Perjanjian baharu bagi SEZ di Johor sasar tarik pelaburan global, cipta 20,000 pekerjaan kemahiran tinggi
Satu Zon Ekonomi Khas di Johor yang dikendalikan bersama oleh Malaysia dan Singapura akan menyasarkan untuk menarik pelaburan global, dengan kedua-dua negara turut merancang mewujudkan 20,000 pekerjaan berkemahiran dalam tempoh lima tahun ini.
Sasarannya adalah untuk memudahkan pengembangan 50 projek dalam tempoh lima tahun yang pertama dan mencapai 100 projek dalam tempoh 10 tahun pertama.
Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Lawrence Wong menyaksikan pemeteraian perjanjian mengenai Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) di Rahat Pemimpin Malaysia-Singapura yang ke-11 di Putrajaya pada Selasa (7 Jan).
Menteri Ekonomi Malaysia Rafizi Ramli memberitahu para wartawan dalam satu taklimat pada Jumaat lalu (3 Jan) bahawa perjanjian JS-SEZ itu akan membentangkan kewajipan pembiayaan bagi kedua-dua negara, di mana Malaysia akan membiayai prasarana dan Singapura akan menyediakan biaya bagi memudahkan pelaburan.
JS-SEZ itu juga akan beroperasi berdasarkan projek, kata Encik Rafizi.
Ini bermakna prasarana akan dibina sebagai projek dan pelaburan akan dipersetujui.
Ini berbeza daripada aturan konvensional di mana infrastruktur dibina sebelum pelaburan diperolehi.
"Ia lebih cepat kerana para pelabur mempunyai fleksibiliti untuk mengenal pasti kawasan mana yang mereka fikir lebih sesuai untuk menjalankan operasi mereka, daripada cara tradisional di mana anda hanya boleh ke sana kerana ia satu-satunya tempat pemerintah telah membuat pelaburan prasarana dan seterusnya," katanya.
Berucap mengenai SEZ, Encik Wong menggalakkan para pelabur supaya melihat "pelengkap" antara Johor dengan Singapura sebagai satu ekosistem keseluruhan yang boleh membawa "banyak manfaat".
"Saya rasa terdapat banyak kekuatan yang boleh kita manfaatkan dari kedua-dua pihak yang membolehkan kita untuk meningkatkan cadangan nilai dan menjadikan (JS-SEZ) lebih berdaya saing dan tempat menarik untuk perniagaan menjalankan operasi," katanya di persidangan media bersama Encik Anwar pada Selasa.
"Ia bukan sekadar perniagaan-perniagaan Singapura ke Johor, tetapi ia mengenai kedua-dua pihak bekerjasama untuk menarik projek pelaburan baharu dari seluruh dunia."
Encik Anwar menambah JS-SEZ itu adalah "inisiatif unik" dan jarang sekali kedua-dua negara dapat bekerjasama secara berpasukan.
"Ia satu pencapaian yang jarang berlaku, dan kami sedang mengembangkan sentimen dan dasar ini ke arah sub serantau dan ASEAN secara keseluruhan," katanya.
Malaysia akan menyediakan pakej insentif cukai bagi JS-SEZ, yang termasuk kadar cukai korporat khas bagi syarikat-syarikat yang melaksanakan pelaburan baharu dalam aktiviti dengan penambahan nilai tinggi dan pertumbuhan tinggi dalam JS-SEZ, kata Encik Rafizi.
Beliau juga mendedahkan JS-SEZ akan menawarkan kadar cukai pendapatan peribadi khas, yang akan diumumkan oleh kementerian kewangan Malaysia.
Walaupun Encik Rafizi sedia maklum terhadap keprihatinan bahawa warga Malaysia mungkin hanya akan mendapat pekerjaan sektor pengeluaran yang membayar gaji lebih rendah berbanding dengan rakyat Singapura yang meraih pendapatan lebih tinggi menerusi pekerjaan berkemahiran, beliau berkata perjanjian JS-SEZ dan mukadimahnya secara khusus menyatakan pelaburannya harus bernilai tinggi dan berteknologi tinggi.
"Jadi hal ini telah ditangani secara berprinsip bahawa kedua-dua pemerintah hanya menerima jenis pelaburan yang kita mahukan di mana ia perlu memenuhi nilai dan kandungan teknikal tertentu," katanya.
"Kerana ini bermakna bagi kemudahan pengeluaran sedemikian, untuk pelaburan sedemikian dapat dilaksanakan, ia perlukan pekerja yang berkemahiran.
"Dan oleh itu, jenis pekerja berkemahiran itu, walaupun mungkin tidak sama nilainya dengan Singapura, sudah tentu lebih baik daripada yang mungkin sedia ada dalam persekitaran semasa pengilangan kita di Malaysia."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.