Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perjanjian perdagangan bebas penting bagi penakatan ekonomi S'pura

Perjanjian-perjanjian dagangan bebas (FTA) menjadi asas ekonomi dan penakatan Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 06 Jul 2021 06:54PM Dikemas Kini : 06 Jul 2021 09:19PM

SINGAPURA: Perjanjian-perjanjian dagangan bebas (FTA) menjadi asas ekonomi dan penakatan Singapura.

Demikian tegas Menteri Kesihatan Ong Ye Kung dalam kenyataan menteri di parlimen siang tadi (6 Jul). Beliau memberikan respons kepada dakwaan pihak pembangkang bahawa Perjanjian Kerjasama Ekonomi Menyeluruh (CECA) menyebabkan para pekerja Singapura digantikan dengan warga India.

Singapura sebagai sebuah negara yang kecil tanpa sebarang sumber alami, kata Encik Ong, perlu mendakapi globalisasi untuk bertakat dan salah satu caranya adalah dengan memeterai FTA.

Hari ini, Singapura mempunyai 26 FTA termasuk CECA yang menerima kritikan hebat oleh pihak pembangkang di sosial media.

Encik Ong berkata memandangkan Singapura terlalu kecil untuk bertakat sendiri, memanfaatkan pasaran global untuk mencari nafkah dan berdikari adalah asas kepada kelangsungan ekonomi negara.

Meskipun negara ini tidak mempunyai sebarang sumber semula jadi, ia mempunyai kedudukan geografi yang merupakan "satu anugerah semulah jadi yang berharga".

Ini membenarkan negara untuk meraih aliran perdagangan melalui Selat Melaka dan Singapura, membolehkan pengendali pelabuhan tempatan PSA untuk menjadi pelabuhan pemindahan kontena terbesar di dunia. Pelabuhan itu memainkan peranan utama dalam pertumbuhan industri marin setempat, mewujudkan sekitar 160,000 pekerjaan.

Ia juga membantu Singapura menjadi sebuah "pusat penerbangan", menempatkan antara lapangan terbang tersibuk di dunia dengan industri berkaitan penerbangan menyediakan 190,000 pekerjaan sebelum pandemik.

Berbekalkan hubungan baik dengan seluruh dunia, Singapura membangunkan sektor-sektor pengeluaran dan perkhidmatannya. Ia juga menjadi pusat bagi teknologi, kajian dan pengembangan dengan banyak firma teknologi sejagat menjadikan Singapura sebagai pusat inovasi serantau atau globalnya.

Terdapat sekitar 50,000 syarikat antarabangsa yang beroperasi di luar Singapura dengan 750 daripadanya menjadikan Singapura sebagai ibu pejabat serantaunya, kata Encik Ong.

Pada masa yang sama, Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, menegaskan pendirian pemerintah bahawa FTA harus mewujudkan lebih banyak peluang termasuk pekerjaan bagi rakyat tempatan.

Menteri Kesihatan Ong Ye Kung menyangkal dakwaan oleh Parti Kemajuan Singapura bahawa Perjanjian Kerjasama Ekonomi Menyeluruh India-Singapura atau CECA memberi kebebasan bagi rakyat India untuk bekerja di negara ini.

Encik Ong menarik perhatian, CECA, seperti mana-mana perjanjian perdagangan bebas yang lain, mengekalkan kuasa imigresen dan kawalan sempadan yang kukuh.

Beliau menegaskan CECA tidak mewajibkan Singapura untuk membenarkan kemasukan pekerja karyawan, pengurus dan eksekutif (PME) dari India tanpa syarat.

Encik Ong juga menyangkal dakwaan oleh Parti Kemajuan Singapura bahawa kesemua rakyat India yang mengisi pekerjaan yang tersenarai dalam CECA boleh bekerja di Singapura selama setahun.

Beliau juga menolak dakwaan bahawa pekerja-pekerja syarikat di India dipindahkan ke cawangannya di Singapura. Ini memandangkan para pekerja hijrahan perlu mematuhi syarat-syarat pas kerja terlebih dahulu.

Beliau menambah pemerintah berpendirian tegas terhadap syarikat-syarikat yang mempunyai amalan pengambilan kerja secara tidak adil.

Pada masa yang sama, Encik Ong memperakui bahawa para pekerja tempatan kini lebih menghadapi persaingan daripada PME dari luar negara.

Dalam kemas kininya tentang perangkaan PME di Singapura, Menteri Tenaga Manusia Dr Tan See Leng berkata syarikat-syarikat dari luar negara mewujudkan pekerjaan baik bagi rakyat tempatan meskipun pekerja asing turut dibawa masuk.

Sebagai contoh, 45,000 karyawan hijrahan dalam sektor-sektor seperti teknologi maklumat dan kewangan mendatangkan sekitar 120,000 pekerjaan bagi PME tempatan. 

Sumber : CNA/ZM/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan