Perlu ada ekosistem mampan, sokongan pelbagai pihak untuk lestarikan seni budaya Melayu
(Gambar: Wisma Geylang Serai)
Acara yang menghimpunkan lebih 600 penari dan pencinta seni tarian dan budaya Melayu itu berlangsung dari 1 hingga 3 November di Esplanade dan 23 hingga 30 November di Wisma Geylang Serai.
Bertemakan "Meraikan Persilangan Budaya", Pesta Muara tahun ini kembali bertaut untuk tahun yang ke-14.
Acara itu dianjurkan oleh Teater Tari Era dengan sokongan The Esplanade, Majlis Seni Kebangsaan (NAC) dan Wisma Geylang Serai (WGS).
Acara penutup tirai pesta Muara di WGS itu turut disaksikan tetamu terhormat, Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman.
"Sejak penganjurannya yang pertama pada tahun 2011, pesta ini telah berjaya menggabungkan tenaga
kumpulan tari yang mapan serta menggerakkan minat dan semangat penari-penari dari sekolah rendah hingga ke peringkat universiti," kata Dr Maliki dalam ucapannya.
KALI KETIGA ACARA PENUTUP TIRAI PESTA MUARA DIADAKAN DI WGS
Ini juga merupakan tahun ketiga berturut-turut Festival Muara mengadakan acara penutup tirainya di WGS.
"Kami percaya bahawa Festival Muara seharusnya terus berlabuh di Wisma Geylang Serai pada tahun-tahun akan datang.
"Malah, kami ingin melihat bulan November diiktiraf dalam kalendar seni Singapura sebagai bulan di mana orang ramai dapat menikmati kepelbagaian seni dan budaya Melayu, bermula dari Esplanade Outdoor Theatre sehinggalah ke Wisma Geylang Serai," kongsi Dr Maliki.
Beliau berpendapat bahawa ia juga akan memperkukuhkan kedudukan Singapura sebagai hab budaya serantau.
Selain masyarakat dan mereka yang sudah berkecimpung dalam dunia seni, Dr Maliki berpendapatan bahawa usahawan dan sektor swasta juga boleh memainkan peranan dalam menyokong usaha melestarikan seni dan budaya Melayu di sini.
Sokongan ini menurutnya boleh dilakukan dalam pelbagai bentuk, misalnya dengan menyediakan ruang untuk latihan dan persembahan, membantu dalam pemasaran dan promosi acara seni dan menawarkan kepakaran perniagaan.
"Ini bukan sahaja akan membantu kumpulan seni dari segi kewangan tetapi juga akan memberi mereka peluang untuk merancang dan melaksanakan projek-projek yang lebih besar dan bermakna," kongsi Dr Maliki.
Tambahnya, para usahawan juga boleh melabur dalam pendidikan seperti penajaan biasiswa, program mentor atau bengkel kemahiran.
"Marilah kita bersama-sama membina ekosistem yang mampan untuk memastikan generasi masa depan dapat terus menikmati, menghargai dan mempertahan dan mengembangkan terus seni dan budaya Melayu di Singapura," kata Dr Maliki.
SAYEMBARA TARI ANTARA NUSA: MERAIKAN KECERMELANGAN TARIAN MELAYU
Sebuah pertandingan tarian, "Sayembara Tari Antara Nusa: Meraikan Kecermelangan Tarian Melayu" turut diadakan buat julung-julung kalinya pada acara yang sama.
Pertandingan itu melibatkan penyertaan wakil-wakil di peringkat antarabangsa dengan penglibatan sekolah-sekolah dari Singapura, Malaysia dan Indonesia.
Sekolah Rendah Junyuan muncul sebagai pemenang dalam kategori sekolah rendah.
Mereka berjaya menewaskan pasukan SK (P) Sultan Ibrahim dari Johor Bahru, Malaysia.
Bagi kategori sekolah menengah pula, para juri menyaksikan persaingan sengit daripada para peserta dari sekolah-sekolah, namun SK Tun Fatimah dari Johor Bahru berjaya menambat hati juri dan digelar juara.
Para hadirin juga berpeluang menyaksikan sebuah pementasan khas oleh pasukan duo dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kuala Lumpur.
Ini menurut pihak penganjur bukan sahaja menambah prestij kepada acara tetapi menyuntik semangat dan inspirasi kepada para peserta muda.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.