Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perjalanan menggunakan kenderaan privet merosot buat pertama kalinya sejak 1997

Perjalanan menggunakan kenderaan privet turun buat pertama kalinya dalam hampir dua dekad pada 2016, meskipun jumlah permintaan bagi perjalanan menggunakan pelbagai jenis pengangkutan bertambah dalam tahun yang sama.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 31 Aug 2018 03:35PM Dikemas Kini : 01 Sep 2018 12:41AM

SINGAPURA: Perjalanan menggunakan kenderaan privet turun buat pertama kalinya dalam hampir dua dekad pada 2016, meskipun jumlah permintaan bagi perjalanan menggunakan pelbagai jenis pengangkutan bertambah dalam tahun yang sama.

Demikian menurut satu tinjauan Penguasa Pengangkutan Darat yang dikeluarkan hari ini (31 Ogos).

Tinjauan Perjalanan Keluarga (HITS) terbaru yang dijalankan antara 2016 dan 2017 menunjukkan jumlah perjalanan naik 5 peratus berbanding tahun 2012 kepada kira-kira 15.4 juta.

Perjalanan menggunakan bas dan kereta api naik dari 5.5 juta pada 2012 kepada jumlah rekod 6.1 juta pada 2016. Sebaliknya, perjalanan menggunakan kenderaan privet merosot buat pertama kalinya sejak 1997.

Tinjauan itu juga menunjukkan, perjalanan harian menggunakan kenderaan privet mencapai 4.2 juta pada 2016, 13 peratus lebih rendah berbanding tahun 2012 sebanyak 4.8 juta.

Semasa tempoh yang sama, kadar pemilikan kereta juga jatuh dengan hanya 39 peratus keluarga melaporkan mereka memiliki kereta berbanding 46 peratus pada 2012.

LTA menyatakan perangkaan itu membayangkan orang ramai kini lebih memilih pengangkutan awam untuk perjalanan mereka terutama sekali pada waktu sibuk atau bagi perjalanan yang mengambil masa kurang sejam.

Semasa waktu sibuk sebelah pagi, jumlah penduduk yang menggunakan pengangkutan awam mencecah 67 peratus pada 2016 berbanding 63 peratus pada 2012.

Menurut LTA, perangkaan itu meletakkan Singapura "di laluan kukuh untuk mencapai sasaran Pelan Induk Pengangkutan Darat 2013 yang menetapkan 75 peratus perjalanan semasa waktu sibuk dilakukan menggunakan pengangkutan awam menjelang 2030".

Tinjauan itu mendapati perjalanan harian menggunakan kereta api naik kepada 2.7 juta dari 2.3 juta pada 2012 manakala perjalanan menggunakan bas juga meningkat dari 3.2 juta pada 2012 kepada 3.4 juta pada 2016.

LTA menyatakan peningkatan ini disebabkan rangkaian kereta api yang diperluas, lebih banyak kereta api ditambah kepada sistem rel serta tambahan 1,000 bas baru dan 80 laluan bas baru di bawah Program Peningkatan Perkhidmatan Bas (BSEP).

Jumlah perjalanan menggunakan teksi dan kereta sewa privet pula meningkat dari 0.8 juta pada 2012 kepada 1 juta pada 2016 dirangsang oleh wujudnya pengendali kereta sewa privet seperti Grab dan Uber.

Sekitar 2.6 juta orang menyatakan dengan adanya lebih banyak laluan pejalan kaki berbumbung dan laluan berbasikal disediakan, berjalan kaki, berbasikal atau menggunakan alat mobiliti peribadi menjadi pilihan lebih mudah bagi perjalanan singkat.

LTA mengumumkan usaha mengumpulkan pandangan umum untuk membuat Pelan Induk Pengangkutan Darat yang baru bermula esok (1 September) menerusi pelbagai wadah online serta perbincangan dengan kumpulan-kumpulan fokus.

Mulai hari ini, LTA akan memulakan tinjauan online di laman web miliknya untuk orang ramai berkongsi pandangan mereka mengenai isu-isu pengangkutan darat.

Mereka yang mahu berkongsi lebih banyak idea boleh menyatakan minat untuk menyertai perbincangan selanjutnya.  

Sumber : CNA/SU/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan