Perlindungan insurans perubatan wajib bagi pekerja hijrahan, pembantu rumah bakal naik

(Gambar: Calvin Oh)
SINGAPURA: Insurans perubatan wajib bagi pemegang permit kerja dan Pas S akan ditingkatkan untuk melindungi majikan daripada bil perubatan yang tinggi dan tidak dijangkakan.
Demikian menurut Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia Dr Koh Poh Koon pada Jumaat (4 Mac).
Syarat-syarat baru itu turut meliputi pembantu rumah. Ia berkuatkuasa menjelang akhir tahun ini bagi semua permohonan dan pembaharuan permit kerja dan Pas S.
Kementerian Tenaga Manusia (MOM) akan memberikan perinciannya kelak.
Majikan bertanggungjawab atas perbelanjaan perubatan pemegang permit kerja dan Pas S di Singapura.
Bil perubatan pekerja ini tidak diberi subsidi atau dilindungi di bawah skim negara seperti MediShield Hayat dan MediFund.
Untuk membantu majikan menguruskan bil perubatan pekerja mereka dengan lebih baik lagi, mereka dikehendaki membeli insurans perubatan dengan yang memberi perlindungan sekurang-kurangnya S$15,000 bagi pemegang permit kerja dan Pas S.
Setiap tahun, lebih 1,000 majikan harus membayar secara purata lebih S$15,000 bagi kos perubatan, kata Dr Koh.
Bagi jumlah lebih S$15,000, akan terdapat ciri bayaran bersama bagi majikan dan syarikat insurans, dengan tuntutan tahunan dihadkan kepada sekurang-kurangnya S$60,000.
Misalnya, bagi bil perubatan yang berjumlah S$70,000 sekarang, syarikat insurans akan membayar jumlah pertama sebanyak S$15,000 manakala baki S$55,000 ditampung majikan.
Dengan insurans perubatan yang dipertingkatkan ini, syarikat insurans akan terus membayar penuh S$15,000. Syarikat insurans akan membayar 75 peratus daripada baki S$55,000, manakala selebihnya sebanyak S$13,750 ditampung majikan.
Had tuntutan tahunan lebih tinggi itu meliputi lebih 99 peratus bil pembedahan dan rawatan hospital pekerja hijrahan, menurut MOM.
Jumlah premium berbeza juga akan disediakan bagi mereka yang berusia 50 tahun dan ke bawah, serta yang berusia lebih 50 tahun ke atas.
Ini dilakukan supaya premium kekal berpatutan, memandangkan 95 peratus tenaga kerja hijrahan berusia kurang 50 tahun, menurut Dr Koh lagi.
MOM juga akan menetapkan senarai pengecualian yang dibenarkan untuk semua syarikat insurans.
Sebagai contoh, pembedahan yang tidak diperlukan dari segi perubatan, rawatan akibat kegiatan jenayah pekerja, kecederaan akibat kelakuan sendiri dan penyakit kelamin.
Syarikat insurans juga mungkin mengecualikan rawatan bagi penyakit yang sudah didiagnosis dalam masa 12 bulan pertama pekerja tersebut digajikan majikan yang sama.
Syarikat insurans juga perlu membayar langsung kepada hospital jika tuntutan wang itu boleh diterima. Ini bermakna majikan tidak perlu membayar bil hospital pekerja mereka sebelum membuat tuntutan insurans.
"Ini akan membantu majikan yang menghadapi kesulitan wang dan melonggarkan aliran tunai bagi perniagaan," menurut Dr Koh lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.