Skip to main content

Singapura

Perjumpaan Tahun Baru Cina kaitan antara 2 kelompok jangkitan COVID-19 di gereja

Sepasang suami isteri yang menghadiri satu majlis perjumpaan Tahun Baru Cina di Mei Hwan Drive disahkan sumber berkait dengan kelompok COVID-19 di gereja The Life Church and Missions dengan gereja Grace Assembly of God, kata Kementerian Kesihatan (MOH) pada Selasa (25 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 25 Feb 2020 09:32PM Dikemas Kini : 25 Feb 2020 10:00PM

SINGAPURA: Sepasang suami isteri yang menghadiri satu majlis perjumpaan Tahun Baru Cina di Mei Hwan Drive disahkan sumber berkait dengan kelompok COVID-19 di gereja The Life Church and Missions dengan gereja Grace Assembly of God, kata Kementerian Kesihatan (MOH) pada Selasa (25 Feb).

Pasangan itu merupakan kes 83 dan 91, yang menghadiri perjumpaan pada 25 Jan. Kes 91 adalah satu-satunya kes baru yang dilaporkan di Singapura pada Selasa.

KES UTAMA DALAM KELOMPOK GEREJA GRACE ASSEMBLY OF GOD

Kementerian Kesihatan mengumumkan pada Selasa bahawa kes 66 - seorang lelaki warga Singapura berusia 28 tahun dan bekerja di Grace Assembly of God serta tinggal di Mei Hwan Drive adalah kes utama dalam kelompok di gereja itu.

Beliau pergi bekerja di gereja semasa tidak menunjukkan gejala dan pada 29 Jan, menjadi yang pertama melaporkan simptom dalam kelompok itu.

16 kes kemudiannya dilaporkan daripada kelompok gereja itu, menurut MOH, sambil menambah bahawa beberapa kes tersebut terdedah kepada kes 66 semasa mesyuarat kakitangan di cawangan gereja itu di Tanglin (355 Tanglin Road).

KAITAN ANTARA DUA GEREJA

"Untuk menentukan bagaimana kes 66 dijangkiti, kami menyiasat tempat yang dikunjunginya dan orang yang mempunyai hubungan rapat dengannya," kata MOH dalam satuvkenyataan media.

Kes 66 menghadiri perjumpaan Tahun Baru Cina di Mei Hwan Drive pada 25 Januari dengan pasangan suami isteri, kes 83 dan 91.

Siasatan mendapati pasangan suami isteri itu sebelum ini telah mengunjungi gereja The Life Church dan Missions pada 19 Jan, hari yang sama dengan kes 8 dan 9. Kes 8 dan 9 adalah rakyat China dari Wuhan yang diuji positif COVID-19 pada lewat Januari.

Kes 83 dan 91 kedua-duanya "tidak sakit" dan tidak menunjukkan simptom gejala ketika siasatan dijalankan.

Bagaimanapun, rekod menunjukkan bahawa kes 91 telah ke Hospital Besar Sengkang sehari selepas perjumpaan itu dengan mengalami gejala yang konsisten dengan COVID-19. Kes 83 juga tidak sihat pada akhir Januari, dan berulang kali mendapatkan rawatan di klinik GP.

"Ini bermakna bahawa kes 83 dan 91 mungkin dijangkiti dari kes 8 dan 9, dan terus menyebarkan jangkitan kepada kes 66 semasa perjumpaan Tahun Baru Cina," tambah MOH.

Kes 91 pulih antara 26 Jan dengan 18 Feb, tanpa dimasukkan ke hospital bagi jangkitan COVID-19.

Kaitan tersebut dikenal pasti dengan bantuan Pasukan Polis Singapura (SPF), menurut MOH, dengan melibatkan analisis luas peta aktiviti kes-kes yang disahkan.

COVID-19 sudah merebak ke lebih 30 negara dan wilayah, termasuk di Singapura, Jepun, Korea Selatan dan Thailand.

Korea Selatan adalah negara yang paling teruk terjejas di luar China, dengan jumlah keseluruhan 893 kes setakat Selasa. Lapan orang meninggal dunia akibat virus itu.

LAPORAN BERKAITAN:



Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita