Perjanjian air dengan S'pura masih boleh dibincang dan disemak semula, kata Menteri Luar M'sia
Masih ada ruang untuk menyemak semula perjanjian air antara Singapura dengan Malaysia, kata Menteri Luar Malaysia Saifuddin Abdullah pada Isnin (30 Jul).
Menteri Ehwal Luar Malaysia Saifuddin Abdullah (kiri) dan Menteri Ehwal Luar Singapura Vivian Balakrishnan. (Gambar: Facebook/Vivian Balakrishnan)
SINGAPURA: Masih ada ruang untuk menyemak semula perjanjian air antara Singapura dengan Malaysia, kata Menteri Luar Malaysia Saifuddin Abdullah pada Isnin (30 Jul).
Ini meskipun Singapura sudah menjelaskan bahawa Malaysia sudah hilang haknya untuk menyemak harga air pada 1987 di bawah perjanjian asal yang dimeterai pada 1962.
"Terdapat klausa mengenai semakan yang pastinya akan kami teliti," kata Encik Saifuddin seperti ditukil oleh agensi berita Bernama.
"Menurut perjanjian itu, kandungannya boleh disemak semula selepas 25 tahun. Ini tidak bermakna pada tahun ke-25 ... jadi, kami masih boleh berbincang."
Sungguhpun demikian, beliau akur bahawa Singapura berpegang kepada 'perspektifnya yang tersendiri mengenai perkara itu'.
"(Singapura) membangkitkan isu rawatan air. Saya rasa saranan-saranan dan cadangan balasnya boleh dirundingkan apabila kita berbincang secara rasmi kelak ... tentunya kami boleh meneruskan perbincangan," kata Encik Saifuddin yang mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Halimah Yacob, Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan rakan sejawatannya Dr Vivian Balakrishnan pada Isnin sebagai sebahagian daripada lawatan rasminya ke Singapura.
Harga air mentah yang diimport oleh Singapura dari Malaysia menjadi topik hangat selepas Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad dipetik sebagai berkata bahawa harga yang dikenakan sekarang adalah terlalu mahal dan harus disemak semula.
Singapura membeli air dari Malaysia di bawah perjanjian air yang dimeterai pada 1961 dan 1962. Tarikh habis tempoh bagi perjanjian pertama adalah pada 2011, sementara perjanjian kedua pula akan berakhir pada 2061.
Awal bulan ini, Dr Balakrishnan memberitahu Parlimen bahawa perjanjian yang dimeterai pada 1962, seperti yang terkandung dalam Perjanjian Perpisahan, mengiktiraf Singapura sebagai sebuah negara berdaulat pada 1965 dan perjanjian itu kemudian didaftarkan dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Beliau menambah, sebarang pencabulan akan mencabar perjanjian tersebut dan perjanjian itu "membentuk asas kewujudan Singapura sebagai sebuah negara merdeka yang berdaulat".
Dr Balakrishnan turut menarik perhatian bahawa Malaysia sendiri akur bahawa ia tidak meminta untuk menyemak semula perjanjian berkenaan pada 1987 kerana "ia meraih manfaat daripada harga yang dipersetujui".
Dr Mahathir, semasa kali pertama menyandang jawatan perdana menteri, ada mengatakan pada 2002 bahawa Malaysia tidak mahu menyemaknya ketika itu kerana negara itu tahu bahawa sebarang semakan akan menjejas harga air yang dirawat yang kemudian akan dijual kepada Malaysia.
Buat masa ini, Johor membeli air yang dirawat pada harga 50 sen (S$0.17) bagi setiap 1,000 gelen, yang membentuk sebahagian daripada kos Singapura untuk merawat air.
Selain isu air, Encik Saifuddin juga membincangkan projek Kereta Api Laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR) dalam mesyuaratnya bersama para pemimpin Singapura, lapor Bernama.
Menurut Encik Saifuddin, beliau sudah memberitahu para pemimpin Singapura bahawa Menteri Ehwal Ekonomi Azmin Ali sudah menulis kepada rakan sejawatannya dari Singapura pada 23 Julai yang memaklumkan bahawa Encik Azmin akan ke Singapura untuk membincangkan perkara itu.
"(Mesyuarat) itu akan berlangsung tidak lama lagi ... kami mahu membincangkannya," kata Encik Saifuddin tanpa memberikan tarikh bagi rundingan dua hala itu.
Putrajaya belum lagi menyampaikan rancangannya secara rasmi kepada Singapura.
Kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada petang semalam menyatakan bahawa Presiden Halimah, PM Lee dan Dr Balakrishnan mengukuhkan lagi hubungan dua hala semasa mengadakan rundingan dengan Encik Saifuddin dan kedua-dua pihak bersetuju untuk mempertingkatkan kerjasama.
Kenyataan itu bagaimanapun tidak memberikan perincian mengenai respons Singapura terhadap komen-komen Encik Saifuddin berhubung isu air dan HSR.
Encik Saifuddin dijadual mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri Teo Chee Hean hari ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.