Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perlawanan Liga Perdana S'pura ditunda bagi hormati mendiang presiden FAS Lim Kia Tong

Anggaran Waktu Membaca:
Perlawanan Liga Perdana S'pura ditunda bagi hormati mendiang presiden FAS Lim Kia Tong

(Gambar: AIA Singapore Premier League/Facebook)

SINGAPURA: Liga Perdana Singapura (SPL) menangguhkan pusingan perlawanan seterusnya sebagai memberi penghormatan susuli pemergian Presiden Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) Lim Kia Tong. 

Empat perlawanan, sebahagian daripada Minggu Perlawanan 25, dijadual berlangsung pada petang Jumaat (16 Sep) dan Sabtu (17 Sep). 

Perlawanan tersebut kini akan berlangsung pada 21 dan 22 Oktober untuk menutup musim 2022, menurut SPL dan FAS dalam satu kenyataan media pada Rabu (14 Sep). 

SPL akan kembali beraksi pada 1 Oktober, dengan Tanjong Pagar United berdepan Young Lions dan Tampines Rovers menentang Geylang International.

Perlawanan liga tempatan lain yang sepatutnya berlangsung antara Rabu (14 Sep) dengan 22 Sep juga dijadualkan semula termasuk Liga 2 Bola Sepak Singapura, Liga Nasional Wanita dan Liga Pusat Kecemerlangan Bawah-17. 

"Perkembangan lanjut semua perlawanan terjejas akan diberitahu pada masa terdekat," menurut SPL dan FAS. 

RAMAI BERI PENGHORMATAN KEPADA MENDIANG LIM

Kelab-kelab SPL memberi penghormatan kepada mendiang Encik Lim. 

Dalam catatan di Facebook, Lion City Sailors menyatakan mereka "terkejut dan berdukacita" apabila mendapat tahu tentang pemergian Encik Lim. 

"Kami menyampaikan takziah sedalam-dalamnya kepada keluarga mendiang pada waktu yang sedih ini," menurut Hougang United. 

Dalam kenyataan yang dimuat naik ke Facebook, Tampines Rovers menyatakan pemergian Encik Lim amat menyedihkan. 

"Kami mengucapakan takziah kepada keluarganya, dan bersama masyarakat bola sepak Singapura, berterima kasih terhadap khidmatnya kepada bola sepak tempatan," menurutnya. 

Geylang International mengucapkan takziah kepada keluarga Encik Lim dalam catatan di Facebook: "Geylang International berdiri bersama  Persatuan Bola Sepak Singapura dan masyarakat bola sepak Singapura meratapi pemergian presiden Encik Lim Kia Tong." 

"Semua anggota kelab kami berterima kasih atas komitmen dan sumbangannya kepada industri bola sepak Singapura," menurut Balestier Khalsa dalam catatan di Facebook. 

Akademi Albirex Niigata turut memuat naik gambar pelatih bertafakur sebelum sesi latihan mereka. 

Pengerusi kelab Daisuke Korenaga memberi penghormatan terhadap Encik Lim di Twitter, sambil menambah bahawa beliau baru saja menemui presiden FAS itu minggu lalu. 

"Sudah tentu, terdapat masa-masa apabila beliau berdepan dengan perkara-perkara yang sukar, tetapi beliau selalu jujur dan ikhlas. Semoga rohnya tenang," tulis Encik Korenaga dalam bahasa Jepun. 

Encik Lim merupakan ahli jawatankuasa FAS sejak 1999 sebelum dilantik sebagai presiden pada 2017. Sebelum itu, Encik Lim berkhidmat sebagai anggota jawatankuasa  sebelum menjadi naib presiden pada 2007.

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan