Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perkhidmatan Awam SG terbaik di dunia dalam tinjauan Universiti Oxford

Anggaran Waktu Membaca:
Perkhidmatan Awam SG terbaik di dunia dalam tinjauan Universiti Oxford
Diterbitkan : 05 Dec 2024 05:28PM Dikemas Kini : 05 Dec 2024 05:31PM
SINGAPURA: Perkhidmatan Awam Singapura diisytiharkan sebagai yang terbaik di dunia, menurut kajian baharu Universiti Oxford yang menyenaraikan kedudukan pentadbiran awam sebanyak 120 negara.

Indeks Pentadbiran Awam Blavatnik, dikeluarkan oleh Sekolah Pemerintah Blavatnik - sekolah dasar awam Universiti Oxford - membandingkan prestasi perkhidmatan awam dan pentadbiran awam di seluruh dunia.

"Singapura menduduki tangga teratas, cemerlang dalam bidang-bidang seperti perkhidmatan sempadan, pentadbiran cukai, dan strategi dan amalan inovasi," menurut universiti itu dalam kenyataan pada Selasa (3 Dis).

Indeks Blavatnik adalah berdasarkan Indeks Keberkesanan Perkhidmatan Awam Antarabangsa (InCiSE) sekolah tersebut sebelum ini.

Rangka kerja ukurannya adalah berdasarkan sekitar empat domain yang mewakili bidang luas aktiviti pentadbiran awam: Strategi dan kepimpinan, dasar awam, penyampaian khidmat peringkat nasional, serta rakyat dan proses-prosesnya.

Ketua Perkhidmatan Awam Leo Yip berkata beliau berasa berbesar hati kerana Pentadbiran Awam Singapura mengungguli indeks tersebut yang dikeluarkan buat julung-julung kalinya.

"Kami dalam Perkhidmatan Awam Singapura telah menimba dan mempelajari banyak amalan terbaik daripada rakan-rakan sejawatan kami dan Perkhidmatan Awam seantero dunia," katanya.

"Indeks itu adalah satu usaha penting untuk membantu kami belajar daripada satu sama lain dan meningkatkan keberkesanan kami, untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat kita", tambahnya lagi.

Norway menduduki tempat kedua, dengan Kanada dan Denmark berkongsi tempat ketiga, diikuti Finland di tempat kelima. Britain menduduki tempat keenam bersama New Zealand.

Australia berada di tempat kelapan, manakala Amerika Syarikat berkongsi tempat kesembilan dengan Estonia, Perancis dan Sepanyol.

Negara Asia dengan kedudukan tertinggi seterusnya ialah Korea Selatan, di kedudukan ke-15.

Profesor Ngaire Woods, Dekan Sekolah Pemerintah Blavatnik, menyifatkan keputusan itu sebagai "seruan jelas" bagi penggubal dasar untuk memangkinkan penambahbaikan dan "peluang keemasan" untuk Perkhidmatan Awam melihat menjangkaui sempadan mereka untuk belajar daripada satu sama lain.

"Kami melihat nilai sebenar dalam Indeks tersebut bukan sahaja dari segi apa yang ditunjukkan oleh keputusannya tetapi juga perbincangan, pembelajaran dan penambahbaikan yang boleh digesa dan dirangsang, membolehkan pendekatan yang lebih berhemah dari segi data untuk menyusun semula Pentadbiran Awam," tambahnya.

METODOLOGI

Kajian itu menggunakan 82 titik data, atau metrik, daripada 17 sumber berbeza.

82 metrik itu digunakan bagi keempat-empat domain: Strategi dan kepimpinan, dasar awam, penyampaian khidmat peringkat nasional, serta rakyat dan proses-prosesnya.

Setiap domain ini terdiri daripada tema-tema yang ditetapkan. Sebagai contoh, kerjasama meliputi seluruh pemerintah akan dinilai di bawah domain strategi dan kepimpinan, manakala penggunaan data di bawah domain dasar awam.

Kecemerlangan Singapura dalam perkhidmatan sempadan dan pentadbiran cukai akan membantu negara ini mengatasi domain penyampaian khidmat peringkat nasional.

Data itu diperolehi daripada pelbagai sumber yang termasuk: Laporan Urus Niaga Bank Dunia; Barometer Rasuah Global Transparency International, yang mengukur pendapat umum tentang rasuah; dan Pangkalan Data Statistik Jantina Institut Eropah untuk Kesaksamaan Jantina.

Indeks Blavatnik tidak mengukur hasil dasar seperti jangka hayat atau kadar celik huruf. Andaian yang dibuat oleh indeks itu ialah bagi dua negara yang mempunyai matlamat yang sama, negara yang mempunyai perkhidmatan awam yang "lebih baik" harus mencapai hasil yang lebih baik.

Ranking itu tidak mengukur aspek tadbir urus awam yang lebih luas seperti badan perundangan, badan kehakiman, media dan kebebasan akademik. Unsur-unsur ini, menurut Blavatnik, adalah pertimbangan untuk pelaku politik dan bukan pentadbiran.

"Data perbandingan yang tersedia mengenai mutu dan fungsi pentadbiran awam tidaklah selengkap yang kami mahukan, tetapi hanya kerana data itu tidak sempurna, ia tidak bermakna ia tidak mempunyai kegunaannya," kata Profesor Woods.

Beliau menambah bahawa matlamat kedua dalam menyusun indeks adalah untuk menggalakkan dialog dan menggalakkan pengumpulan data selanjutnya, supaya gambaran yang lebih "jelas dan menyeluruh" tentang bagaimana pentadbiran awam berfungsi boleh dibangunkan dari semasa ke semasa.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan