPURA: Usaha untuk memperkukuh kedwibahasaan mesti digandakan dan perlu untuk mengekalkannya sebagai asas sistem pendidikan di negara ini.
Menteri Pendidikan Chan Chun Sing menekankan demikian dalam ucapannya di acara kuliah anjuran Kementerian Pendidikan (MOE), Institut Kajian Dasar (IPS) dan Institut Pendidikan Nasional (NIE) pada Selasa (11 Feb).
Beliau berkata kebolehan untuk bertutur dan menulis dalam lebih daripada satu bahasa adalah kunci untuk membantu Singapura membina jambatan ke seluruh dunia di tengah-tengah keadaan dunia yang semakin berpecah belah.
"Dwibahasa menjadi teras identiti Singapura kita. Ia lebih daripada menggalakkan orang kita menggunakan pelbagai bahasa dalam kehidupan seharian mereka. Ia menandakan komitmen kami untuk terus berhubung dengan warisan budaya kami yang kaya dan berbeza," kata Encik Chan.
"Namun hari ini, bahasa Inggeris menjadi bahasa utama bagi kebanyakan keluarga Singapura. Kita mesti gandakan usaha untuk perkukuhkan kedwibahasaan. Ia akan menjadi sukar tapi cabaran penting bagi langkah seterusnya," tambah beliau.

Selain digunakan sebagai wadah komunikasi, bahasa juga kata beliau, membuka peluang untuk memahami nuansa budaya dengan lebih mendalam.
"Nilainya bukan sahaja mempunyai kebolehan untuk berkomunikasi. Bahasa membuka jendela untuk lebih memahami nuansa budaya dan bagaimana orang lain fikir. Motivasi, perspektif dan pandangan dunia mereka," kata Encik Chan.
HARGAI KOMITMEN PARA PENDIDIK, TENTUKAN KEJAYAAN NEGARA
Encik Chan turut menyentuh tentang isu ketidaksamarataan dalam masyarakat dan perlunya dasar yang dapat mengimbangi mobiliti sosial dan pergaulan.

Misalnya, Skim Pengumpulan Berdasarkan Subjek Secara Penuh (SBB) sebagai huraian Kementerian Pendidikan (MOE) kepada isu stigma di sekolah.
Ia membolehkan setiap pelajar menguasai subjek yang merupakan kekuatan mereka di samping membolehkan mereka bergaul dengan kumpulan sosial yang lain.
Sedang dasar pendidikan boleh diubah dan disesuaikan dengan keperluan semasa, satu aspek baginya yang tidak boleh diubah adalah mempunyai guru-guru yang kekal komited.
Encik Chan menyifatkan para guru sebagai arkitek bagi masa depan negara dan dapat menyalakan semangat generasi yang akan memimpin negara ke arah SG100 dan selanjutnya.
"Tiada jumlah pendanaan atau teknologi yang boleh mengambil alih bimbingan, hubungan dan komitmen peribadi daripada guru-guru kita. Sikap kita terhadap guru-guru akan menentukan kualiti individu-individu yang akan menyertai kami dalam mendidik generasi seterusnya yang akan menentukan kualiti sistem pendidikan kita, orang-orang kita, penakatan dan kejayaan negara kita," kata Encik Chan.
PERLU UNTUK KENAL PASTI PELUANG, CABARAN MASA HADAPAN
Dalam ucapannya itu kepada lebih 500 tetamu termasuk para pendidik dan pelajar, Encik Chan turut mengiktiraf sumbangan para pendidik generasi sebelumnnya kerana asas kukuh yang membawa kemajuan stabil sepanjang beberapa dekad.
Beliau menarik perhatian kecemerlangan yang diraih para pelajar Singapura dalam ujian Program bagi Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA).
Pada 2022, ia mengiktiraf Singapura sebagai sistem pendidikan terbaik dunia bagi kemahiran bacaan, Matematik dan Sains.
Dalam perancangan bagi masa hadapan, Encik Chan mengingatkan betapa pentingnya untuk mengenal pasti peluang dan cabaran yang menanti.
Antaranya ialah media sosial serta teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI).
"Banyak negara dan syarikat sudah menggunakan teknologi terkini, sains data dan peralatan AI untuk cuba mengatasi kekurangan sumber pengajaran berkualiti mereka, dan mengganggu kaedah pengajaran dan pembelajaran konvensional. Kita juga harus menerima alatan baharu ini dan melihat bagaimana kita boleh menggunakannya dengan bijak dan sewajarnya untuk meningkatkan pelajar yang berbeza dengan keperluan yang berbeza," ujarnya.
Encik Chan juga mengingatkan kepada para pendidik generasi seterusnya bahawa mereka ada peranan yang penting dalam merealisasikan masa depan sistem pendidikan yang akan menentukan masa depan negara.
TUISYEN UNTUK KEJAR GRED BOLEH RUGIKAN PENDIDIKAN
Semasa menjawab soalan tentang tuisyen dalam sesi dialog pula, Encik Chan berkata memaksa kanak-kanak ikuti kelas tuisyen untuk dapatkan gred lebih baik, hanyalah satu kerugian besar terhadap pendidikan mereka.
"Jadi apabila kita cuba menghadiri kelas tuisyen, kita perlu tanya diri kita sendiri, adakah kita bantu anak-anak kita menyedari kekuatan dan kelemahan mereka, atau adakah kita cuba membentuk mereka menjadi imej orang lain dan untuk membandingkan mereka dengan kejayaan orang lain?
"Jika itu adalah hakikatnya, jika yang seterusnya adalah kesnya, maka kita tidak akan pernah mempunyai kepelbagaian kekuatan dalam masyarakat kita yang akan bantu Singapura menjadi lebih bertenaga dan berdaya tahan, kerana kita semua diukur mengikut kayu ukur yang sama," kata Encik Chan.
Beliau juga berharap industri tuisyen dapat menghargai nilai sebenar pendidikan dan setiap kekurangan dan kelebihan pelajar dapat diraikan dan bukan membandingkannya dengan kayu ukur yang sama.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.