Skip to main content

Singapura

Perlu ada model berdaya mampan bagi pertingkat, sokong madrasah, kata AP Fahmi Aliman

Anggota Parlimen (AP) GRC Marine Parade Fahmi Aliman mahu memperjuangkan peningkatan dalam pendidikan madrasah setempat.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Anggota Parlimen (AP) GRC Marine Parade Fahmi Aliman mahu memperjuangkan peningkatan dalam pendidikan madrasah setempat.

Menurut Encik Fahmi, perlu ada model berdaya mampan untuk terus mempertingkat dan menyokong kemajuan madrasah serta pelajarnya supaya ia dapat terus berkembang sebagai sebuah institusi pendidikan.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sulungnya di Parlimen hari ini (1 Sep).

Peningkatan pendidikan madrasah adalah satu daripada tiga isu yang mahu diperjuangkan Encik Fahmi.

Lagi dua isu ialah perlunya untuk mengiktiraf nilai sosial pekerja dalam sektor penting dan juga menyokong penjaga anggota keluarga yang sakit serta menangani isu kesihatan mental.

Dalam ucapannya itu, Encik Fahmi berkongsi prestasi baik yang dicatat pelajar madrasah dalam peperiksaan nasional setakat ini.

"Sejak Pendidikan Wajib dan pembentukan Sistem Madrasah Bersama ataupun JMS diperkenalkan, prestasi akademik madrasah telah meningkat dengan ketara. Antara tahun 2017 dan 2019 sahaja, bilangan pelajar PSLE yang dinilai sesuai untuk ke sekolah menengah meningkat kepada 99.6 peratus dan peratusan pelajar dengan sekurang-kurangnya tiga atau lima kelulusan 'O' hampir setara dengan purata nasional," kata Encik Fahmi.

Menurut Encik Fahmi, sebahagian daripada peranan madrasah adalah untuk memupuk asatizah masa depan, yang akan membimbing masyarakat untuk mempraktikkan Islam dalam konteks perpaduan sosial, keamanan dan kemajuan ekonomi Singapura.

Lantaran itu, madrasah perlu menjangka cabaran dan keperluan masyarakat yang akan muncul.

"Saya menantikan pelaksanaan idea-idea yang akan disarankan oleh Jawatankuasa Asatizah Masa Depan atau COFA. Walau bagaimanapun, COFA tidak akan mencapai kejayaan dengan bekerja sendirian dan mencapai visi ini memerlukan usaha daripada banyak pihak. Memandangkan sumber daya komuniti yang terbatas, kita mesti meneliti bagaimana madrasah dapat disokong dengan lebih baik untuk memastikan bahawa visi masyarakat untuk asatizah masa depan tercapai," ujar Encik Fahmi.

Selain itu, beliau berkata dengan adanya rangka kerja MUIS, MENDAKI dan MESRA (M³) pelajar madrasah juga dapat bercampur dan memahami keperluan serta masalah dalam masyarakat.

"Banyak kerja baik yang telah dilakukan oleh M³@Bandar untuk mengatur acara, mengadakan lawatan ke rumah dan menggabung sumber untuk meningkatkan dan membantu masyarakat. Kesempatan ini memberi peluang untuk mereka berinteraksi, berkongsi pengalaman dan membina persahabatan yang akan membantu menyatukan mereka dengan masyarakat. Saya alu-alukan agar lebih banyak inisiatif seperti ini diadakan," kata beliau.

IKTIRAF NILAI SOSIAL PEKERJA SEKTOR PENTING

Encik Fahmi yang juga Pengarah Sekretariat Divisyen Operasi dan Mobilisasi di Unit Pentadbiran dan Penyelidikan (NTUC-ARU) menggesa rakan-rakan perikatan tiga pihak supaya terus menyokong pekerja sektor penting dalam usaha mereka untuk terus menimba kemahiran baru dan mempunyai pekerjaan yang bermaruah.
"Meskipun banyak yang sudah dicapai oleh rakan-rakan perikatan tiga pihak ini, masih ada ramai pekerja yang belum meraih manfaat daripada rangka kerja tersebut. Saya gembira mendengar bahawa pemerintah bersungguh-sungguh untuk memperluas Model Gaji Progresif (PWM) ke dalam lebih banyak sektor.

"NTUC juga bersedia untuk mempergiat perbincangan dengan para pemain industri untuk merealisasikan visi tersebut untuk industri-industri ini dan pekerja kita," tambah Encik Fahmi.

Untuk melengkapi PWM, gaji dan dana persaraan ramai pekerja dalam sektor khidmat penting ditokok menerusi Skim Tambahan Pendapatan Daya Kerja Singapura (WIS) dan sokongan itu akan meliputi lebih ramai pekerja, menurut Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat dalam Kenyataan Menterinya sebelum ini.

"Meskipun usaha itu perlu disambut baik, janganlah kita mudah berpuas hati dan terus bekerja untuk mempertingkat Skim WIS untuk dimanfaatkan lebih ramai pekerja dan keluarga mereka serta memperkukuh rangkaian keselamatan sosial kita.

"Saya menggesa pemerintah agar mempertimbangkan saranan-saranan seperti memperuntukkan lebih banyak agihan WIS kepada pekerja dalam sektor khidmat penting sebagai mengiktiraf nilai sosial mereka," kata Encik Fahmi.

SOKONG PENJAGA ANGGOTA KELUARGA YANG SAKIT, TANGANI ISU KESIHATAN MENTAL

Encik Fahmi turut berkongsi pengalamannya bertemu dengan penduduk yang merupakan penjaga anggota keluarga yang sakit.

Beliau berkata dalam penduduk sedemikian berkorban untuk anggota keluarga yang tersayang, mereka juga perlu berdepan kesulitan dari segi kewangan, fizikal, mental dan emosi.

Di tengah-tengah pandemik COVID-19 ini, masalah yang terpaksa mereka hadapi itu lebih terbeban lagi dengan kesukaran mendapatkan pekerjaan untuk menyara hidup keluarga dan diri sendiri.

Encik Fahmi juga berkata meskipun terdapat geran-geran untuk membantu mengurangkan kos jagaan, nasib penjaga yang muda perlu juga diberi perhatian seperti golongan belia yang mungkin masih bersekolah namun terpaksa menjaga ibu bapa atau datuk dan nenek yang sudah tua atau uzur.

Ini termasuk memikirkan sama ada terdapat keperluan untuk menyediakan sesi kaunseling tambahan untuk belia yang terpaksa mengimbangi tanggungjawab sebagai pelajar dan penjaga anggota keluarga, selain langkah-langkah untuk memastikan mereka mempunyai akses kepada rangkaian sokongan yang diperlukan.

"Kita mesti mengambil berat dan menyokong para penjaga ini dan saya menggalak syarikat-syarikat supaya melaksanakan aturan kerja fleksibel dan agar pemerintah memperkukuh dasar-dasar sedia ada berkaitan para penjaga anggota keluarga," kata beliau.

Encik Fahmi turut menekankan, bahawa sudah tiba masanya masyarakat bersikap lebih terbuka dalam membincangkan isu-isu kesihatan mental. Ini lebih-lebih lagi isu kesihatan mental dalam kalangan remaja.

Encik Fahmi berkata, ramai remaja mungkin tidak selesa untuk mendapatkan bantuan kerana bimbang berdepan dengan stigma masyarakat dan takut dianggap lemah.

"Salah satu cara untuk menangani sebahagian daripada isu-isu kesihatan mental yang dihadapi golongan belia ialah dengan melengkapi para pendidik dengan pengetahuan mengenai kesihatan mental supaya mereka boleh mengenal pasti tanda-tanda dan merujukkan remaja berisiko kepada kaunselor atau sumber-sumber lain.

"Kita juga perlu berusaha untuk mewujudkan ruang-ruang selamat untuk para belia, ibu bapa, guru dan kaunselor sekolah untuk berbincang tentang isu-isu kesihatan mental dalam sekitaran yang selamat dan mendukung usaha tersebut," tambah Encik Fahmi. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita