Skip to main content

Singapura

Perjanjian baharu bantu syarikat SG perluas perniagaan ke Mexico

Anggaran Waktu Membaca:
Perjanjian baharu bantu syarikat SG perluas perniagaan ke Mexico
Tangkapan skrin video Mediacorp.
Diterbitkan : 03 Dec 2025 07:15PM Dikemas Kini : 03 Dec 2025 07:16PM
SINGAPURA: Syarikat-syarikat Singapura akan mempunyai lebih banyak peluang untuk bekerjasama dengan firma-firma Mexico, serta memperluaskan perniagaan di negara itu.

Ia dapat dicapai menerusi satu perjanjian baharu yang dimeterai antara Persekutuan Perniagaan Singapura dan badan serupa dari Mexico, COMCE.

Presiden Tharman Shanmugaratnam, yang kini di Mexico untuk lawatan rasmi empat hari, berkata syarikat-syarikat tempatan sedang meneroka peluang perniagaan baharu di Mexico, terutamanya dalam sektor-sektor seperti pengilangan canggih, komoditi pertanian dan huraian teknologi kewangan.

Antara syarikat Singapura yang sudah pun bertapak di Mexico ialah DiMuto, yang menggunakan teknologi untuk meningkatkan kecekapan dan ketelusan rantaian bekalan agromakanan.

Misalnya, dengan menggunakan kod QR bersama kamera yang dikuasai AI,
DiMuto membantu syarikat pertanian untuk menilai mutu hasil produk dan mengesan asal-usulnya.

Ini dapat bantu mengurangkan pertikaian berhubung produk yang rosak atau hilang.

Walaupun pasaran Mexico kini membentuk sekitar 90 peratus daripada perniagaannya, bukan mudah untuk syarikat itu menebarkan sayap dalam pasaran tersebut.

Pengasas dan CEO DiMuto Gary Loh berkata: "Mereka yang berada di sektor pertanian rata-rata agak takut untuk menggunakan teknologi. Namun, apa yang kami sudah bangunkan benar-benar mudah, boleh digunakan dengan cepat.

"Saya fikir, manfaatnya ialah apabila kami dapat lihat, tersebarnya khabar bahawa teknologi ini tidak begitu rumit, dan benar-benar membantu. Dan lebih penting lagi, ia membolehkan mereka untuk mempunyai data yang sebelum ini ditulis di atas kertas."

Perjanjian yang dimeterai SBF dan COMCE bertujuan membantu lebih banyak syarikat meraih manfaat daripada pasaran Mexico yang sedang berkembang.

Perjanjian itu mengesahkan komitmen kedua-dua persekutuan untuk membangunkan para peniaga secara bersama, dengan mengembangkan kerjasama di kedua-dua negara.

Bercakap di Forum Perniagaan Mexico-Singapura, Presiden Tharman berkata adalah penting untuk mempelbagai dan menjalin rangkaian yang meluas di tengah-tengah aturan ekonomi sejagat yang tidak menentu.

"Peluang perniagaan bertambah ketara sedang kita menghubungkan kedua-dua rantau kita. Peluang dalam perniagaan makanan, dalam mengembangkan rantaian bekalan baharu dan berdaya tahan, dalam pengilangan canggih, dalam peralihan kepada ekonomi karbon rendah, dan dalam mengamalkan AI serta meningkatkan daya penghasilan di setiap sektor ekonomi. Singapura dan Mexico adalah pemangkin dalam hal ini," kata Presiden Tharman.

Namun, masih terdapat cabaran.

Jarak jauh antara Singapura dengan Mexico boleh meningkatkan kos logistik.

Dalam pada itu, ketidaktentuan berhubung tarif Amerika Syarikat menyebabkan syarikat-syarikat tempatan mengambil pendekatan lebih berhati-hati dalam membuat rancangan peluasan.

Pengarah Eksekutif, Bahagian Perniagaan Antarabangsa, SBF Soo Wei-Chieh berkata: "Mexico adalah pasaran yang besar. Banyak SME Singapura, khususnya, tidak terbiasa dengan struktur persekutuan, perbezaan di peringkat negeri, undang-undang buruh serta kelompok perindustrian setempat yang boleh dimanfaatkan dan bergabung.

"Perbezaan bahasa dan budaya juga adalah sesuatu yang perlu diatasi syarikat-syarikat Singapura. Perlu juga mempunyai rakan kongsi yang baik untuk saling bekerjasama dalam usaha menembusi pasaran."

Untuk menangani pelbagai cabaran tersebut, SBF menyatakan pihaknya akan bekerjasama dengan rakan-rakan setara di Mexico untuk berkongsi pengetahuan sektor dan membina rangkaian yang memudahkan pertukaran perniagaan.
Sumber : CNA/AI/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita