Skip to main content

Singapura

Perkhidmatan awam jangan sekali-kali dipolitikkan; harus kekal objektif dan tidak berpihak, tegas DPM Wong

Anggaran Waktu Membaca:
Perkhidmatan awam jangan sekali-kali dipolitikkan; harus kekal objektif dan tidak berpihak, tegas DPM Wong

Timbalan Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong semasa memberi ucapan di upacara pelantikan dan kenaikan pangkat khidmat pentadbiran pada 28 Mac 2023.

Diterbitkan : 28 Mar 2023 11:06PM Dikemas Kini : 28 Mar 2023 11:08PM

SINGAPURA: Perkhidmatan Awam Singapura seharusnya tidak dipolitikkan dan mesti kekal objektif dan tidak berpihak, kata Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong pada Selasa (28 Mac). 

Berucap di upacara pelantikan dan kenaikan pangkat khidmat pentadbiran, Encik Wong menekankan cabaran yang dihadapi negara-negara maju, seperti paras gaji yang tidak berubah, ketidaksamaan yang semakin meningkat dan masyarakat yang semakin berpecah belah. 

Untuk mengatasi cabaran-cabaran tersebut, Pemerintah perlu "semua memainkan peranan" dan "yakin dengan tujuan" untuk mencarta laluan baru ke hadapan bagi Singapura, katanya. 

Encik Wong yang juga Menteri Kewangan, berkata anggota politik juga harus mendapatkan keyakinan dan kepercayaan warga Singapura, meraih sokongan mereka bagi dasar-dasar dan memperoleh mandat untuk memerintah. 

"Jadi, apabila kita harus membuat keputusan yang sukar, kita akan mempertimbangkan sejauh mana kita akan melakukan sesuatu dan bagaimana untuk menjelaskan kedudukan dan meyakinkan warga Singapura sebab keputusan-keputusan yang perit itu perlu, dan memanfaatkan semua," tambahnya. 

Misalnya, kenaikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), kata Encik Wong: "Percayalah, ia bukan sesuatu yang ingin saya memperkenalkan pada Belanjawan pertama saya sebagai Menteri Kewangan.

"Tetapi kami melakarkan sistem yang unik di Singapura di mana GST digabungkan dengan pengagihan lain,  memastikan kenaikan GST tidak akan menjejas teruk golongan miskin," katanya. 

"Dengan keyakinan itu, saya membuat keputusan untuk meneruskan langkah tersebut, menyedari bahawa langkah ini penting untuk mengimbangi belanjawan kami, dan untuk memastikan keadaan kewangan awam kekal stabil dan mampan pada tahun-tahun akan datang." 

Walaupun perkhidmatan awam tidak terbabit secara langsung dalam pertimbangan politik sedemikian, Encik Wong berkata, ia harus memahami keutamaan, pertimbangan dan agenda pemerintah. 

Ia juga harus menghargai kepelbagaian masyarakat dan persekitaran yang semakin rumit dan sengit; serta bekerjasama rapat dengan pemimpin-pemimpin politik dalam usaha membangunkan negara, tambahnya. 

"Pendek kata, anda harus peka dengan politik negara untuk melakukan tugas anda dengan cekap. Tetapi anda tidak boleh memihak pada mana-mana parti politik," kata Encik Wong. 

"Anda mesti kekal tidak berpihak dan menjalankan tugas anda dengan objektif, sambil menyedari konteks politik yang beroperasi di sekitar kita." 

Encik Wong menekankan kakitangan awam tidak seharusnya membuat andaian  apa yang dianggap sebagai "mudah dari segi politik" bagi para menteri, tetapi memberi penilaian profesional dan jujur semasa mengongsi pandangan mereka. 

Walaupun keputusan muktamad oleh ahli-ahli politik mungkin tidak "mengikut sepenuhnya" saranan-saranan profesional - dan idea mungkin tidak diterima - Encik Wong menggesa kakitangan awam agar tidak berkecil hati. 

"Terdapat pertimbangan-pertimbangan lebih luas dalam membuat keputusan," katanya. 

"Tetapi saya ingin meyakinkan anda bahawa idea dan pendapat profesional anda sangat penting bagi saya dan pasukan saya, dan menyumbang besar dalam proses membuat keputusan." 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita