Skip to main content

Singapura

Perkukuh pendekatan berbilang hala bagi tangani norma global yang semakin melemah: PM Wong

Negara-negara harus bertindak balas terhadap norma global yang semakin lemah dengan menggalakkan integrasi, meruntuhkan halangan dan memperkukuh pendekatan pelbagai hala, kata Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong pada Rabu (25 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 25 Jun 2025 04:55PM Dikemas Kini : 25 Jun 2025 11:57PM
TIANJIN: Negara-negara harus bertindak balas terhadap norma global yang semakin lemah dengan menggalakkan integrasi, meruntuhkan halangan dan memperkukuh pendekatan pelbagai hala, kata Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong pada Rabu (25 Jun).

Sambil menekankan bahawa adanya kemungkinan untuk mengemas kini peraturan perdagangan global, selain menambah baik sistem pelbagai hala, beliau menambah: “Ia kerja yang memakan masa, tetapi tiada alternatif lain. Satu sistem baharu tidak akan muncul secara ajaib. Kita perlu berusaha ke arahnya.”

Ini merangkumi apa yang beliau gambarkan sebagai “pendekatan pelbagai hala fleksibel” – iaitu memulakan usaha bersama negara-negara yang sehaluan, sementara yang lain boleh menyertainya apabila mereka sudah lebih bersedia, katanya semasa sesi dialog bersama Presiden Forum Ekonomi Dunia (WEF), Borge Brende.

Berucap di Mesyuarat Tahunan Juara Baharu WEF di Tianjin, yang juga dikenali sebagai Davos Musim Panas, Encik Wong menyatakan bahawa dunia melalui tempoh integrasi global yang tidak pernah berlaku sebelum ini selepas berakhirnya Perang Dingin.

Malangnya, dunia kini sedang berubah, katanya. “Kita lihat dari tahun ke tahun, tekanan semakin meningkat, dan rasa tidak berpuas hati terhadap globalisasi juga semakin ketara.”

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, akibat pandemik COVID-19 dan kebimbangan keselamatan disebabkan konflik di Eropah dan Timur Tengah, dunia kini berada dalam kedudukan yang sangat berbeza, tambahnya.

“Norma global, peraturan global semakin lemah. Institusi global juga semakin lemah. Dan nasionalisme ekonomi sedang menggantikan kerjasama saling menguntungkan,” kata Encik Wong.

Negara-negara kecil seperti Singapura bimbang kerana mereka mempunyai pilihan dan kuasa tawar-menawar yang terhad, serta berisiko dipinggirkan, tambahnya.

Namun, negara-negara besar juga akan berdepan cabaran dalam persekitaran baharu tersebut kerana ia akan menjadi lebih sukar untuk menangani ancaman bersama – seperti pandemik, perubahan iklim atau kejutan kewangan, kata beliau.

“Saya rasa tindak balas kita secara kolektif haruslah untuk terus memanfaatkan daya yang dapat menyatukan orang ramai, menggalakkan integrasi, meruntuhkan halangan dan memperkukuh pendekatan pelbagai hala,” kata perdana menteri itu, sambil menambah bahawa Singapura akan memainkan peranannya.

“Pendekatan pelbagai hala yang lebih berdaya tahan, lebih inklusif dan lebih sesuai dengan realiti masa kini.”

Menggunakan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) sebagai contoh, Encik Wong menyatakan bahawa sistem tersebut “tidak berfungsi dengan baik”, dengan beberapa peraturannya “tidak sejajar dengan realiti ekonomi hari ini”, seperti pertumbuhan perdagangan digital.

“Sekali lagi, tindak balasnya bukanlah untuk menghapuskan peraturan, tetapi untuk memikirkan bagaimana ia boleh diperbaiki,” tambah beliau.

Encik Wong turut menyatakan bahawa Singapura sudah bekerjasama dengan Australia dan Jepun untuk mengadakan Inisiatif Kenyataan Bersama mengenai E-Dagang. Selepas lima tahun berunding, lebih 70 negara kini bersetuju dengan set pertama peraturan bagi perdagangan digital.

Contoh-contoh tersebut menunjukkan bahawa ia adalah sesuatu yang boleh dilakukan, mengemas kini undang-undang bagi menambah baik sistem pendekatan pelbagai hala dan institusi global sedia ada, kata beliau.

TARIF AMERIKA SYARIKAT

Semasa sesi dialog tersebut, Encik Brende bertanya kepada Encik Wong mengenai duti 10 peratus yang dikenakan ke atas Singapura oleh Amerika Syarikat, yang disifatkan beliau sebagai “aturan yang agak baik”.

Singapura mempunyai perjanjian perdagangan bebas dengan Amerika Syarikat, dan Amerika Syarikat mempunyai lebihan dagangan dengan Singapura, kata Encik Wong sambil mengajak para hadirin untuk “melihat kepada fakta”.

“Jadi berdasarkan FTA dan fakta imbangan dagangan, seharusnya tiada tarif yang dikenakan, bukan 10 peratus. Tetapi saya fikir Amerika sudah menetapkan bahawa 10 peratus adalah kadar asas mereka, dan mereka mungkin tidak akan menurunkannya,” kata PM Wong.

“Kami sudah berhubung dengan para pegawai mereka, tetapi itu, saya rasa, adalah cara pemikiran mereka ketika ini,” kata beliau.

Encik Wong juga menyatakan bahawa negara-negara Asia Tenggara lain berdepan tarif yang lebih tinggi. Singapura berharap apabila Amerika membuat keputusan mengenai “tarif timbal balik”, kadarnya akan diturunkan, menghampiri 10 peratus, tambahnya.

Encik Wong turut menjawab soalan daripada Encik Brende mengenai cara Singapura mengimbangi hubungannya dengan Amerika Syarikat dan China.

Perdana menteri itu menekankan bahawa Singapura mempunyai hubungan yang “luas dan kukuh” dengan kedua-dua negara tersebut.

“Saya tahu semua orang memantau dan meneliti apa yang kami katakan dan lakukan dengan sangat teliti, cuba menafsirkan setiap maksud tersembunyi di sebalik setiap perkataan, setiap tindakan, sama ada kami semakin cenderung ke satu pihak atau yang lain,” kata Encik Wong.

“Tetapi itu bukan cara kami melihat sesuatu, itu bukan pendekatan kami.”

"Titik permulaan" Singapura adalah apa yang akan memajukan kepentingan negara, katanya.

Dengan hubungan yang baik bersama Amerika Syarikat dan China, Singapura akan terus melakukan apa yang perlu untuk menggalak dan memajukan kepentingannya, tambah beliau.

“Ia bukan soal mengimbangi antara dua kuasa besar, tetapi mengenai pendekatan yang konsisten dan berprinsip dalam memajukan dan melindungi kepentingan Singapura.”

Jika Singapura terus berpegang kepada pendekatan “yang konsisten dan berprinsip” ini, rakan-rakan kongsinya – termasuk Amerika Syarikat, China dan negara lain – akan melihatnya sebagai rakan kongsi yang boleh dipercayai dan diyakini, kata Encik Wong.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita