Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perjanjian Income-Allianz: AP prihatin pemerintah sekat perjanjian pelaburan asing, jejas reputasi

Anggaran Waktu Membaca:
Perjanjian Income-Allianz: AP prihatin pemerintah sekat perjanjian pelaburan asing, jejas reputasi

(Gambar: CNA/Try Sutrisno Foo)

SINGAPURA: Para Anggota Parlimen (AP) pada Rabu (16 Okt) membangkitkan keprihatinan bahawa campur tangan pemerintah dalam perjanjian korporat boleh menjejas reputasi Singapura yang mesra perniagaan.

Ini selepas satu usulan perjanjian antara Income Insurance dengan syarikat insurans Jerman, Allianz, disekat.

Hampir 20 AP dari kedua-dua pihak dalam Dewan berucap mengenai Rang Undang-Undang (Pindaan) Insurans, dalam satu perbahasan yang berlangsung hampir empat jam.

Rang Undang-Undang itu dibentangkan pada Isnin (14 Okt) untuk menyediakan "asas undang-undang yang jelas" untuk pandangan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) dipertimbangkan dalam permohonan berkait syarikat insurans yang sama ada sebuah koperasi atau berkait koperasi.

Rang Undang-Undang itu diluluskan dengan tujuh AP daripada Parti Pekerja (WP) memilih untuk berkecuali. Parti Kemajuan Singapura (SPS) menyokong undang-undang itu.

Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Edwin Tong, Menteri Kesua Kewangan Chee Hong Tat dan timbalan setiausaha agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) Desmond Tan menjawab keprihatinan para AP.

Beberapa AP bertanya sama ada NTUC menyedari tentang butiran perjanjian antara Income dengan Allianz, yang melibatkan perancangan pengurangan modal.

Encik Tan berkata jawatankuasa pusat NTUC hanya mengetahui tentang perkara itu pada Isnin, apabila ia diumumkan di parlimen.
PELABURAN ASING DI SG

Para AP menyuarakan keprihatinan bahawa campur tangan pemerintah dalam perjanjian perniagaan pelabur asing boleh menjejas bagaimana para pelabur melihat Singapura.

"Bagaimana boleh kita pastikan sekitaran kawal selia kita kekal boleh dijangka dan menyambut baik pelaburan asing?" tanya AP Yip HOn Weng (PAP-Yio Chu Kang).

Beliau menarik perhatian kepada reputasi kukuh Singapura sebagai sebuah negara yang menyokong perniagaan, dan bertanya sama ada "kuasa budi bicara" boleh dilihat sebagai hambatan dan membuat syarikat-syarikat insurans global teragak-agak untuk melabur di sini.

AP Liang Eng Hwa (PAP-Bukit Panjang) menggesa pemerintah supaya mengesahkan dasarnya sebagai bersikap terbuka kepada pelaburan asing.

Beliau berkata beliau prihatin tentang sama ada penolakan perjanjian Income-Allianz akan menjejas reputasi Singapura sebagai sebuah hab global yang mengalu-alukan pelaburan asing.

"Kita tidak pernah menolak pelabur asing daripada memperoleh syarikat-syarikat Singapura," kata beliau.

Dalam responsnya, Encik Chee berkata Singapura kekal komited sebagai sebuah "hab perniagaan yang terbuka, berasaskan peraturan dan menyokong perusahaan".

Pendekatan kawal selia Penguasa Kewangan Singapura (MAS) adalah bersifat perundingan dan menyediakan kestabilan serta mempermudah ramalan bagi para pemain industri, tambah beliau.

Beliau juga menarik perhatian bahawa undang-undang itu tidak akan menjejas mana-mana syarikat insurans mahupun industri kewangan secara keseluruhannya.

AP Dilantik Neil Parekh berkata "aset penting negara" seperti Income harus dikendalikan secara berbeza.

"Pada pandangan saya, kawalan ke atas aset penting negara seperti Income tidak harus diserahkan kepada syarikat asing," kata Encik Parekh.

Selepas penjanjian itu diusulkan, keprihatinan dibangkitkan tentang sama ada matlamat Allianz - sebagai syarikat asing dan untuk keuntungan - akan sejajar dengan misi sosial asal Income Insurance.

Menurut Encik Parekh beliau bersetuju bahawa Income perlu diperkukuh, tetapi itu tidak bermakna "menyerahkan kawalan kepada syarikat asing".

Beliau menyarankan bahawa syarikat itu memerlukan "lembaga pengarah dalam kalangan rakyat Singapura dengan bakat sebenar, pengalaman sebenar dan visi sebenar" untuk mewujudkan satu perancangan perniagaan jelas untuk tujuh tahun.

"Kita sudah mencapainya dalam sektor-sektor lain dan saya tidak nampak sebab mengapa kita tidak boleh mencapai yang sama bagi perniagaan insurans kita," ujar beliau.

Encik Chee berkata jika keprihatinan MCCY boleh ditangani bagi perjanjian masa akan datang, pemerintah akan mempertimbangkannya, sama ada ia daripada entiti asing atau tempatan.

"Pertimbangan paling penting adalah hasilnya - bahawa Income menjadi entiti yang lebih utuh yang berupaya berkhidmat kepada para pemegang polisi dengan baik dan memenuhi misi sosialnya dengan berkesan," kata beliau.

PINDA UNDANG-UNDANG UNTUK SEKAT PERJANJIAN

Terdapat juga keprihatinan bahawa pemerintah secara retrospektif mengubah undang-undang untuk menyekat pernjajian tersebut.

"Sejauh mana yang mungkin, pemerintah harus bergantung kepada undang-undang sedia ada apabila menilai perjanjian-perjanjian bagi meluluskan kawal selia," kata Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) Hazel Poa (PSP).

"Ini memberi keyakinan kepada para pelabur di sini dan di luar negara bahawa rangka kerja klawal selia kita stabil.

"Meskipun Rang Undang-Undang yang kita bahaskan hari ini skopnya terhad, hakikat bahawa kita sedang meminda undang-undang itu hari ini supaya permohonan pemerolehan tertentu yang dinantikan boleh disekat mungkin mencetuskan rasa kurang selesa kepada para pelabur."

Beliau merujuk kepada seksyen-seksyen sedia ada di bawah Akta Insurans, yang menurut beliau menyarankan bahawa MAS sudahpun ada budi bicara untuk tidak meluluskan permohonan tersebut.

Encik Chee berkata buat masa ini tiada peruntukan dalam Akta yang membolehkan MAS untuk mempertimbangkan pandangan MCCY sama ada syarikat insurans yang terlibat adalah sebuah koperasi atau berkait dengan sebuah koperasi.

Pindaan itu membolehkan menteri bertanggungjawab MAS untuk mempertimbangkan pandangan-pandangan menteri bertanggungjawab bagi pentadbiran Akta Persatuan Koperasi.

NMP Usha Chandradas juga menyuarakan keprihatinan mengenai "pelaksanaan undang-undang secara serentak".

"Kita perlu berhati-hati supaya kita tidak saecara tidak sengaja memberi mesej kepada dunia bahawa mungkin sahaja untuk perjanjian korporat secara tiba-tiba dibatalkan oleh pemerintah, untuk undang-undang diluluskan dengan tergesa-gesa dan untuk rundingan korporat yang sudah dirancang dengan teliti diganggu," kata beliau.

Beliau meminta penjelasan tentang bila kepentingan awam dianggap sebagai cukup penting untuk pemerintah campur tangan, seperti yang dilakukan dalam kes perjanjian Income-Allianz.

"Saya rasa lebih banyak penjelasan terperinci akan sedikit sebanyak memberi jaminan kepada perniagaan dan masyarakat awam bahawa ini bukan sesuatu yang kerap Singapura lakukan atau dilakukan sewenang-wenangnya," ujar beliau.

Menggulung ucapannya, Encik Chee berkata undang-undang itu tidak diluluskan secara retrospektif memandangkan "tiada permohonan rasmi buat masa ini oleh Allianz untuk memperoleh kawalan dan menjadi pemegang saham besar Income".

Sebaliknya, dari segi usulan urus niaga jelas menyatakan ia tertakluk kepada kelulusan kawal selia oleh MAS, katanya.

Rang Undang-Undang itu adalah satu pengecualian disebabkan keadaan mendesak kerana perjanjian dengan Allianz di bawah pertimbangan para pemegang saham, tambah Encik Chee.

Beliau menambah skopnya terhad kepada syarikat insurans koperasi atau yang ada koperasi sebagai pemegang saham besar.
Sumber : CNA/NK/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan