Skip to main content

Singapura

Perkhidmatan Penjara Singapura manfaatkan teknologi perkemas proses pesalah masuk penjara

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 28 Jan 2026 05:58PM Dikemas Kini : 15 Feb 2026 10:55AM
SINGAPURA: Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) telah memanfaatkan teknologi untuk memperkemas proses kemasukan pesalah ke dalam penjara, serta mengurangkan pengendalian secara manual oleh pegawai sambil meningkatkan keselamatan dan kecekapan.

Antara teknologi yang digunakan termasuk loker biometrik dan sistem telefon dalam penjara.

Pemeriksaan keselamatan yang canggih kini juga memainkan peranan penting, sementara para pegawai menyeimbangkan keperluan keselamatan dengan pentingnya sifat ihsan.

Dalam satu lawatan eksklusif, Wartawan Hidir Ezat telah diberi akses untuk menelusuri perjalanan seorang pesalah dari saat beliau dijatuhkan hukuman di mahkamah hingga beliau dimasukkan ke penjara.

Proses itu bermula di Mahkamah Negara sejurus selepas seseorang disabitkan kesalahan, dan berakhir apabila mereka dimasukkan ke dalam sel di Kompleks Penjara Changi.
Related article image
Proses perjalanan pesalah bermula dari Mahkamah Negara sejurus beliau dijatuhkan hukuman di Mahkamah Negara. (Gambar: CNA/Alyssa Tan)
Penolong Superintendan Penjara (ASP), Muhamad Asfadly Aspar, berkongsi bahawa terdapat beberapa langkah yang harus dilalui di Mahkamah Negara sebelum seorang pesalah itu dibawa ke penjara.

"Apabila seorang tahanan (PIC) menerima hukuman mereka, seseorang pegawai penjara bantuan (APO) akan memindahkannya ke sebuah bilik tahanan supaya seorang pegawai akan melaksanakan proses pemeriksaan PIC tersebut," kata ASP Asfadly.

"Pegawai-pegawai kami akan memeriksa semua barang-barang peribadi PIC dan mereka harus menyimpannya di dalam beg. Mereka harus menyimpannya di dalam beg yang lutsinar. Dan dari situ, barangan mereka akan dicatatkan dengan PIC tersebut," katanya lagi.

Beliau turut berkongsi bahawa pesalah akan diberikan pengecualian dalam kes-kes tertentu, khususnya apabila melibatkan individu dalam tahanan (PIC) yang perlu menggunakan alat perubatan seperti inhaler atau mempunyai masalah jantung yang telah dinyatakan dalam surat doktor, sekiranya ada.

"Untuk mengunci loker tersebut, mereka harus menggunakan cap jari mereka. Selepas barangan peribadi mereka telah dikunci, PIC tersebut harus salin kepada pakaian seragam penjara. Dalam masa yang sama, pegawai kami akan memeriksa badan mereka untuk keselamatan mereka," kata ASP Asfadly.
Related article image
Antara teknologi yang digunakan adalah sistem cap jari bagi mengunci loker yang mempunyai barang mereka. (Gambar: CNA/Alyssa Tan)
Pesalah juga diberi satu panggilan telefon sebelum mereka dibawa ke Kompleks Penjara Changi dengan menggunakan sistem 'Telephony' yang terletak di dalam sel tahanan.

"Dahulu kami menggunakan telefon biasa dengan kabel talian yang panjang. Jadi, dari situ APO saya perlu pusing ke seluruh bangunan untuk memberikan telefon kepada mereka seorang demi seorang. Keadaan ini memang sukar dan mengambil masa," kongsi ASP Asfadly.

"Dengan adanya sistem telefon ini, ia dapat mengurangkan penggunaan masa dan menjadikan tempoh mereka berada di lokap lebih berkesan dan produktif," tambahnya lagi.

PEMINDAHAN DARI MAHKAMAH NEGARA KE KOMPLEKS PENJARA CHANGI

Setelah selesai proses pemeriksaan pesalah, mereka akan menaiki “Black Maria”, iaitu bas penjara, yang akan membawa mereka ke Kompleks Penjara Changi pada penghujung hari.
Related article image
Pesalah akan dibawa naik 'Black Maria', iaitu bas penjara, untuk ke Kompleks Penjara Changi. (Gambar: CNA/Alyssa Tan)
Menurut ASP Muhammad Mokhsin Kamarudin, setibanya pesalah ke Kompleks Penjara Changi, mereka akan menjalani beberapa pemeriksaan bagi mengesan sebarang barangan terlarang.

"Proses yang akan dilalui mereka ialah pemeriksaan oleh anjing K9, memverifikasikan informasi mereka, pemeriksaan badan, dan mereka akan berjumpa pegawai ketua operasi jika mereka ingin melakukan rayuan," kata ASP Mokhsin.
Related article image
Antara pemeriksaan yang akan dilalui oleh pesalah adalah pemeriksaan oleh anjing di Kompleks Penjara Changi. (Gambar: CNA/Alyssa Tan)
"Apabila seorang banduan ingin membuat rayuan, kumpulan kami akan berkomunikasi secara teliti dengan mahkamah kerana proses tersebut melibatkan ramai dan pelbagai pihak seperti peguam dan mahkamah. Oleh itu, amat penting untuk kumpulan kami memastikan yang informasi yang dicatatkan adalah tepat," tambahnya lagi.
Related article image
Pesalah turut akan menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum dibawa ke sel masing-masing. (Gambar: CNA/Alyssa Tan)
Para pesalah kemudian akan menjalani penilaian perubatan oleh doktor sebelum akhirnya dibawa ke sel masing-masing.

Dengan penggunaan teknologi yang semakin canggih serta pendekatan berteraskan sifat ihsan, menurut SPS ia bukan sahaja berusaha memastikan keselamatan dan kecekapan sistem, malah memberi penekanan terhadap kesejahteraan pesalah sejak langkah pertama mereka memasuki sistem pemulihan.

Bagi para pegawai penjara, setiap proses bukan sekadar prosedur keselamatan, tetapi juga permulaan perjalanan pesalah ke arah perubahan dan peluang kedua dalam kehidupan.
Sumber : BERITA Mediacorp/hd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita