Perkahwinan di SG susut 7% pada 2024, jumlah perceraian meningkat
Bilangan perkahwinan di Singapura tahun lalu merosot sebanyak 7 peratus berbanding 2023, menurut satu laporan oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) yang diterbitkan pada Isnin (7 Jul).
Sebanyak 26,328 perkahwinan didaftarkan pada 2024, merosot daripada 28,310 perkahwinan pada 2023. (Gambar: iStock)
Sebanyak 26,328 perkahwinan didaftarkan pada 2024, berbanding 28,310 perkahwinan pada 2023.
Data Jabatan Perangkaan Singapura (SingStat) yang dipetik dalam laporan trend keluarga MSF menunjukkan penurunan perkahwinan sivil dalam kalangan hampir semua kumpulan usia pada 2024 berbanding 2023, dengan kemerosotan terbesar melibatkan pasangan pengantin lelaki dan perempuan berusia antara 25 hingga 34 tahun.
Sebanyak 15,213 pengantin perempuan dalam lingkungan usia tersebut berkahwin tahun lalu, penurunan sebanyak 8.9 peratus berbanding 16,707 pada 2023.
Begitu juga, seramai 13,615 pengantin lelaki berusia 25 hingga 34 tahun melangsungkan perkahwinan pada 2024, turun 9 peratus berbanding 14,956 pada 2023.
Daripada jumlah keseluruhan perkahwinan pada tahun lalu, sebanyak 21,144 merupakan perkahwinan sivil, merosot daripada 22,914 pada 2023.
Perkahwinan Islam juga mencatat penurunan, daripada 5,396 pada 2023 kepada 5,184 tahun lalu.
Hal tersebut berpunca terutamanya daripada pengurangan bilangan perkahwinan yang melibatkan pengantin lelaki berusia 30 hingga 34 tahun serta 45 tahun ke atas, dan pengantin perempuan berusia 30 hingga 34 tahun serta 40 hingga 44 tahun.
Trend itu selari dengan perubahan yang lebih luas, di mana usia median bagi perkahwinan pertama meningkat sepanjang dekad lalu.
Bagi pengantin lelaki, usia median meningkat daripada 30.2 tahun pada 2014 kepada 31.1 tahun pada 2024, manakala bagi pengantin perempuan, ia meningkat daripada 28.2 tahun kepada 29.6 tahun dalam tempoh yang sama.
Sebanyak 7,382 perkahwinan berakhir dengan perceraian atau pembatalan tahun lalu, meningkat 3.7 peratus berbanding 7,118 kes pembubaran perkahwinan pada 2023, menurut SingStat pada Isnin.
Dalam tempoh 10 tahun lalu, usia median pada waktu perceraian meningkat daripada 42.6 tahun pada 2014 kepada 44.4 tahun pada 2024 bagi lelaki, dan daripada 38.4 tahun kepada 40.9 tahun bagi wanita.
Tempoh perkahwinan median sebelum berlakunya perceraian pada 2024 ialah 11.1 tahun, lebih lama berbanding 10.4 tahun pada 2014.
Pasangan yang berkahwin selama lima hingga sembilan tahun membentuk bahagian terbesar, iaitu 29 peratus daripada jumlah perceraian pada 2024, menurut dapatan laporan tersebut.
Namun begitu, pasangan yang berkahwin antara 2006 hingga 2013 mencatatkan kadar perceraian yang lebih rendah dalam tempoh 10 tahun pertama perkahwinan, berbanding kumpulan pasangan yang berkahwin pada 2005.
Peratusan kumulatif perceraian sebelum ulang tahun perkahwinan ke-10 menurun daripada 17 peratus bagi kohort 2005 kepada 14.4 peratus bagi kohort 2013.
Ini "menandakan kestabilan perkahwinan yang lebih baik dalam kalangan kumpulan pasangan yang baru berkahwin," menurut MSF.
MSF menambah bahawa "peningkatan paling ketara adalah dalam penurunan kadar pembubaran bagi perkahwinan Islam."
"Walaupun kadar perceraian bagi perkahwinan Islam kekal lebih tinggi berbanding perkahwinan sivil dalam semua kohort, jurangnya semakin mengecil dalam kalangan kohort perkahwinan yang lebih baharu," menurut kementerian itu.
PENINGKATAN USIA MEDIAN IBU BAPA KALI PERTAMA
Pasangan kini menjadi ibu bapa kali pertama pada usia yang lebih lanjut berbanding sedekad lalu, menurut dapatan laporan tersebut.
Tahun lalu, usia median bapa kali pertama meningkat kepada 33.6 tahun berbanding 32.9 tahun pada 2014.
Bagi ibu pula, usia median meningkat kepada 31.9 tahun daripada 30.4 tahun dalam tempoh yang sama.
Kadar kesuburan keseluruhan negara kekal pada paras terendah dalam sejarah iaitu 0.97 pada 2024, menjadikan tahun kedua berturut-turut di mana kadar tersebut jatuh di bawah 1.0.
Laporan trend keluarga itu turut mendedahkan bahawa 56 peratus bapa yang anaknya lahir pada 2023 mengambil cuti bapa yang dibayar pemerintah, berbanding 53 peratus pada tahun sebelumnya. Kadar pengambilan cuti bersalin kekal tinggi, dengan 74 peratus ibu mengambilnya pada 2022 dan 2023.
PENAMBAHAN TEMPAT JAGAAN BAYI DAN KANAK-KANAK
Dalam tempoh sedekad lalu, jumlah tempat penjagaan penuh bayi meningkat hampir tiga kali ganda, berdasarkan data daripada Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA) yang dipetik dalam laporan tersebut.
Tempat penjagaan bayi meningkat daripada 5,628 pada 2014 kepada 16,207 pada 2024 untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat, menurut MSF, yang menambah bahawa jumlah pendaftaran juga meningkat daripada 3,506 kepada 11,265 dalam tempoh yang sama.
Begitu juga, tempat penjagaan kanak-kanak sepenuh hari meningkat hampir dua kali ganda daripada 104,066 pada 2014 kepada 200,847 pada 2024.
Kadar pendaftaran bagi kanak-kanak berusia tiga hingga empat tahun meningkat daripada 76 peratus pada 2014 kepada 90 peratus pada 2024, manakala bagi kanak-kanak berusia lima hingga enam tahun, ia naik sedikit daripada 91 peratus kepada 93 peratus sepanjang dekad lalu.
LEBIH RAMAI WARGA EMAS TINGGAL BERSENDIRIAN
Bilangan penduduk berusia 65 tahun dan ke atas yang tinggal di rumah meningkat daripada 466,300 pada 2014 kepada 767,900 pada 2024.
Walaupun sekitar 80 peratus daripada mereka terus tinggal bersama pasangan atau anak mereka, bilangan warga emas yang tinggal bersendirian di rumah berganda dalam tempoh sedekad — daripada 42,100 pada 2014 kepada 87,200 pada 2024.
Satu tinjauan MSF pada 2023 mendapati lebih 80 peratus responden meletakkan anggota keluarga dalam tiga pilihan utama bagi memenuhi keperluan warga emas.
Tinjauan sama juga menunjukkan bahawa kebanyakan responden — 90.4 peratus — bersetuju bahawa ia adalah penting bagi datuk dan nenek serta cucu untuk mengekalkan hubungan rapat antara satu sama lain, tambah kementerian itu.
"Ini menunjukkan bahawa anggota keluarga kekal sebagai barisan sokongan utama bagi warga emas," menurut MSF.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.