Skip to main content

Singapura

Perkhidmatan MRT Novena disambung semula dua jam selepas stesen ditutup akibat asap

Anggaran Waktu Membaca:
Perkhidmatan MRT Novena disambung semula dua jam selepas stesen ditutup akibat asap

(Gambar: Facebook/Adrian Choo)

Diterbitkan : 27 Oct 2023 08:03PM Dikemas Kini : 27 Oct 2023 09:06PM

SINGAPURA: Stesen MRT Novena di Laluan Utara-Selatan (NSEWL) ditutup selama sekitar dua jam pada petang Jumaat (27 Okt) selepas asap putih dan bau kebakaran memenuhi kawasan datarannya.

Menurut Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), mereka diberitahu tentang kejadian di Stesen MRT Novena sekitar jam 5.30 petang dengan asap sudah hilang apabila mereka tiba.

Siasatan awal oleh SCDF dan pengendali kereta api SMRT menunjukkan bahawa asap putih itu datang dari motor unit pengendalian udara di dalam bilik di aras datarannya.

"Sejak itu, SMRT telah mengasingkan sistem unit pengendalian udara untuk memudahkan siasatan lanjut," menurut SCDF, sambil menambah tiada kecederaan dilaporkan.

Pengguna Facebook Adrian Choo memuatnaik sebuah video yang menunjukkan asap di stesen MRT Novena. Menurutnya, satu mesej agar keluar diumumkan.
 

(Gambar: Facebook/Adrian Choo)
 
(Gambar: CNA/Marcus Mark Ramos)

Beberapa kenderaan SCDF kelihatan di luar stesen MRT itu.

Insiden itu menjejas perjalanan pada waktu sibuk, dengan perkhidmatan MRT diteruskan tanpa berhenti di stesen Novena dalam perjalanan menuju ke dua-dua arah.

SMRT mengumumkan bahawa perkhidmatan bas biasa dan bas penyambung percuma disediakan antara Toa Payoh dengan Newton di kedua-dua arah.

Apabila dihubungi untuk maklumat lanjut mengenai kejadian itu, Mediacorp dirujukkan kepada akaun media sosial SMRT.

Stesen MRT itu kemudian dibuka semula pada jam 7.30 malam.

Encik Choo memberitahu Mediacorp bahawa beliau sedang menuju ke stesen Novena selepas kerja apabila dia melihat sekumpulan orang ramai berkeliaran di daerah itu.

"Terdapat bau asap dan getah terbakar," katanya, sambil menambah bahawa beliau melihat asap putih berkepul-kepul dari kawasan platform MRT.

Lelaki berusia 51 tahun itu kemudian meninggalkan kawasan itu untuk menunggu kereta Grab di pusat beli-belah Velocity, yang terhubung dengan stesen MRT itu.

Beliau menyatakan terdapat kesesakan lalu lintas di kawasan itu dengan kerja-kerja jalan raya yang sedang dijalankan dan kereta bomba menghadapi kesukaran untuk masuk.

Beliau berkata, keadaan di stesen MRT itu kelihatan tenang, dengan orang ramai mengambil gambar dan video.

(Gambar: CNA/Marcus Mark Ramos)
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita