Perlu ada perkongsian baharu ubah sistem global berbilang hala berasaskan peraturan: PM Wong
This audio is generated by an AI tool.
JOHANNESBURG: Perkongsian baharu perlu dibina di seluruh dunia bagi menjalankan reformasi dan mengemaskini sistem global berbilang hala berasaskan peraturan bagi memenuhi realiti hari ini, kata Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong pada Sabtu (22 Nov).
Beliau berkata demikian semasa berucap di sesi pertama Sidang Puncak G20 tahun ini di Johannesburg, Afrika Selatan.
Tema sesi tersebut adalah mengenai pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan.
"Semua usaha ini boleh membentuk asas sistem perdagangan berbilang hala yang lebih berdaya tahan dan selamat," menurut Encik Wong kepada para pemimpin lain di Pusat Expo Johannesburg.
Beliau memetik contoh Dialog Perdagangan dan Pelaburan yang diadakan dua hari lalu, antara Perjanjian Menyeluruh dan Progresif bagi Kerjasama Rentas Pasifik (CPTPP) dan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN), dan juga antara CPTPP dan Kesatuan Eropah (EU).
CPTPP ialah perjanjian yang menggantikan Kerjasama Rentas Pasifik (TPP), yang menghimpunkan 12 negara di sekitar Lautan Pasifik bagi mewujudkan set peraturan perdagangan yang lebih hebat.
Selepas pentadbiran Donald Trump menarik diri daripada TPP pada Januari 2017, 11 negara lain memutuskan untuk meneruskannya sebagai CPTPP.
Semasa dialog itu, isu-isu seperti pemudahan perdagangan dan pelaburan, perdagangan digital dan daya tahan rantaian bekalan turut dibincangkan, kata Encik Wong.
"Kita harus melihat cara-cara bagaimana untuk membawa kawasan perdagangan bebas dan blok perdagangan bebas di Afrika lebih dekat lagi dengan Asia Tenggara dan ASEAN," katanya.
Sidang Puncak G20 tahun ini adalah yang pertama diadakan di Afrika.
Encik Wong juga berkongsi pengalaman Singapura bekerja dengan negara-negara lain untuk melancarkan rangka kerja baharu, Perkongsian Masa Depan Pelaburan dan Perdagangan (FIT), yang menghimpunkan ekonomi kecil dan sederhana bagi mengekalkan momentum dalam mengurangkan sekatan perdagangan.
Perkongsian tersebut, yang diumumkan pada September tahun ini, menghimpunkan Brunei, Chile, Costa Rica, Iceland, Liechtenstein, Maghribi, New Zealand, Norway, Panama, Rwanda, Singapura, Switzerland, Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Uruguay.
Dalam ucapannya, Encik Wong juga menekankan keperluan untuk menjalankan reformasi kepada sistem global sedia ada, sama ada Pertubuhan Dagangan Dunia (WTO) atau institusi global lain.
"Kita tidak boleh dilumpuhkan oleh cara lama melakukan sesuatu. Kita semua perlu menyokong reformasi segera yang diperlukan dalam WTO supaya ia menjadi lebih berkesan dan memberi tumpuan kepada hasil," katanya.
PERATURAN GLOBAL KEKAL
Encik Wong juga menggesa para pemimpin lain untuk "memberi komitmen semula kepada asas teras yang masih kekal relevan hari ini" di dunia.
"Ia penting bagi keamanan dan kestabilan berterusan di dunia," tambahnya.
Dalam ucapannya, Encik Wong berkata sistem berbilang hala berasaskan peraturan, yang berpaksikan WTO, selama beberapa dekad memberikan kestabilan tersebut.
Walau bagaimanapun, sistem itu kini berada di bawah "banyak tekanan".
Walaupun negara-negara mengambil tindakan untuk melindungi diri mereka dan mengutamakan daya tahan dan keselamatan, sistem global akan lebih cepat runtuh jika setiap negara mengikut hala tuju sendiri, kata Encik Wong.
"Apabila itu berlaku, semua pihak akan menjadi lebih teruk, dan beban paling berat akan jatuh kepada negara-negara membangun. Jadi kita perlu membuat reformasi dan mengemaskini sistem global untuk memastikan ia menangani realiti strategik sekarang ini," katanya.
Membina seni bina ekonomi global yang baharu akan memerlukan banyak usaha dan kemahuan politik yang ketara, kata Encik Wong, yang menambah bahawa pelbagai usaha sudahpun dijalankan.
"G20 boleh dan harus memainkan peranan kepimpinan penting dalam menyelaraskan usaha-usaha ini, dan Singapura bersedia untuk memainkan peranan kami dan bekerjasama dengan semua ahli ke arah matlamat-matlamat ini," katanya.
Encik Wong sebelum ini disambut di tempat sidang puncak oleh Menteri Hubungan Antarabangsa dan Kerjasama Afrika Selatan, Ronald Lamola.
Dalam ucapannya bagi membuka sidang puncak itu secara rasmi, Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa berkata blok G20 menekankan nilai dan kerelevanan sifat berbilang hala.
"Ia mengiktiraf bahawa cabaran yang kita hadapi hanya boleh diselesaikan melalui kerjasama, kolaborasi dan perkongsian," katanya, sambil menambah bahawa pengambilan deklarasi pada akhir sidang puncak ini akan menjadi "isyarat penting kepada dunia bahawa sifat berbilang hala boleh dan memang memberikan hasil".
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.