Perkahwinan era COVID: Lelaki dari Johor, wanita dari Terengganu, bernikah di Singapura
Yang seorang berasal dari Johor Bahru. Yang seorang lagi berasal dari Terengganu. Kedua-duanya bekerja di Singapura. Namun ibarat pepatah Melayu yang berbunyi asam di darat, garam di laut, di Singapura jugalah Muhammad Shafiq Zahari dan Norshadah Abdullah bertemu Oktober tahun lalu.
SINGAPURA: Yang seorang berasal dari Johor Bahru. Yang seorang lagi berasal dari Terengganu. Kedua-duanya bekerja di Singapura.
Namun ibarat pepatah Melayu yang berbunyi asam di darat, garam di laut, di Singapura jugalah Muhammad Shafiq Zahari dan Norshadah Abdullah bertemu Oktober tahun lalu. Pertemuan itu berakhir dengan pernikahan mereka di Masjid Darussalam di Clementi pada Jumaat (12 Nov).
Jelas, walaupun Laluan Perjalanan Orang Sudah Divaksin (VTL) Singapura-Malaysia sudah diumumkan seminggu lalu, dua warga Malaysia itu masih memilih untuk bernikah di Singapura - jauh dari keluarga masing-masing.
Mereka juga tidak bertunang seperti kelazimannya, tetapi terus berkahwin.
Ini kisah mereka.
(Gambar-gambar: Shafiq & Shadah)
JODOH DAH SAMPAI...
"Rasanya gembira ada, sedih pun ada. Iyalah tidak ada keluarga di sisi. Mestilah kalau hari bahagia, kita nak dengan keluarga tetapi nak buat macam mana... jodoh dah sampai." Begitulah luah Norshadah atau mesra dipanggil Shadah sahaja, yang sudah dua tahun bekerja di Singapura.
Akad nikah mereka cuma dapat disaksikan keluarga masing-masing menerusi zoom dari Malaysia. Namun demikian kehangatan dan kesyahduannya masih sangat terasa.
"Saya terima nikahnya Norshadah Binte Abdullah dengan mas kahwinnya S$300 tunai," ucap Shafiq yang disaksikan serentak oleh saudara mara dari Malaysia.
"Alhamdulillah sah bergelarlah sebagai suami dan isteri. Amin ya Rabbal Alamin. Tahniah," sahut tok kadi yang menikahkan mereka.
Dalam satu klip video yang dikongsi kepada BERITAmediacorp, kelihatan ibu mempelai lelaki dan perempuan kedua-duanya sebak setelah Shadah sah bergelar isteri kepada Shafiq dengan sekali lafaz.
Shafiq, 26 tahun, dan Shadah, 29 tahun, mula mengenali antara satu sama lain ketika kedua-duanya mula bekerja di tempat yang sama - Hospital Masyarakat Outram - dalam khidmat pengurusan kemudahan.
KELUARGA PIHAK PEREMPUAN AWALNYA KEBERATAN TAPI...
Shafiq dan Shadah memutuskan untuk berkahwin di Singapura kerana keadaan COVID-19 sebelum ini tidak memungkinkan mereka untuk pulang ke tanah air. Ini meskipun Shafiq berasal dari Johor Bahru - cukup dekat dengan Singapura.
Keputusan ini, menurut Shadah, awalnya 'berat' bagi kedua-dua orang tuanya.
"Saya anak perempuan bongsu mereka. Kalau boleh mereka memang nak saya kahwin di Malaysia. Tetapi selepas (kami putuskan untuk kahwin), COVID tinggi. Tempat tinggal saya di Terengganu ketika itu dikenakan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), lepas tu semua tidak boleh datang negeri," kata Shadah.
"Jadi kita bincang balik, mereka benarkan saya kahwin di sini."
Gambar fail Shadah bersama keluarganya.
Mentelah lagi ketika itu, jika Shafiq dan Shadah memilih untuk berkahwin di Malaysia, mereka perlu mengambil cuti panjang kerana perlu menjalani kuarantin di kedua-dua Singapura dan Malaysia.
"Kalau nak adakan majlis di Malaysia, nak kena buat persiapan lagi. Tapi tak boleh cuti panjang sangat," tambah Shafiq, yang sudah lima tahun bekerja di Singapura.
KAHWIN DI S'PURA LEBIH MURAH
Ada juga faktor kos. Sekiranya mereka berdua berkahwin di Malaysia, mereka juga perlu menampung kos perjalanan rentas sempadan dan melangsungkan majlis di dua negeri berbeza - Terengganu dan Johor.
Bayangkan. Kalau Shafiq dan Shadah memilih menaiki pesawat untuk pulang ke Singapura, kos penerbangan buat seorang sahaja adalah sekitar S$180. Itu belum lagi termasuk kos kuarantin yang boleh mencecah beribu-ribu dolar, selain perbelanjaan majlis yang biasanya "meriah" di Malaysia.
Sebaliknya, kos yang dibelanjakan Shafiq dan Shadah untuk bernikah di Masjid Darussalam di Singapura adalah sekitar S$1,000 sahaja.
Gambar fail Shafiq bersama keluarganya di Johor Bahru.
"Majlisnya nak kata meriah sama macam di Malaysia tu, kita tidak dapat nak jawab lah. Ia untuk kawan-kawan sahaja... ada lebih kurang dalam 50 orang (hadir). Ada jugalah pihak-pihak masjid yang ikut serta. Makanan pun kami sediakan," kongsi Shafiq.
MENGAPA TIDAK TUNGGU VTL?
Empat hari sebelum pernikahan Shafiq dan Shadah, pihak berkuasa mengumumkan bahawa laluan perjalanan udara atau Singapura-Malaysia akan dilancarkan pada 29 Nov.
Dengan laluan bagi penumpang sudah divaksin (VTL) itu, kuarantin semestinya tidak akan menjadi satu hambatan.
Jadi mengapa Shafiq dan Shadah tidak menangguhkan dahulu pernikahan mereka?
Ini jawapan spontan mereka:
"Tak boleh sebab semuanya sudah siap. Jadi kami teruskan sahaja urusan di sini. Nanti ada rezeki kita balik sana, kita buat lagi majlis dengan keluarga dan kawan-kawan dekat Malaysia," jawab Shafiq dan Shadah kepada BERITAmediacorp.
Mereka juga menjelaskan, persiapan sudah dibuat sejak dua bulan sebelum pernikahan. Urusan untuk seorang warga asing bernikah di Singapura, ternyata tidak mudah dan memakan masa.
PROSES WARGA ASING NIKAH DI S'PURA
Pertama sekali, Shadah perlu mendapat keizinan daripada wali dengan menyertakan surat wakalah wali. Selepas itu, mereka perlu mendapatkan kebenaran berkahwin daripada Jabatan Agama Islam Negeri atau Mahkamah Syariah Malaysia pula.
Mujur juga keluarga di Terengganu dan Johor banyak membantu menurut mereka:
"Yang macam borang online semua, saya 'settle'kan dekat sini. Lepas itu, yang dekat Malaysia, famili belah lelaki 'settle'kan untuk belah lelaki lah. Yang untuk belah perempuan, famili saya yang uruskan. Lepas dapat 'settle' borang semua, dia orang yang tolong poskan semua ke sini."
Shafiq dan Shadah juga perlu membuat pendaftaran di Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam di Singapura (ROMM) - sebagaimana yang perlu dilakukan para mempelai di sini.
Bagi urusan akad nikah itu sendiri, Masjid Darussalam pula sangat membantu, kata Shadah.
"Mereka beritahu macam mana nak lakukan tempahan di masjid. Ada juga ustaz yang banyak membantu. Memang terbaik lah. Saya rasa.. sebagai orang luar macam kami, macam terharulah. Sebab mempermudahkan urusan kami," cerita Shadah.
Masjid Darussalam dipilih daripada 14 masjid yang menjalankan upacara pernikahan, setelah tempahan untuk bernikah di ROMM didapati penuh pada hari pilihan mereka.
Yang pasti, Shafiq dan Shadah sudah mula melayari alam rumah tangga. Mereka merancang untuk pulang ke Malaysia sekitar lima bulan dari sekarang untuk beraya sebagai suami isteri, bersama keluarga tercinta.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.