Skip to main content

Singapura

Perkhidmatan awam akan lebih tekankan kemahiran, kecekapan pegawai: Chan Chun Sing

Perkhidmatan awam akan memberikan penekanan yang lebih besar kepada kemahiran dan kecekapan para pegawai ekoran selepas pengkajian semula sistem dan dasar sumber manusianya (HR) tahun lalu, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Perkhidmatan Awam Chan Chun Sing pada Selasa (6 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Perkhidmatan awam akan lebih tekankan kemahiran, kecekapan pegawai: Chan Chun Sing

Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing berucap di Parlimen pada 6 Apr 2020.

Diterbitkan : 07 Oct 2020 09:00AM Dikemas Kini : 07 Oct 2020 09:01AM

SINGAPURA: Perkhidmatan awam akan memberikan penekanan yang lebih besar kepada kemahiran dan kecekapan para pegawai ekoran selepas pengkajian semula sistem dan dasar sumber manusianya (HR) tahun lalu, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Perkhidmatan Awam Chan Chun Sing pada Selasa (6 Okt).

Encik Chan berkata demikian dalam satu jawapan bertulis kepada soalan yang diajukan oleh Anggota Parlimen (AP) Louis Ng dari Parti Tindakan Rakyat (PAP).

AP bagi GRC Nee Soon itu bertanya sama ada Pemerintah berhasrat untuk memansuhkan penggunaan Anggaran Tahap Potensi Semasa (CEP) dalam Perkhidmatan Awam.

Dalam jawapannya, Encik Chan berkata CEP diamalkan "sebagai proksi kepada potensi seorang pegawai".

"Ia dinyatakan dari segi tahap tanggungjawab tugas terbesar seseorang pegawai dinilai mampu lakukan dalam kerjayanya di Perkhidmatan Awam.

"Hari ini, ia digunakan sebagai kaedah perancangan pembangunan bakat dan penggantian bagi jawatan kepimpinan utama serta kaedah pengurusan kerjaya untuk pegawai yang sedang berkembang maju."

Sistem CEP dikaji semula sebagai sebahagian daripada "pengkajian semula secara proaktif" ke atas sistem dan dasar HR Perkhidmatan Awam tahun lalu untuk menyokong perubahan sektor awam, jelas Encik Chan.

"Kami menyimpulkan bahawa walaupun CEP masih merupakan kaedah yang berguna untuk mengenal pasti dan membangunkan pegawai dengan potensi kepimpinan, kami perlu menyesuaikan penggunaannya dalam beberapa cara."

Encik Chan, yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan, berkata ciri-ciri "kecekapan kepimpinan" yang dinilai dalam CEP sudah "diperbaharui untuk menjadi lebih menyeluruh".

"Sebagai contoh, para pemimpin mesti mempunyai keupayaan kognitif tetapi juga dapat membangunkan sistem untuk masa depan, memimpin dengan baik dan memahami dengan baik keadaan di lapangan.

"Ciri-ciri ini akan diamati secara konsisten melalui penggiliran pekerjaan dan juga melalui saluran-saluran baru seperti maklum balas 360," kata Encik Chan.

CEP itu sendiri akan "kurang diberi penekanan dalam keputusan HR kami", tambah beliau.

"Ini adalah cara untuk mengenal pasti mereka yang memiliki potensi kepimpinan bagi pengembangan awal tetapi tidak lagi menjadi satu-satunya penentu paling penting dalam pengembangan dan kemajuan kerjaya."

Sebaliknya, penekanan yang lebih besar akan diberikan dalam "menilai kemahiran dan kecekapan yang ditonjolkan pegawai sebagai sebahagian daripada pengurusan kelakonan, kemajuan serta pengenalpastian dan pengurusan bakat", kata Encik Chan.

Beliau juga berkata Perkhidmatan Awam akan memberi lebih penekanan kepada "membantu individu mengenal pasti potensi dan matlamat kerjaya mereka dalam jangka pendek hingga sederhana dari tiga hingga lima tahun serta bekerjasama dengan mereka untuk mencapai matlamat ini".

Perkhidmatan awam sudah mula memperluaskan latihan, penggiliran pekerjaan dan bimbingan kerjaya, berdasarkan jangkaan bahawa "sedang landskap operasi kami berubah, CEP pegawai kami akan terus berubah", tambah Chan. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita