Perjanjian dagangan bebas SG-China dipertingkat antara 24 dimeterai di mesyuarat peringkat tinggi tahunan dua hala

Mesyuarat Majlis Bersama Kerjasama Dua Hala (JCBC) ke-19 diadakan di Hotel Hilton Bandar Eko Tianjin pada 7 Dis 2023. (Gambar: CNA/Louisa Tang)
Perjanjian itu adalah salah satu daripada 24 perjanjian dan memorandum persefahaman (MOU) yang dimeterai antara Singapura dan China, sekali gus yang terbanyak dicapai kebelakangan ini.
Pada tahun lalu, 19 perjanjian dimeterai antara kedua-dua negara. Ia meliputi bidang seperti kemampanan, pendidikan, perdagangan, jaminan bekalan makanan dan jagaan kesihatan.
Perjanjian itu diumumkan di mesyuarat Majlis Bersama Kerjasama Dua Hala (JCBC) ke-19 yang diadakan di Hotel Hilton Bandar Eko Tianjin. Ia dipengerusikan bersama oleh Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong dan Naib Perdana Menteri China Ding Xuexiang.
JCBC merupakan forum tahunan peringkat tertinggi antara China dan Singapura, bertujuan untuk mengkaji semula kerjasama antara kedua-dua negara dan mencorakkan hala tuju kerjasama.
Dalam ucapannya semasa membuka tirai mesyuarat JCBC itu, Naib Perdana Menteri Ding berkata beliau telah mengadakan "rundingan yang sangat baik" dengan Encik Wong serta delegasi Singapura, yang termasuk beberapa menteri, di sebuah mesyuarat dua hala yang diadakan sebelum itu pada Khamis.
"Mesyuarat mekanisme hari ini akan memberi tumpuan kepada tiga kata kunci dalam hubungan kami: Menyeluruh, bermutu tinggi dan berteraskan masa depan," tambah Naib Perdana Menteri Ding, merujuk kepada kerjasama dua hala Singapura-China yang dipertingkat.
"Kami semua berharap menerusi mesyuarat ini, kami dapat mewujudkan landskap baharu bagi kerjasama China-Singapura yang saling membawa manfaat dalam era baharu."
Encik Wong, yang sedang melakukan lawatan empat hari ke Beijing dan Tianjin, berkata delegasi Singapura "sangat berbesar hati" untuk menghadiri mesyuarat sulung JCBC, yang diadakan secara fizikal sejak pandemik COVID-19 melanda.
Projek Bandar Eko Tianjin China-Singapura meraikan ulang tahun ke-15 tahun ini. Encik Wong menyifatkannya sebagai "projek berwawasan yang bertujuan membangunkan model pembangunan bandar yang mampan".
Satu lagi perjanjian yang diumumkan pada Khamis merupakan sebuah perjanjian bagi perjalanan bebas visa selama 30 hari antara Singapura dan China, yang dijadual dilaksanakan pada awal 2024.
Pejabat Perdana Menteri Singapura (PMO) menyatakan pada Khamis bahawa Encik Wong dan Naib Perdana Menteri Ding bersetuju semasa mesyuarat JCBC itu bahawa kerjasama antara kedua-dua negara berbentuk "menyeluruh dan progresif", dan kedua-dua pihak harus "terus mengamalkan pendekatan ke hadapan".
CSFTA PERTINGKAT PROTOKOL
Di bawah Perjanjain Perdagangan Bebas China-Singapura (CSFTA), Singapura akan menikmati akses pasaran yang lebih besar bagi sektor perkhidmatan China, kata Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) dalam satu kenyataan media.
China komited untuk tidak membataskann had ekuiti asing bagi pelabur Singapura dalam 22 sektor seperti binaan, runcit dan borong, serta perkhidmatan seni bina dan perancangan bandar.
Pada 2021, China merupakan rakan dagang keempat terbesar Singapura dalam perkhidmatan manakala, Singapura merupakan rakan dagang ketiga terbesar di China.
Pelabur dan pembekal perkhidmatan Singapura akan "juga menikmati peraturan yang lebih bebas dan telus bagi memastikan peluang yang sama rata untuk mereka melabur dan berdagang dengan China", kata MTI.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.