Skip to main content

Singapura

Perlu "cukup bukti' untuk ambil tindakan terhadap perokok di tingkap, balkoni rumah

Anggaran Waktu Membaca:
Perlu "cukup bukti' untuk ambil tindakan terhadap perokok di tingkap, balkoni rumah

Seorang lelaki merokok di tempat awam. (Gambar: Gaya Chandramohan)

Diterbitkan : 18 Feb 2022 05:25PM

SINGAPURA: Membuat "tuduhan sahaja tidak mencukupi" jika seseorang penduduk ingin membuat aduan tentang asap rokok daripada jiran tetangga yang keluar dari balkoni atau tingkap mereka, kata Menteri Kedua Undang-undang Edwin Tong di Parlimen pada Jumaat (18 Feb).

Menurutnya, Tribunal Huraian Pertikaian Masyarakat (CDRT) memerlukan pemohon untuk mengemukakan "bukti yang mencukupi" bagi menunjukkan bahawa bau dan asap rokok berlebihan dari jiran mereka "menggangu keselesaan semasa di tempat tinggal mereka".

Encik Tong berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Anggota Parlimen (AP) Louis Ng (PAP - Nee Soon) mengenai bukti yang diperlukan untuk membuat aduan sedemikian di bawah seksyen 4 Akta Huraian Pertikaian Masyarakat 2015.

Beliau berkata bukti yang berkaitan harus menunjukkan sumber gangguan, jenis gangguan, atau kemudaratan serta keadaan di sekeliling.

"Beberapa contoh termasuk surat atau mesej antara jiran yang mungkin merujuk kepada sumber asap rokok itu, rekod bertulis yang menyatakan tarikh dan waktu tertentu serta juga menunjukkan sama ada tabiat merokok itu mengikut masa-masa tertentu dan jika boleh, gambar atau rakaman video penduduk itu sedang merokok",tambah beliau

HARUS "BERBINCANG LANGSUNG DENGAN MESRA" TERLEBIH DAHULU

Encik Tong berkata membuat aduan di bawah CDRT seharusnya "menjadi pilihan terakhir".

Sebaliknya, langkah pertama seharusnya menerusi pendekatan Rangka Kerja Pengurusan Pertikaian Masyarakat (CDMF). Ini menggalakkan jiran tetangga untuk terlibat dalam "perbincangan langsung yang mesra" atau pengantaraan.

"Pendekatan ini menekankan komunikasi dan hubungan, khususnya antara jiran tetangga, dan akur bahawa pendekatan undang-undang, biasanya bukan cara terbaik atau paling berkesan untuk menyelesaikan pertikaian dalam masyarakat. Dan ia pastinya bukan pilihan pertama ," kata Encik Tong.

"Pendekatan ini memberikan pihak-pihat terlibat peluang lebih baik untuk mencapai huraian yang boleh diterima secara bersama, dengan cara yang cepat dan mesra, tanpa memburukkan lagi pertikaian itu melalui proses mengumpulkan bukti atau saling melemparkan tuduhan."

Encik Tong menekankan bahawa jawatankuasa antara agensi yang dipimpin Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia sedang menyemak semula CDMF dan pelbagai cadangan.

Ini termasuk menggalakkan semangat kejiranan sebagai satu cara untuk mengurangkan kemungkinan timbul pertikaian pada peringkat awal, dan meningkatkan kesedaran dan akses kepada pengantaraan masyarakat sebagai cara utama untuk menyelesaikan pertikaian antara jiran.

 

Sumber : CNA/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita