Skip to main content

Singapura

Perjanjian S'pura-Indonesia dimeterai serentak; kurangkan salah faham, bolehkan kerjasama

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 14 Feb 2022 06:22PM Dikemas Kini : 14 Feb 2022 10:45PM

SINGAPURA: Perjanjian yang ditandatangani baru-baru ini antara Singapura dengan Indonesia harus dimeterai serentak untuk mengurangkan salah faham dan membentuk "asas kukuh" bagi kerjasama pada masa hadapan, kata Menteri Kanan, Teo Chee Hean di Parlimen hari ini (14 Feb).

Perjanjian itu ditandatangani di Bintan pada 25 Januari semasa Retreat Pemimpin Singapura dan Indonesia yang kelima.

Ia bertujuan untuk menangani isu dua hala antara Wilayah Maklumat Penerbangan (FIR), kerjasama pertahanan dan penghantaran pulang pelarian antara Indonesia dengan Singapura.

BACA: S’pura, Indonesia bakal tandatangani perjanjian di Retreat Pemimpin esok

"Kedua-dua negara sudah bersetuju bahawa cara yang terbaik untuk menyelesaikan tiga isu ini adalah untuk membincangkan bersama, mencapai persetujuan dan memeterainya serentak," kata Encik Teo, yang juga Menteri Penyelaras Keselamatan Negara.

Encik Teo berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Ahli Parlimen, Vikram Nair (PAP-Sembawang), yang mengemukakan soalan susulan kepada kenyataan yang diberikan mengenai perjanjian tersebut.

Encik Nair bertanya apa yang akan terjadi dengan perjanjian itu jika ia tidak dimeterai serentak.

Encik Teo berkata kedua-dua negara sudah setuju untuk memeterai tiga perjanjian itu serentak atas "alasan yang baik" dan menambah bahawa rundingan itu dijalankan serentak dan sudah mencapai "keseimbangan manfaat" dalam ketiga-tiga perjanjian tersebut.
 

BUTIRAN PERJANJIAN

Di bawah perjanjian FIR, Singapura dan Indonesia sudah bersetuju untuk melakukan penjajaran semula sempadan antara FIR Jakarta dengan FIR Singapura.

Indonesia akan mewakilkan kepada Singapura peruntukan khidmat navigasi udara di beberapa bahagian ruang udara dalam lingkungan FIR Jakarta yang sudah disejajarkan.

Aturan itu akan terus berkuatkuasa selama 25 tahun dan boleh dilanjutkan dengan persetujuan bersama.

Di bawah Perjanjian Kerjasama Pertahanan, Singapura dan Indonesia akan terus memperkukuh kerjasama pertahanan dan memperdalam kerjasama dalam bidang-bidang yang saling memanfaatkan antara satu sama lain. Perjanjian itu akan berkuat kuasa selama 25 tahun.

Apabila perjanjian itu dikuatkuasakan, ia akan menjelaskan aturan bagi Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), untuk menjalani latihan di perairan perpulauan dan wilayah serta ruang udara Indonesia, kata Encik Teo dalam kenyataannya.

Di bawah Perjanjian Ekstradisi (ET), Singapura dan Indonesia akan meluluskan ekstradisi bagi kesalahan-kesalahan yang mana seseorang individu boleh dihantar pulang, menurut penjanjian tersebut.

Encik Teo berkata bahawa perjanjian itu serupa dengan perjanjian yang ditandatangani kedua-dua negara pada 2007, dengan satu-satunya perubahan adalah penghantaran pulang pelarian-pelarian atas kesalahan yang dilakukan 18 tahun lalu berbanding 15 tahun yang dipersetujui dalam perjanjian 2007.

BAGAIMANA PERJANJIAN INI TERJADI

Rundingan mengenai dua perjanjian pertama sudah diadakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kata Encik Teo dalam kenyataannya. Ia dimuktamadkan pada 2007 dengan perjanjian untuk melaksanakannya serentak. Bagaimanapun, perjanjian-perjanjian tersebut tidak dimeterai oleh Indonesia.

Pada 2019, Presiden Indonesia, Joko Widodo dan PM Lee bersetuju bahawa keadaannya baik untuk membincangkan dan menghuraikan isu-isu tertunggak itu secara muktamad, dalam suasana terbuka, membina dan saling memanfaatkan antara satu sama lain, kata Encik Teo.

Pada April 2021, semasa rundingan diadakan, kedua-dua negara mengembangkan rangka kerja perjanjian itu untuk menyertakan Perjanjian Penghantaran Pulang (ET) atas permintaan Indonesia, kata Encik Teo, sambil menambah bahawa kedua-dua negara sudah mengusahakan isu tersebut sebelum ini.
 

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita