Skip to main content

Singapura

Perjanjian Income-Allianz: 'Tiada jaminan' urus niaga diteruskan, rundingan masih diadakan

Tepat sebulan selepas Pemerintah Singapura menyekat perjanjian yang diusulkan antara Income Insurance dengan Allianz, syarikat insurans Jerman itu menyatakan ia sudah mengadakan beberapa rundingan, tetapi belum mencapai kata putus.

Anggaran Waktu Membaca:
Perjanjian Income-Allianz: 'Tiada jaminan' urus niaga diteruskan, rundingan masih diadakan
Diterbitkan : 14 Nov 2024 07:38PM Dikemas Kini : 14 Nov 2024 09:41PM
SINGAPURA: Tepat sebulan selepas Pemerintah Singapura menyekat perjanjian yang diusulkan antara Income Insurance dengan Allianz, syarikat insurans Jerman itu menyatakan ia sudah mengadakan beberapa rundingan, tetapi belum mencapai kata putus.

"Rundingan itu masih dijalankan dan tiada jaminan sebarang urus niaga akan berlangsung," menurut syarikat itu dalam kemas kini yang dimuat naik ke Bursa Singapura pada Khamis (14 Nov).

"Pengumuman lanjut akan dibuat apabila sesuai masanya."

Allianz, Income dan syarikat induknya NTUC Enterprise serta penasihat mereka sudah "mengkaji secara teliti" implikasi ucapan Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Edwin Tong di Parlimen sepanjang bulan lalu, menurut Allianz.

Income juga sudah memuat naik kenyataan bertajuk "kemas kini bulanan mengenai potensi urus niaga dengan Allianz".

Ia menyatakan bahawa ia telah mengadakan rundingan mengenai pindaan terhadap struktur urus niaga yang diusulkan dan mengambil kira keprihatinan yang dibangkitkan dalam kenyataan kementerian dan pindaan pada Akta Insurans, yang telah diluluskan di Parlimen pada bulan lalu.

"Income Insurance akan membuat pengumuman lanjut jika dan bila terdapat perkembangan baharu yang perlu didedahkan, dengan mematuhi undang-undang dan peraturan berkaitan," menurut kenyataan itu.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita