Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perkahwinan dalam kalangan rakyat S'pura cecah paras terendah sejak 2013

Jumlah perkahwinan dalam kalangan rakyat Singapura tahun lalu jatuh ke tahap paling rendah sejak 2013, menurut laporan tahunan mengenai penduduk yang dikeluarkan oleh Kumpulan Strategi Pejabat Perdana Menteri pada Rabu (25 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Perkahwinan dalam kalangan rakyat S'pura cecah paras terendah sejak 2013

(Gambar hiasan: AFP)

Diterbitkan : 25 Sep 2019 04:58PM Dikemas Kini : 25 Sep 2019 05:00PM

SINGAPURA: Jumlah perkahwinan dalam kalangan rakyat Singapura tahun lalu jatuh ke tahap paling rendah sejak 2013, menurut laporan tahunan mengenai penduduk yang dikeluarkan oleh Kumpulan Strategi Pejabat Perdana Menteri pada Rabu (25 Sep).

Terdapat 23,632 perkahwinan dalam kalangan rakyat Singapura pada 2018 berbanding 24,417 pada tahun sebelumnya. Bilangan itu adalah yang terendah sejak 2013 di mana sebanyak 21,842 perkahwinan didaftarkan.

Perkahwinan dalam kalangan rakyat membabitkan sekurang-kurangnya seorang warga Singapura.

Usia median bagi perkahwinan pertama pada 2018 adalah 29.9 tahun untuk pengantin lelaki dan 28.2 tahun untuk pengantin wanita, sama seperti tempoh lima tahun sebelumnya, menurut laporan tersebut.

Lebih satu daripada tiga perkahwinan warga negara tahun lalu melibatkan pasangan bukan warga Singapura, yakni sejajar dengan laporan tahun-tahun sebelumnya.

Sekitar 20 peratus perkahwinan warga negara tahun lalu adalah antara pasangan lainan, sama seperti pada 2017.

Sepanjang lima tahun lalu (2014-2018), terdapat sekitar 24,000 perkahwinan warga negara setiap tahun iaitu lebih tinggi berbanding purata tahunan 21,900 antara 2009 hingga 2013.

KELAHIRAN WARGA SETEMPAT NAIK, KADAR KESUBURAN KESELURUHAN JATUH

Pada 2018, terdapat 32,413 kelahiran warga negara berbanding 32,356 pada tahun sebelumnya.

Usia median ibu warga Singapura semasa kelahiran pertama adalah 30.4 pada 2018, serupa dengan usia median 30.3 pada 2017.

Bagaimanapun, kadar kesuburan penduduk Singapura (TFR) jatuh dari 1.16 pada 2017 kepada 1.14 pada 2018.

Berdasarkan laporan tersebut, ini sebahagiannya disebabkan kohort lebih besar warga muda Singapura (berusia 20-30 tahun pada 2018) yang memasuki ambang "usia subur untuk menimang anak" namun belum mempunyai cahaya mata.

Sementara itu, wanita Singapura yang "pernah berkahwin" dan berusia antara 45 hingga 49 tahun, secara purata tidak mempunyai banyak anak berbanding sedekad lalu.

Wanita yang pernah berkahwin merujuk kepada mereka yang sudah berkahwin, balu, janda atau berpisah dengan suami.

Pada 2018, golongan itu mempunyai secara purata 1.91 anak - merosot dari 2.14 anak pada 2008.

Kebanyakan wanita Singapura yang pernah berkahwin mempunyai sekurang-kurangnya dua anak tahun lalu, dengan kadar itu kekal stabil pada 43.3 peratus berbanding 42.7 peratus pada 2008.

Dalam tempoh yang sama, kadar wanita yang mempunyai sekurang-kurangnya tiga anak jatuh dari 33.9 peratus kepada 25.4 peratus manakala kadar wanita yang tidak mempunyai anak dan satu anak pula meningkat.

PENDUDUK MENUA

Penduduk warga Singapura kian menua.

Sekitar 16 peratus daripada mereka berusia 65 tahun dan ke atas pada Jun 2019 berbanding 15.2 peratus tahun lalu dan 9.9 peratus pada 2009. Bilangan tersebut dijangka meningkat kepada sekitar 23.7 peratus pada 2030.

Menurut laporan itu, dengan jangka hayat meningkat serta kadar kesuburan rendah, kadar penduduk tempatan berusia 65 tahun dan ke atas naik. Ia bahkan meningkat pada kadar lebih cepat berbanding sedekad lalu.

Usia median penduduk warga Singapura meningkat dari 41.7 tahun pada 2018 kepada 42 tahun pada Jun 2019.

Sekarang ini, 63.1 peratus rakyat Singapura berusia antara 20 hingga 64 tahun - turun dari 64.4 peratus sedekad lalu pada 2009. Ia diunjurkan terus merosot kepada sekitar 56.1 peratus pada 2030.

Jumlah rakyat Singapura berusia 80 tahun dan ke atas juga meningkat dua kali lebih banyak sepanjang tempoh sedekad lalu.

Pada Jun tahun ini, sekitar 112,000 rakyat tempatan berusia lebih 80 tahun berbanding sekitar 63,000 pada 2009.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan