Perkhidmatan Digital & Perisikan SAF lancarkan markas latihan baharu bagi hadapi ancaman semakin berkembang
Ketua Perkhidmatan Digital dan Perisikan (DIS), Mejar Jeneral Lee Yi-Jin (kiri), menyerahkan lambang markas kepada Komander DTCOM, Pakar Tentera 7 (ME7) Steven Lim (kanan), dalam majlis perasmian pada 6 Nov 2026. (Gambar: MINDEF)
- The Digital and Intelligence Service (DIS), the fourth service of the Singapore Armed Forces (SAF), launched the DIS Training Headquarters at Bukit Panjang Camp on Nov 6 to address technological changes and security threats.
- The headquarters brings together training across six fields, from intelligence and cybersecurity to information defence, and covers foundational and advanced learning as well as leadership development throughout a career.
- MINDEF and DIS leaders said centralised training would be updated with real operational experience so that personnel, including NSmen, remain skilled, adaptable and able to support joint SAF operations.
- New schools and amenities will be developed in phases, including a School of Technology and Intelligence Analysis and a joint intelligence school planned for 2027, to improve threat detection and SAF readiness.
- Perkhidmatan Digital dan Perisikan (DIS), cabang keempat Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), melancarkan Markas Latihan DIS di Kem Bukit Panjang pada 6 November untuk menghadapi perubahan teknologi dan ancaman keselamatan.
- Markas itu menyatukan latihan dalam enam bidang, daripada perisikan dan keselamatan siber hingga pertahanan maklumat, serta merangkumi pembelajaran asas, lanjutan dan pembangunan kepimpinan sepanjang kerjaya.
- MINDEF dan pemimpin DIS berkata latihan berpusat akan dikemas kini dengan pengalaman operasi sebenar supaya anggota, termasuk NSmen, kekal mahir, mudah menyesuaikan diri dan mampu menyokong operasi bersama SAF.
- Sekolah serta kemudahan baharu akan dibangunkan secara berperingkat, termasuk sekolah teknologi dan analisis perisikan serta sekolah perisikan bersama yang dirancang pada 2027, bagi meningkatkan pengesanan ancaman dan kesiapsiagaan SAF.
SINGAPURA: Perkhidmatan Digital dan Perisikan (DIS), cabang keempat Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), melancarkan sebuah markas latihan baharu pada Jumaat (6 Nov) bagi memastikan para anggotanya mempunyai kemahiran untuk menghadapi perkembangan teknologi dan ancaman keselamatan yang berubah dengan pantas.
Markas Latihan DIS (DTCOM), yang dirasmikan dalam satu majlis di Kem Bukit Panjang, menggabungkan pelbagai unit latihan DIS di bawah satu bumbung supaya latihan dapat dijalankan dengan lebih tersusun dan berkesan.
Menurut Kementerian Pertahanan (MINDEF), markas itu akan melatih para anggota dalam enam bidang utama, iaitu perisikan, keselamatan siber, teknologi digital, sistem perintah, kawalan, komunikasi dan komputer (C4), perlindungan elektronik serta pertahanan maklumat.
"Melalui pendekatan latihan dan pembangunan profesional yang lebih tersusun dan berpusat, DTCOM akan memperkukuh keupayaan DIS untuk melahirkan para anggota yang berkemahiran tinggi, mudah menyesuaikan diri dan sentiasa bersedia menjalankan operasi," menurut MINDEF dalam satu kenyataan.
Dalam ucapannya pada majlis tersebut, Ketua DIS, Mejar Jeneral (MG) Lee Yi-Jin, berkata SAF mengharapkan anggota DIS menjadi pakar yang benar-benar mahir dalam bidang masing-masing.
"Namun, kepakaran dalam bidang kita tidak kekal relevan untuk tempoh yang lama. Teknologi terus berkembang, ancaman berubah dan cara kerja yang selama ini digunakan boleh menjadi lapuk dengan cepat," katanya.
Oleh itu, peranan DTCOM adalah untuk membantu para anggota menguasai bidang kepakaran masing-masing, di samping memastikan kemahiran dan pengetahuan mereka sentiasa dikemas kini.
Bercakap kepada wartawan pada Khamis, menjelang pelancaran tersebut, Pakar Tentera 5 (ME5) Quek Sheng Quan, yang akan mengetuai pejabat pembangunan markas latihan itu, berkata perubahan pesat dalam dunia digital membawa cabaran baharu.
Menurut beliau, ancaman keselamatan hari ini mungkin jauh berbeza daripada ancaman pada masa lalu, sekali gus memerlukan kaedah latihan sentiasa disesuaikan dengan keadaan semasa.
Beliau menambah markas latihan baharu itu bertujuan melengkapkan para anggota dengan kepakaran dalam teknologi siber dan digital supaya mereka dapat bertindak dengan berkesan dalam persekitaran keselamatan yang semakin rumit.
Pengalaman daripada operasi sebenar dan pengajaran yang diperolehi turut diterapkan dalam program latihan.
"Pendekatan ini memastikan latihan kekal relevan, praktikal dan mampu menangani ancaman baharu," kata ME5 Quek.
Komander DTCOM, Pakar Tentera 7 (ME7) Steven Lim, pula berkata pembelajaran berterusan dan inovasi penting untuk melahirkan para anggota yang bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Anggota yang terlatih dapat membantu SAF membuat keputusan lebih baik semasa operasi, selain memainkan peranan dalam melindungi ruang digital Singapura.
"Akhirnya, teknologi semata-mata tidak menentukan keupayaan kita mempertahankan Singapura. Anggota yang mengendalikan teknologi itulah yang membawa perbezaan," kata ME7 Lim, yang juga Ketua Latihan DIS.
SEKOLAH LATIHAN KHUSUS DALAM ENAM BIDANG
Menurut MINDEF, DTCOM akan bertanggungjawab merancang dan menyediakan latihan bagi semua bidang tugas dalam DIS, sepanjang kerjaya seseorang anggota.
Ini termasuk latihan asas, peringkat pertengahan, latihan lanjutan serta pembangunan kepimpinan.
Markas itu akan merangkumi sekolah dan unit latihan khusus dalam enam bidang utama, dengan lebih banyak kemudahan latihan akan ditubuhkan secara berperingkat pada 2027.
Antara sekolah sedia ada ialah Sekolah Imejan dan Geospatial, yang melatih para anggota menghasilkan maklumat perisikan seperti peta untuk kegunaan latihan SAF serta operasi bantuan kemanusiaan dan bencana.
Sebuah lagi institusi ialah Sekolah Lanjutan bagi Pendidikan dan Pembangunan Berterusan yang baru dilancarkan.
Sekolah itu memberikan tumpuan kepada pembelajaran berterusan dan pembangunan profesional, termasuk menyediakan peluang latihan di luar bilik darjah bagi membantu para anggota meningkatkan kemahiran sepanjang kerjaya mereka.
Antara sekolah yang dirancang untuk ditubuhkan pada 2027 ialah Sekolah Teknologi dan Analisis Perisikan.
Sekolah itu akan melatih anggota menggunakan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) untuk mengenal pasti ancaman baharu terhadap Singapura dengan lebih berkesan.
Sebuah Sekolah Perisikan Bersama juga akan ditubuhkan bagi melatih pegawai perisikan menilai perkembangan keselamatan serta kesannya terhadap Singapura.
Latihan tersebut juga bertujuan memperkukuh pemahaman anggota tentang keadaan keselamatan yang lebih luas, termasuk dari sudut strategi dan operasi.
PERKUKUH KESIAPSIAGAAN SELURUH SAF
Selain meningkatkan keupayaan DIS, markas latihan baharu itu juga akan membantu memperkukuh kesiapsiagaan operasi SAF secara keseluruhan, menurut MINDEF.
Dengan melengkapkan anggota DIS dengan kemahiran untuk beroperasi dalam persekitaran digital yang semakin rumit, mereka akan lebih bersedia menyokong cabang-cabang SAF yang lain dalam menjalankan operasi secara bersama dan berkesan.
DTCOM juga akan mempertingkatkan latihan dan pembangunan profesional bagi para anggota Perkhidmatan Negara yang sudah menjalani latihan sepenuh masa (NSmen).
Golongan ini memainkan peranan penting dalam memastikan keupayaan DIS dapat dikekalkan.
"Melalui latihan yang tersusun dan peluang untuk memperdalamkan kemahiran, anggota NSmen dalam DIS akan lebih bersedia mengikuti perkembangan teknologi dan menyesuaikan diri dengan keperluan operasi yang sentiasa berubah," menurut MINDEF.
Kementerian itu menambah usaha tersebut akan memastikan anggota DIS terus mahir dalam tugas masing-masing dan lebih bersedia menyokong keperluan operasi SAF.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.