Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perlu ‘cari keseimbangan’ hormati masa silam agar tidak hambat masa depan SG: PM Wong

Anggaran Waktu Membaca:
Perlu ‘cari keseimbangan’ hormati masa silam agar tidak hambat masa depan SG: PM Wong

Perdana Menteri Lawrence Wong berucap di satu sidang media, yang diadakan sempena hari ke-100 beliau menyandang jawatan itu pada 23 Ogos 2024. (Gambar: Syamil Sapari/CNA)

SINGAPURA: Perlu "cari keseimbangan" hormati masa lampau agar tidak hambat pilihan Singapura pada masa depan, kata Perdana Menteri Lawrence Wong pada Jumaat (23 Ogos) sempena hari ke-100 beliau menyandang jawatan itu.

Dalam ucapan sulung Rapat Umum Hari Kebangsaannya minggu lalu, PM Wong berkata bahawa pasukannya akan menghormati masa silam dengan berpegang teguh kepada asas-asas yang baik bagi Singapura.

Beliau bagaimanapun menambah bahawa pasukannya harus bersikap berani, mencari huraian yang lebih baik dan memilih jalan terbaik untuk melangkah ke hadapan bagi negara ini.

Memberi perincian lanjut semasa satu sidang media pada Jumaat, Encik Wong menarik perhatian bahawa kepelbagaian budaya dan agama, etos kebergantungan diri dan tumpuan kepada keluarga adalah nilai dan asas penting yang ingin dipelihara pasukannya.

"Jadi jika kami memahami semua ini, maka kami tidak hapuskan dan kami kekalkannya, sekalipun kami fikir untuk membuat perubahan besar," ujarnya.

Satu "gambaran jelas" mengenai hal ini adalah bagaimana pasukannya fikir tentang faedah pengangguran, jelasnya.

"Ia adalah sesuatu yang diragui pemerintah, selama ini, untuk berdekad-dekad lamanya. Atas sebab-sebab yang munasabah, kerana kami telah melihat bagaimana insurans pengangguran dalam negara-negara lain telah membawa kepada kesan negatif.

"Namun ia tidak bermakna kami tidak boleh melakukan sesuatu yang berlainan di Singapura, dilakarkan dengan sewajarnya bagi keadaan kami dan untuk mengurangkan kesan negatif yang kami lihat di mana-mana sebelum ini."

Dalam ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan, Encik Wong memperkenalkan Skim Bantuan Pencari Kerja SkillsFuture untuk menyokong pekerja yang berpendapatan rendah dan pertengahan dengan bantuan kewangan sementara sekiranya mereka kehilangan pekerjaan mereka.

Para pencari kerja boleh mendapat sehingga S$6,000 selama enam bulan sedang mereka mengikuti latihan, perkhidmatan pemadanan pekerjaan dan bimbingan kerjaya.


KEBIMBANGAN MENGENAI KOS SARA HIDUP

Encik Wong turut berucap mengenai kebimbangan berhubung kos sara hidup sebagai isu lain yang perlu ditangani.

Meskipun terdapat pelbagai skim seperti baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) dan rebat U-Save, pemerintah sedang merancang untuk menyediakan lebih banyak bantuan kepada golongan tertentu, seperti keluarga lebih besar dengan anak kecil.

Pemerintah juga sedang meneliti inflasi, yang mana menurut Encik Wong, telah menunjukkan beberapa petanda ia sedang menyusut.


Beliau menyifatkan tahun 2023 sebagai "tahun yang sukar" dengan inflasi tinggi serta pertumbuhan lemah kira-kira 1 peratus.

Kebanyakan rakyat Singapura berdepan dengan kemerosotan dalam gaji sebenar masing-masing, jelas Encik Wong.

"Jadi kami perlu melihat data itu dan apa petanda yang berkait dengan pendapatan serta inflasi tahun ini dan tahun depan. Dan fikir tentang bagaimana untuk melakarkan bantuan yang wajar," tekannya, sambil menambah bahawa pemerintah akan melakukan demikian bagi Belanjawan 2025.

Merenung kembali 100 hari pertamanya menyandang jawatan sebagai Perdana Menteri, Encik Wong berkongsi bahawa keutamaan segeranya adalah bagaimana untuk membawa Singapura ke hadapan dalam usaha membangunkan negara bagi fasa-fasa seterusnya.

Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan