Skip to main content

Singapura

Perkasa golongan belia, libatkan masyarakat silang agama keutamaan dua penerima Anugerah Merit PACS

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Masjid Al-Istighfar sudah sekian lama menjadi nadi masyarakat dan penduduk di Pasir Ris.

Selain sebagai tempat beribadah, kakitangan masjid itu juga giat melaksanakan inisiatif untuk masyarakat di sekitarnya, tidak kira bangsa dan agama.

Misalnya, menerusi usahasama dengan Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Pasir Ris East, Masjid Al-Istighfar kerap melaksanakan inisiatif pengagihan bubur sepanjang bulan Ramadan.

Program itu, menurut kakitangannya, bahkan menyemai nilai kasih sayang serta perpaduan antara masyarakat silang budaya dan agama.

Ini kerana mereka 'membuka pintu' masjid itu kepada para penduduk Muslim dan bukan Muslim untuk menikmati bubur secara percuma.

Selain itu, kakitangan masjid juga menjalankan inisiatif seperti 'Back To School' sejak 2017, untuk memberi bantuan persiapan persekolahan kepada kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah setiap hujung tahun.

Inisiatif-inisiatif sebegitu telah memberi manfaat kepada lebih 1,000 penduduk setiap tahun.

Pengerusi Eksekutif Masjid Al-Istighfar, Encik Mohamed Imran Omar berkata: "Ini adalah salah satu cara kita dapat eratkan lagi hubungan silaturahim antara masyarakat Islam dan bukan Islam. Kami juga ada hubungan dengan kuil Cina berdekatan sini. Mereka pun bantu juga kami waktu bulan puasa dan sebagainya."

Di samping itu, kakitangan Masjid Al-Istighfar juga mengambil pendekatan melibatkan golongan belia untuk menganjurkan program-programnya.

Encik Imran berkata: "Kita ingin siapkan mereka dari segi kepimpinan kerana belia adalah pelapis. Mereka adalah golongan yang sangat penting dalam masyarakat untuk meneruskan legasi. Kita juga menyiapkan mereka dari segi kemahiran untuk mereka jalankan program-program."

Atas sumbangan besarnya, Masjid Al-Isitghfar diiktiraf Persatuan Rakyat (PA) dengan Anugerah Merit Semangat Kemasyarakatan Persatuan Rakyat (PACS) 2025.

Ini merupakan kali pertama Masjid Al-Istighfar menerima anugerah tersebut.

Pengiktirafan itu menurut Encik Imran, akan membakar semangat mereka untuk terus mendampingi masyarakat.

"Kami akan terus berikan yang terbaik menerusi program-program yang lebih tersusun. Kami harapkan supaya tidak kira siapa sahaja yang datang ke masjid, mereka dapat meraih manfaat. Kemudian mereka akan rasa terhubung dengan masjid ini," jelas Encik Imran.

Tahun ini, sebanyak 134 pertubuhan dan kumpulan menerima anugerah itu.

Ia disampaikan oleh Menteri Undang-undang merangkap Menteri Kedua Dalam Negeri Edwin Tong dalam satu majlis yang berlangsung pada Rabu malam (30 Jul).

PERKASA KEDUDUKAN BELIA, 4PM TERIMA ANUGERAH MERIT PACS DUA KALI BERTURUT-TURUT

Turut menerima Anugerah Merit PACS tahun ini ialah Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM).

Persatuan itu memegang teguh kepada gagasannya untuk membangunkan golongan belia yang sentiasa prihatin tentang keadaan masyarakat yang berbilang bangsa.

Lantaran itu, pertubuhan itu banyak melaksanakan inisiatif-inisiatif yang ingin mendampingi dan memperkasa golongan tersebut.

Antara program terbaharu 4PM termasuk inisiatif Bahas Selebriti yang dikelolakan dengan kerjasama M³ sejak tahun lalu.

Menurut 4PM, ia salah satu cara untuk melibatkan golongan belia dalam perdebatan secara kreatif dan spontan di samping mencetuskan minat mereka dalam hal ehwal semasa.

Presiden 4PM, Encik Nassar Mohamad Zain berkata: "Program sebegini membolehkan para belia untuk bertikam lidah secara santai di mana masyarakat juga dapat saling mengambil bahagian. Itu adalah cara kita merapatkan 4PM, golongan belia, keluarga dan masyarakat."

"4PM menjadi wadah untuk kita mendekati masyarakat dengan lebih mendalam dan memahami apakah isi hati mereka supaya kita dapat memberi impak yang lebih berkesan dalam program-program yang kita lakukan," ujar beliau lagi.

Selain itu, 4PM juga menjalankan inisiatif Rileks Bro sejak 2023.

Ia merupakan satu platform perbincangan yang menyediakan ruang selamat bagi golongan belia lelaki Melayu/Islam berkongsi secara terbuka pengalaman dan cabaran kesihatan mental mereka.

Encik Nassar berkata: "Kita tidak boleh melakukan program itu secara bersendirian. Jadi, kita perlu melibatkan masyarakat umum tidak kira bangsa dan agama supaya apa yang dilakukan itu menepati keperluan mereka."

"Yang kedua, kita perlu memantau program-program yang sedia ada. Adakah program itu masih relevan? Kalau tidak relevan lagi, bagaimana kita boleh melencongkan supaya ia menepati citarasa dan keperluan masyarakat. Matlamatnya adalah supaya kita dapat menaiktarafkan kehidupan masyarakat supaya kita dapat memperkukuhkan lagi kedudukan belia kita."

Sebelum ini, 4PM pernah diiktiraf dengan anugerah yang sama pada 2011 dan tahun lepas.

Antara penerima lain untuk tahun ini termasuk Masjid Ahmad Ibrahim dan Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF).
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita