Perlindungan MediShield Hayat diperluas, rangkumi bil hospital masyarakat, kondisi kongenital
MediShield Hayat sudah diperluaskan kepada tiga bidang bagi memberikan perlindungan yang lebih baik kepada rakyat Singapura terhadap bil-bil perubatan yang besar, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada Rabu (7 Nov).
SINGAPURA: MediShield Hayat sudah diperluaskan kepada tiga bidang bagi memberikan perlindungan yang lebih baik kepada rakyat Singapura terhadap bil-bil perubatan yang besar, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada Rabu (7 Nov).
Para pesakit yang terus dimasukkan ke hospital masyarakat kini boleh membuat tuntutan sehingga S$350 sehari dari Medishield Hayat - pelan insurans kesihatan asas bagi rakyat dan penduduk tetap Singapura.
Sebelum ini, Medishield Hayat hanya merangkumi bil hospital masyarkat bagi pesakit yang dipindahkan dari hospital penjagaan akut.
Para pesakit dengan kondisi seperti jangkitan saluran kencing, jagaan luka bukan pembedahan, atau pemulihan pesakit yang dirawat di hospital bagi memperbaiki keupayaan mereka untuk melakukan aktiviti harian, dapat memanfaatkan peluasan daripada perlindungan ini. Menurut MOH, peluasan ini sudah dikuatkuasakan sejak 15 Julai.
Perlindungannya juga sudah diperluaskan untuk merangkumi pesakit yang memerlukan pemakanan parenteral jangka panjang. Para pesakit ini perlu diberi makan secara intravena atau melalui suntikan.
Mereka yang memenuhi kriteria klinikal bagi penjagaan sedemikian selama 90 hari ke atas boleh membuat tuntutan sehingga S$1,700 sebulan daripada MediShield Hayat dan mengeluarkan sehingga S$200 dari MediSave bagi beg pemakanan parenteral. Perlindungan ini berkuat kuasa 1 November.
MediShield Hayat turut merangkumi pembedahan bagi dua kondisi sejak lahir (kongenital) - Trisomy 18, atau dikenali sebagai Sindrom Edwards; dan Alobar Holoprosencephaly, yang menyebabkan pembangunan tidak normal pada bahagian depan otak janin. Perlindungan ini juga berkuat kuasa sejak 1 November.
"Rawatan bagi kondisi sebegini sebelum ini dikecualikan daripada perlindungan MediShield Hayat, kerana rawatannya tidak berkesan," menurut MOH.
"Namun penyelidikan antarabangsa menunjukkan baru-baru ini bahawa rawatan sedemikian boleh meningkatkan mutu kehidupan dan peluang hidup pesakit."
Tiada perubahan dibuat pada premiumnya sejauh ini, namun ia akan disemak menjelang hujung 2020. Semakan tersebut akan mengambil kira bilangan tuntutan dan inflasi kos penjagaan kesihatan serta peningkatan yang mungkin diusulkan pada masa akan datang.
"MOH akan menyemak MediShield Hayat secara kerap bagi memastikan ia menyediakan perlindungan kepada rakyat Singapura daripada bil hospital yang tinggi dan sesetengah rawatan pesakit luar yang mahal, selaras dengan kemajuan pada penjagaan kesihatan," menurut MOH.
"Pesakit yang tidak mampu melunaskan bil selepas mendapat subsidi, MediShield Hayat dan MediSave boleh membuat permohonan bagi MediFund. Tiada seorang pun rakyat Singapura akan dikecualikan daripada penjagaan kesihatan yang sewajarnya semata-mata kerana tidak mampu."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.