Perkhidmatan Penjara SG utamakan kesejahteraan mental kakitangannya, perkenal pelbagai inisiatif
Sudah sedekad ASP Abdul Rahman Mohamed Yusoff menyandang tanggungjawab tambahan selaku pegawai ‘CARE’ bagi menyokong rakan-rakan setugasnya di Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS).
This audio is generated by an AI tool.
Di samping melaksanakan tugasnya sebagai Pegawai Pembangunan Kakitangan SPS, ASP Abdul Rahman juga menyumbang waktu dan tenaga menjadi pegawai ‘CARE’ untuk membantu dan memberi bimbingan kepada rakan-rakan sekerja.
"Kami memberi sokongan yang segera kepada rakan-rakan kerja yang menghadapi situasi yang traumatik Walaupun di kerja ataupun di rumah, kami akan berikan sokongan emosi dan sokongan administratif," kata ASP Abdul Rahman, yang sudah 15 tahun berkhidmat di SPS.
"Kami akan memberi sokongan emosi tapi adakala kami akan tolong membelikan makanan, mencari khidmat-khidmat yang diperlukan oleh keluarga itu. Sebagai pegawai 'CARE', kami memantau situasi itu. Kami akan lihat kalau seandainya pegawai itu 'ok' atau tidak," ujarnya.
Menurutnya lagi, para kakitangan yang memerlukan bantuan lanjutan akan dirujukkan kepada pakar psikologi di SPS.
"Ia adalah satu khidmat yang memuaskan bila kami dapat menolong rakan-rakan kerja. Kalau kita tidak menjaga kesihatan mental kita, ia akan melarat dan menjejas fizikal kami," tambah ASP Abdul Rahman.
Buat masa ini, SPS mempunyai 350 pegawai 'CARE'.
Program ‘CARE’ itu merupakan antara inisiatif SPS untuk memberi sokongan emosi dan mental kepada kakitangannya yang kerap mengalami tekanan tinggi disebabkan persekitaran serta tuntutan tugas yang mencabar.
Ini lebih-lebih lagi sewaktu COVID-19 apabila mereka perlu menyesuaikan diri dengan beberapa perubahan di tempat kerja yang perlu diambil demi menjaga keselamatan kakitangan.
Ini sehinggakan SPS menyaksikan trend meningkat dalam jumlah pegawainya yang telah mengalami kepenatan berlebihan atau 'burnout'.
"Pegawai penjara harus memastikan keselamatan penghuni penjara dan juga keselamatan orang-orang sekeliling di penjara. Satu daripada cabaran pegawai penjara adalah tekanan tinggi yang berlanjutan. Semasa di dalam kawasan penjara, mereka harus berwaspada tentang keselamatan dan kita tahu bila seseorang itu dalam keadaan tekanan yang berlanjutan, ia tidak sihat dari segi fizikal, mental dan psikologi," kata Timbalan Pengarah Kanan (Pengendalian Psikologi), Cik Rashida Mohamed Zain dalam satu wawancara eksklusif bersama wartawan Syawal Yusoff.
Antaranya ialah rangka kerja 'WeWorkWell' yang dilakarkan bagi menekankan kepentingan kesihatan mental bagi semua kakitangan dan pegawai penjara pada semua peringkat.
"Kesemua para pekerja kami dididik untuk mengenal pasti kesihatan mental. Dengan cara itu, mereka dapat menolong rakan-rakan kerja yang sedang melalui kesukaran atau cabaran dalam segi mental atau tekanan.
"Jika pegawai penjara ada masalah dengan tekanan kerja atau masalah kesihatan mental, mereka dapat berjumpa dengan pegawai-pegawai lain untuk menerima sokongan atau mereka dapat berjumpa dengan unit psikologi di mana ahli psikologi dapat menolong mereka untuk mendapatkan intervensi," tambah Cik Rashida yang juga memegang peranan sebagai Ahli Psikologi Utama di SPS.
SPS juga menganjurkan Festival Kesejahteraan beberapa kali setahun buat para pegawai di semua kelompok dan jabatan di penjara.
Selain berkongsi tip-tip kesihatan mental, acara separuh hari itu turut menampilkan aktiviti-aktiviti kraftangan serta reruai oleh organisasi lain yang menyokong usaha tersebut.
"Festival yang kami adakan ialah untuk meningkatkan lagi kefahaman para pegawai kami tentang kesihatan mental dan juga adalah satu cara untuk mereka berehat semasa bekerja. Ini adalah satu peringatan bagi mereka. Jangan kerja sahaja tetapi pentingnya bila mereka harus rehat," ujar Cik Faridah.
"Bila perkara ini dibincangkan secara normal, sesiapa yang terjejas dalam tekanan di kerja atau mengalami kesakitan mental, mereka tidak akan rasa takut untuk berkongsi tentang cabaran mereka. Jadi, mereka dapat berbual dengan rakan sekerja atau bos-bos mereka dan mereka akan diberikan pertolongan yang sepatutnya.
"Lagi satu adalah cara pemikiran organisasi itu, pemimpin mereka juga harus lebih terbuka tentang kesihatan mental dan kerana itu akan membentuk budaya organisasi itu dalam menyokong kesihatan mental di organisasi mereka," jelas Cik Rashida.
Selain acara-acara kesihatan mental, SPS juga kerap menganjurkan kegiatan-kegiatan riadah dan sukan di peringkat kelompok dan jabatan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.