Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perlu bersedia hadapi ketidaktentuan pandemik sewaktu Ramadan ini, hargai kerjasama masyarakat: Dr Maliki

Anggaran Waktu Membaca:
Perlu bersedia hadapi ketidaktentuan pandemik sewaktu Ramadan ini, hargai kerjasama masyarakat: Dr Maliki

Menteri Kedua Pendidikan merangkap Ehwal Luar Dr Mohamad Maliki Osman.

BERITAmediacorp: Masyarakat Melayu/Islam perlu bersedia menghadapi pelbagai ketidaktentuan sewaktu pandemik ini. 

Ini termasuk kembali ke wadah online bagi memanfaatkan kandungan-kandungan agama Ramadan ini jika muncul varian baru yang lebih memudaratkan. 

Sedang ramai yang sudah boleh mengimarahkan masjid Ramadan ini, masyarakat juga diingatkan agar terus memanfaatkan kandungan-kandungan di wadah online supaya lebih bersiap sedia berdepan dengan pelbagai kemungkinan sewaktu pandemik ini. 

Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman mengingatkan, "Kalau terdapat varian baru misalnya lebih teruk, lebih memudaratkan mungkin kita harus bersedia berpaling ke wadah sebelum ini." 

"Jadi kita harap dengan Gerakan SalamSG ini dapat memberi kesedaran kepada anggota masyarakat kita bahawa kita harus terus bersedia dalam kita cuba menormalkan kembali kaedah-kaedah normal sebelum COVID, sebenarnya kita belum dalam keadaan sedemikian," tambah beliau. 

Dr Maliki menegaskan bahawa usaha memerangi COVID-19 masih belum selesai. 

Di samping itu, beliau turut memuji masyarakat Melayu/Islam atas kerjasama mereka dalam usaha melawan virus tersebut. 

Meskipun lebih banyak kegiatan agama dan sosial disambung semula Ramadan ini, masyarakat Melayu/Islam didapati tetap mengambil langkah-langkah proaktif untuk mencegah penularan COVID-19. 

"Saya telah ke masjid-masjid untuk bersolat tarawih bersama mereka sejak bermulanya Ramadan, saya lihat ramai di antara anggota masyarakat kita masih juga berhati-hati. Mereka akur perlunya mematuhi langkah-langkah pengurusan selamat,"

"Masih membawa sejadah masing-masing, tidak berbual tanpa pelitup walaupun di luar. Saya menghargai semua yang telah dilakukan oleh anggota masyarakat kita," kata Dr Maliki. 

Dalam memasyarakatkan budaya dan amalan sepanjang Ramadan ini, Dr Maliki juga berharap masyarakat dapat meneruskan usaha-usaha tersebut demi menjaga keselamatan semua dan mengurangkan beban yang ditanggung sistem kesihatan negara. 
 
"Kita harus melihat bahawa sistem kesihatan kita perlu juga diberi peluang kembali kepada keadaan sebelum COVID. Ramai di antara anggota-anggota sistem kesihatan kita para doktor, para jururawat telah bekerja keras selama dua tahun begitu penat sekali kita lihat cabaran kepada mereka. Jadi bagi rakyat Singapura, saya harap mereka fikir tentang apakah implikasi kelakonan atau apa yang mereka lakukan kepada sistem kesihatan kita," terang Dr Maliki yang juga Menteri Kedua Pendidikan merangkap Ehwal Luar. 

Dalam pada itu, Dr Maliki juga menyentuh tentang sikap matang masyarakat Melayu/Islam dalam membuat keputusan untuk ke seberang tambak bagi berbelanja atau bertemu sanak-saudara Ramadan ini, lebih-lebih lagi setelah sempadan dibuka sepenuhnya. 

"Mesej berhati-hati sudahpun diterima oleh semua rakyat Singapura. Jadi bilangan yang masuk dan keluar daripada Singapura ke Johor dan Johor masuk ke Singapura, kita lihat begitu berwaspada,"

"Ia menunjukkan kematangan kedua-dua belah pihak rakyat Singapura dan rakyat Malaysia juga akur bahawa kita tidak perlu terburu-buru masuk ke Johor, masuk hanya jika perlu, jika mempunyai urusan untuk berjumpa sanak-saudara," kata Dr Maliki. 

Beliau turut mengingatkan bahawa jika semua orang memainkan peranan masing-masing, penularan COVID-19 akan dapat dikawal dengan lebih baik lagi. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan