Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perlu ada 1 atau 2 persatuan rasmi untuk bantu artis S'pura

Projek mengumpul dana bagi pelawak ikonik Alias Kadir, sebelum beliau meninggal dunia semalam (28 Jun), antara lain menonjolkan perlunya dibantu para seniman hiburan tempatan yang dalam keadaan memerlukan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Projek mengumpul dana bagi pelawak ikonik Alias Kadir, sebelum beliau meninggal dunia semalam (28 Jun), antara lain menonjolkan perlunya dibantu para seniman hiburan tempatan yang dalam keadaan memerlukan.

Sejak akhir-akhir ini juga pelakon legenda seperti Wahid Satay dan artis seperti Jorah Ahmad, Mahadi Shor, Razzi M dan Ibrahim Jamil turut diberi sedikit sumbangan oleh kumpulan tidak rasmi dipanggil Kami Peduli.

Pemberian habuan kepada pelakon legenda Wahid Satay. (Gambar: Osman Arrifin)

Namun bagaimana lagi dapat kita perjuangkan nasib dan kebajikan para artis tempatan kita yang memerlukan?

Peneraju usaha Kami Peduli, Osman Arrifin berkata gabungan persatuan-persatuan Islam sedia ada dengan individu-individu atau kelompok yang berhasrat membantu artis-artis tersebut adalah huraian yang lebih berkesan. Ini termasuk Jamiyah, Persatuan Ain, Tabung Amal Aidilfitri (TAA) dan Taman Bacaan.

"Yang sebenarnya, kombinasi antara dua - individu-individu atau kelompok ini dengan persatuan-persatuan yang sedia ada ini, saya rasa ia akan membuahkan hasil yang lebih baik kerana persatuan-persatuan ini mereka dah punya operasi berstruktur yang baik atau rangkaian yang lebih berpengalaman untuk menjana atau menganjurkan aktiviti-aktiviti membantu," ujar Encik Osman.

HANYA PERLU "SATU ATAU DUA" PERSATUAN RASMI

Malah Encik Osman akur negara kecil seperti Singapura hanya memerlukan "satu atau dua" persatuan rasmi yang menjaga kebajikan artis tempatan. Bagaimanapun ia perlu mempunyai matlamat dan tujuan yang betul.

Pengurus Besar Serantau Life Records, Encik Osman Arrifin.

"Kita tak perlu persatuan-persatuan yang banyak, kita perlu satu atau dua tetapi persatuan-persatuan ini harus tahu objektif mereka, apa arah tuju untuk membantu artis-artis kita yang boleh jadi dalam segi kesihatan, kewangan dan kebajikan mereka.

"Kita perlu satu atau dua saja, tak perlu banyak yang sebenarnya," tekan Encik Osman yang juga merupakan Pengurus Besar Serantau Life Records.

SASARKAN $30,000 DALAM PROJEK KAMI PEDULI AKAN DATANG

Kami Peduli sebelum ini pernah mengagihkan sumbangan sejumlah S$23,000 kepada 23 artis kesemuanya.

Ini termasuk kepada para penyanyi, pemuzik, pelakon dan penerbit radio Fatimah M Amin, M Wari, M Masnawi, Abdullah Ahmad, Hamid Black Dog Bone, Mak Oteh (Zainon Ismail) dan Aminah Siregar.

Pemberian habuan kepada pelakon Jorah Ahmad. (Gambar: Osman Arrifin)

Yang pasti, projek Kami Peduli akan dijalankan lagi pada bulan depan, dengan sasaran mahu mengumpulkan S$30,000.

"Kita merancang untuk mengadakan satu projek Kami Peduli insya-Allah dari 18 hingga 24 Julai ini dalam bentuk jualan amal, jualan lelongan barangan artis dan banyak lagi aktiviti yang kita akan lakukan walaupun keadaan yang sekarang ini.

"Insya-Allah kita berharap untuk mengumpul sebanyaknya untuk membantu artis-artis kita ini," kata beliau. 

Sumber : BERITAmediacorp/im

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa