Skip to main content

Singapura

Perlindungan insurans COVID-19 kini tersedia bagi pelawat ke Singapura

Para pelawat asing yang datang ke Singapura kini boleh membeli perlindungan insurans bagi kos-kos berkaitan COVID-19 semasa mereka berada di sini. 

Anggaran Waktu Membaca:
Perlindungan insurans COVID-19 kini tersedia bagi pelawat ke Singapura

(Gambar: AP/Ee Ming Toh)

Diterbitkan : 18 Nov 2020 02:26PM Dikemas Kini : 18 Nov 2020 02:30PM

SINGAPURA: Para pelawat asing yang datang ke Singapura kini boleh membeli perlindungan insurans bagi kos-kos berkaitan COVID-19 semasa mereka berada di sini. Demikian menurut Changi Airport Group (CAG) dan Lembaga Pelancongan Singapura (STB) dalam satu kenyataan bersama pada Rabu (18 Nov).

Pengumuman itu dibuat bagi pihak Perikatan Pasukan Bertindak Bangkit Lebih Teguh bagi Tindakan Mengupayakan Pengalaman Pelawat yang Selamat dan Inovatif.

"Perlindungan insurans di Singapura dikenal pasti sebagai penggerak utama yang memudahkan penyambungan semula perjalanan ke Singapura," menurut CAG dan STB.

CAG, STB dan Persatuan Insurans Umum Singapura telah mendekati syarikat-syarikat insurans privet yang berminat untuk menyediakan perlindungan sedemikian.

Susulan daripada itu, tiga syarikat insurans - AIG Asia Pacific Insurance, Chubb Insurance Singapore Limited dan HL Assurance - menghasilkan produk-produk yang menyediakan perlindungan bernilai sekurang-kurangnya S$30,000 bagi rawatan perubatan dan hospital berkaitan dengan COVID-19.

"Perlindungan minimum sebanyak S$30,000 disarankan oleh Kementerian Kesihatan berdasarkan bil COVID-19 di hospital-hospital privet, di mana para pelawat ke negara ini lazimnya menerima rawatan bagi COVID-19," menurut CAG dan STB.

"Para pelawat asing yang memasuki Singapura menerusi pelbagai Laluan Perjalanan Selamat dikehendaki menanggung sepenuhnya kos rawatan perubatan, ujian dan pengasingan jika mereka disyaki dijangkiti virus korona itu, atau memerlukan rawatan perubatan bagi COVID-19 semasa beradad di Singapura."

Premium-premium bermula dari S$5.35 termasuk Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan had pelan insurans yang tersedia adalah di antara S$30,000 dengan S$250,000.

Polisi-polisi dari AIG dan HL Assurance sudah pun dijual, sementara pelan Chubb akan tersedia dari 27 Nov. Pelan-pelan boleh dibeli menerusi lelaman syarikat insurans.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita