Perlindungan perlu dipertingkat, lebih banyak maklumat wajar disediakan kepada pembeli rumah
Perlindungan yang dipertingkat dan lebih banyak maklumat bagi pembeli rumah adalah antara pindaan yang diusulkan terhadap peraturan bagi pemaju hartanah. Demikian umum Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) pada Rabu (5 Jan).
Flat-flat HDB di Singapura. (Gambar: Calvin Oh/CNA)
SINGAPURA: Perlindungan yang dipertingkat dan lebih banyak maklumat bagi pembeli rumah adalah antara pindaan yang diusulkan terhadap peraturan bagi pemaju hartanah. Demikian umum Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) pada Rabu (5 Jan).
Pindaan utama yang disarankan mensyaratkan pemaju untuk menyediakan lebih banyak maklumat kepada pembeli rumah bagi "membantu mereka membuat keputusan yang lebih berhemah", tambah URA.
Ia kini sedang mengumpul maklum balas awam berhubung pindaan utama yang disarankan itu.
"Bagi membantu pembeli rumah membuat keputusan lebih berhemah, URA mencadangkan pemaju menyediakan maklumat lebih tepat dan terperinci mengenai projek perumahan mereka," menurut pihak berkuasa itu.
"Ini termasuk rekod prestasi pemaju, pelan susur atur lantai projek serta maklumat tentang sewa tanah yang perlu dibayar dan identiti tuan tanah."
Pemaju perlu menyediakan markah Sistem Penilaian Mutu Pembinaan dan Tanda Mutu mereka di samping sijil Tanda Hijau bagi projek-projek yang siap sepanjang tempoh lima tahun lalu.
Mereka juga dikehendaki mendapatkan terlebih dahulu kelulusan daripada pihak berkuasa bagi ciri-ciri sebuah projek perumahan yang bakal dipamerkan dalam iklan. Ia termasuk tempat menjemput atau menurunkan penumpang, pelandskapan serta ciri-ciri air.
Kawasan kosong dalam pelan lantai unit perlu ditandakan serta pelan lantai berskala bagi hartanah berhalaman perlu disediakan oleh pemaju dan mereka perlu menjelaskan singkatan yang digunakan, menurut URA.
Bagi bangunan-bangunan di mana Permit Pendudukan Sementara (TOP) atau Sijil Perakuan Siap Berkanun sudahpun diperolehi, tarikh-tarikh tersebut mesti dinyatakan di dalam iklan.
Langkah itu bagi membolehkan pembeli untuk mengetahui bila mereka boleh berpindah masuk sebaik saja mereka sudah melunaskan pembayaran.
PERUBAHAN PADA RANCANGAN DILULUSKAN
Jika ruang sebenar sesebuah unit lebih kecil berbanding jumlah kawasan yang dinyatakan dalam Perjanjian Jual Beli sebanyak lebih 3 peratus, buat masa sekarang, pemaju dikehendaki memberi pampasan kepada pembeli rumah.
Di bawah pindaan yang disarankan itu, perbezaan kawasan tersebut dikurangkan kepada 2 peratus.
Sekiranya pemaju mahu membuat sebarang perubahan pada pelan lantai unit atau sebarang perubahan besar pada pelan pembangunan untuk kemudahan yang dikongsi bersama, mereka mesti mendapatkan persetujuan daripada pembeli rumah.
Ini melainkan perubahan itu perlu dilakukan untuk mematuhi syarat-syarat baru yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa selepas tarikh Pilihan untuk Membeli dikeluarkan.
D bawah pindaan yang diusulkan itu, sekiranya Perjanjian Jual Beli dibatalkan, pemaju akan dikehendaki untuk mengembalikan wang bunga yang dibayar bagi pinjaman, bayaran pembatalan pinjaman serta yuran guaman yang dibayar oleh pembeli rumah, tertakluk kepada had 15 peratus daripada harga pembelian.
Ini di samping peraturan sedia ada yang mensyaratkan pemaju untuk membayar balik semua bayaran ansuran serta sebarang cukai setem yang sudah dibayar oleh pembeli rumah.
MAKLUMAH TENTANG PEMILIK TANAH, PEMBAYARAN DIPERMUDAH
Di bawah perubahan yang diusulkan, pemaju juga dikehendaki untuk menyediakan maklumat tentang tuan tanah hartanah tersebut dan sewa tanah yang perlu dibayar.
Ini perlu dinyatakan dalam Pilihan untuk Membeli serta Perjanjian Jual Beli selain maklumat berhubung pemilikan tanah.
URA juga mengumumkan jadual pembayaran yang dipermudahkan bagi pembeli rumah.
Buat masa ini, tempoh untuk melunaskan pembayaran 15 peratus terakhir daripada harga pembelian adalah berbeza-beza, bergantung kepada sama ada Sijil Perakuan Siap Berkanun atau tarikh persiapan datang lebih awal.
"Proses ini akan dipermudahkan supaya pembeli rumah hanya perlu mengikut satu aliran urutan bagi jadual pembayaran," menurut URA.
Di bawah Perjanjian Jual Beli semasa, tempoh penanggungan kerosakan selama setahun akan bermula selepas hari ke-15 setelah menerima pembayaran Permit Pendudukan Sementara atau tarikh unit itu diserahkan kepada pembeli, yang mana lebih awal.
Tanggungjawab pembeli rumah ke atas bayaran penyenggaraan juga akan bermula pada hari ke-15.
Tempoh penanggungan kerosakan yang disemak dan tanggungjawab pembeli bagi bayaran penyenggaraan akan diubah kepada hari ke-35 di bawah pindaan yang diusulkan.
"Hari ke-35 mengambil kira 14 hari bagi pembeli rumah untuk membuat pembayaran buat ansuran yang perlu dilunaskan di peringkat TOP dan 21 hari bagi pemaju untuk menyerahkan pemilikan unit yang kosong sebaik sahaja menerima pembayaran daripada pembeli rumah," terang URA.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.