Skip to main content

Singapura

Perkhidmatan awam mesti timba kemahiran baru untuk berubah: Chan Chun Sing

Encik Chan berkata bahawa program-program baru untuk meningkatkan kemahiran celik digital di kalangan kakitangan awam akan dilancarkan dari masa ke masa.

Anggaran Waktu Membaca:
Perkhidmatan awam mesti timba kemahiran baru untuk berubah: Chan Chun Sing

(Gambar: Facebook/Chan Chun Sing)

Diterbitkan : 05 Jul 2018 09:14AM Dikemas Kini : 05 Jul 2018 09:19AM

SINGAPURA: Inisiatif Moments of Life, yang menyediakan perkhidmatan dan maklumat untuk rakyat apabila mereka memerlukannya, menggambarkan satu "peralihan asas" dalam minda sektor perkhidmatan awam. Demikian menurut Menteri Bertanggungjawab bagi Perkhidmatan Awam Chan Chun Sing pada Rabu (4 Julai).

Inisiatif tersebut, yang pertama kali diumumkan tahun lepas sebagai salah satu daripada lima projek nasional strategik Negara Bijak, merupakan salah satu contoh yang disebut oleh Encik Chan tentang bagaimana perkhidmatan awam terus berusaha memperbaiki khidmatnya kepada rakyat.

"Semua projek ini menunjukkan peralihan secara beransur-ansur tetapi jelas dalam perkhidmatan awam - bahawa sekarang, ia semakin ketara, sedang kita mengatur diri kita, pemikiran kita bukanlah untuk memenuhi keperluan pertubuhan kita, tetapi bagaimana kita berkhidmat kepada rakyat," kata Encik Chan di Majlis Anugerah Transformasi Sektor Awam.

"Rakyat diutamakan dalam semua yang kita lakukan. Ini yang banyak mendorong saya apabila saya melihat sektor perkhidmatan menjalankan tugas kerana ia menunjukkan bahawa kita mempunyai kakitangan yang betul dengan nilai yang betul."

AMALKAN KEMAHIRAN BARU

Berucap kepada sekitar 900 orang hadirin termasuk para pegawai perkhidmatan awam, Encik Chan menekankan pentingnya menerapkan set kemahiran baru secara berterusan. Ini termasuk membina keupayaan digital, mereka bentuk dasar-dasar dan perkhidmatan daripada perspektif rakyat dan menghasilkan huraian dari pendekatan seluruh pemerintah.

Encik Chan berkata bahawa program-program baru untuk meningkatkan kemahiran celik digital di kalangan kakitangan awam akan dilancarkan dari masa ke masa.

"Jenis masalah yang akan kita hadapi bersifat rentas disiplin dan agensi," kata Encik Chan, yang memberi contoh Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB). "Hari ini, apabila HDB mereka bandar-bandar, ia bukan hanya melibatkan flat dan kawasan perumahan. HDB juga melihatnya daripada perspektif sosial - bagaimana kita merancang bandar kita untuk menggalak dan meningkatkan interaksi dan pergaulan antara satu sama lain? Bagaimana kita mereka bentuk estet-estet perumahan dengan memastikan bahawa keperluan privasi tidak membawa kepada pengasingan sosial apabila penduduk semakin menua nanti? "

Encik Chan juga menekankan pentingnya kerjasama di dalam dan antara agensi, serta masyarakat: "Kerjasama bermula dari premis asas yang kita bersikap rendah hati untuk mengakui dan menerima bahawa kita tidak boleh melakukannya secara sendiri, dan kita tidak selalu mempunyai idea terbaik di dalam agensi kami. "

"Mungkin agak menggentarkan untuk melakukan semua perkara baru ini, tetapi kita tidak perlu berasa takut," kata Encik Chan. "Sekiranya kita boleh melakukan perkara-perkara ini secara bertahap-tahap, modul demi modul dan mendedahkan para pegawai kita kepada kemahiran-kemahiran baru ini, saya yakin bahawa kita akan terus kekal relevan."

"Kita mencapai tahap yang tinggi dan dihormati di seluruh dunia bagi banyak perkara yang kita lakukan, tetapi kita tidak pernah puas dengan kedudukan kita sekarang. Kita tahu banyak bandar-bandar lain yang sedang cuba mengikut apa yang kita lakukan, dan mungkin juga akan mengatasi kita. Oleh itu, kita tidak boleh berpuas hati dengan pencapaian kita."

Semasa upacara tersebut, sebanyak 400 anugerah diberikan kepada para individu dan pasukan sebagai pengiktirafan atas kecemerlangan perkhidmatan dan inovasi mereka. Salah seorang daripada mereka ialah Encik George Lim, pengurus operasi di CHIJ Kellock, yang diiktiraf atas inovasinya di tempat kerjanya.

Encik Lim, 56 tahun, mereka semula sebuah troli yang digunakan untuk memindahkan meja dan kerusi bagi memudahkan kerja pasukan pegawai operasinya yang kebanyakannya berusia antara 60 hingga 80 tahun.

Bagi inovasinya itu, Encik Lim menerima anugerah perkhidmatan bintang cemerlang, yang mengiktiraf para pegawai awam yang memberikan mutu perkhidmatan yang tinggi.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita