Skip to main content

Singapura

Perjalanan kerjaya dan keputusan penting Hakim Besar Sundaresh Menon

Anggaran Waktu Membaca:
Perjalanan kerjaya dan keputusan penting Hakim Besar Sundaresh Menon

Hakim Besar Sundaresh Menon berucap semasa Majlis Pembukaan Tahun Perundangan pada 12 Januari 2026. (Gambar: CNA/Wallace Woon)

Diterbitkan : 17 Jul 2026 11:38PM
SINGAPURA: Sebelum dilantik sebagai Hakim Besar keempat Singapura, Sundaresh Menon sudah pun membina antara kerjaya perundangan paling cemerlang di negara ini. Beliau menjadi rakan kongsi sebuah firma guaman pada usia 27 tahun, membantu menubuhkan salah sebuah firma guaman terbesar di Singapura dan kemudian berkhidmat sebagai Peguam Negara.

Sepanjang lebih 14 tahun menerajui badan kehakiman, beliau menyelia pelbagai pembaharuan bagi memodenkan sistem mahkamah di samping mempengerusikan beberapa kes penting melibatkan maklumat palsu online, Seksyen 377A dan hukuman mati yang mencorakkan landskap perundangan Singapura.

Hakim Besar Menon, 64 tahun, akan bersara pada 26 Februari 2027 selepas lebih 14 tahun menerajui Mahkamah Agung. Beliau akan digantikan oleh Hakim Mahkamah Rayuan Sushil Nair, 62 tahun.

Lulusan Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Harvard Law School itu baru sahaja berusia 27 tahun apabila beliau menjadi rakan kongsi firma guaman Shook Lin & Bok pada 1990.

Selepas membantu menubuhkan WongPartnership pada 1992, beliau kemudiannya menyertai Rajah & Tann, di mana beliau dilantik sebagai rakan kongsi pengurusan pada 2009.

Kerjayanya dalam perkhidmatan awam bermula pada 2010 apabila beliau dilantik sebagai Peguam Negara. Tidak lama kemudian, pada 2012, beliau dilantik sebagai Hakim Besar keempat Singapura pada usia 50 tahun.

Pembaharuan sistem keadilan keluarga merupakan antara tumpuan utama Hakim Besar Menon sebaik sahaja beliau memegang jawatan tersebut. Sepanjang tempoh perkhidmatannya, Mahkamah Keadilan Keluarga, termasuk Mahkamah Belia, mengguna pakai model keadilan terapeutik.

Pendekatan itu mengubah penghuraian pertikaian keluarga dan pengendalian pesalah muda daripada menggunakan pendekatan yang bertentangan kepada pendekatan yang menumpukan kepada penyelesaian masalah dan pemulihan.

Menjelaskan falsafah tersebut, beliau menyamakan peranan hakim mahkamah keluarga seperti "seorang doktor yang memberi tumpuan dalam mendiagnosis masalah, membina kepercayaan dan menunjukkan empati, serta mempunyai kebijaksanaan untuk memilih rawatan yang sesuai bagi membantu proses pemulihan".

Antara perubahan penting yang diperkenalkan ialah laluan perceraian yang dipermudahkan pada 2015, sekali gus membolehkan proses perceraian diselesaikan dengan lebih pantas, lebih murah dan dengan jumlah pertikaian yang lebih sedikit.

Di bawah kepimpinan Hakim Besar Menon, badan kehakiman turut mengambil langkah untuk memperluaskan akses kepada keadilan, khususnya bagi para individu yang hadir ke mahkamah tanpa diwakili peguam.

Ia termasuk penggunaan istilah yang lebih mudah difahami, seperti menggantikan istilah "sepina" dengan "perintah untuk menghadirkan diri ke mahkamah atau mengemukakan dokumen".

Satu lagi inisiatif oleh Hakim Besar Menon ialah penubuhan Kolej Kehakiman Singapura pada 2015 bagi memusatkan latihan kehakiman, yang sebelum itu dikendalikan secara berasingan oleh setiap mahkamah.

Penubuhan Mahkamah Komersial Antarabangsa Singapura (SICC) juga bermula daripada cadangan Hakim Besar Menon pada 2013.

SICC dilancarkan dua tahun kemudian, sekali gus mengukuhkan kedudukan Singapura sebagai lokasi berkecuali bagi penyelesaian pertikaian komersial antarabangsa.

Beliau turut membimbing mahkamah melalui pelbagai perubahan teknologi seperti prosiding jarak jauh dan penyediaan khidmat online semasa pandemik COVID-19, dan penggunaan alat kecerdasan buatan (AI) oleh badan kehakiman.

Dalam satu temu bual bersama media tempatan pada Mei lalu, beliau memberi amaran bahawa media sosial berpotensi "menggugat kewibawaan" kerana ia membolehkan sesiapa sahaja yang mempunyai capaian yang meluas mengemukakan versi fakta mereka sendiri.

Menurut beliau, itulah antara sebab badan kehakiman memastikan setiap keputusan mahkamah disertakan dengan sebab-sebab yang jelas dan dihuraikan dengan cara yang mudah difahami orang awam.

"Saya sentiasa menegaskan bahawa penghakiman ditulis untuk pelbagai golongan pembaca, dan bukannya semata-mata untuk membentuk undang-undang atau bercakap kepada para peguam," kata beliau.

"Penghakiman juga ditulis untuk pihak-pihak yang terlibat, dan yang lebih penting lagi, ia ditulis untuk rakyat negara ini."

Mantan Hakim Choo Han Teck berkata beliau berasa "bertuah" kerana mengenali Hakim Besar Menon dalam pelbagai peranan, dari zaman pengajian di sekolah undang-undang sehingga kini.

"Para peguam akan mengingati beliau disebabkan oleh kebijaksanaan dan wawasannya, dan saya juga akan sentiasa mengingati beliau sebagai seorang sahabat," kata hakim yang sudah bersara itu kepada Mediacorp.

PENGHAKIMAN YANG PENTING

Sebagai seorang hakim, Hakim Besar Menon mempengerusikan beberapa kes penting yang memberi kesan besar terhadap cara undang-undang diterapkan dalam kehidupan masyarakat.

Pada 2021, beliau mengetuai panel tiga hakim dalam mengekalkan perlembagaan Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Online (POFMA).

Beliau tidak bersetuju dengan hujah Peguam Negara bahawa sesuatu kenyataan boleh dianggap palsu sebelum mahkamah membuat keputusan mengenainya. Menurut beliau, ia adalah sesuatu yang "tidak dapat dipertahankan" untuk menyatakan sesuatu kenyataan itu palsu hanya kerana seorang menteri mengenal pastinya sedemikian.

"Lagipun, menteri itu mungkin tersilap," kata beliau dalam penghakiman bagi rayuan yang difailkan oleh The Online Citizen dan Parti Demokratik Singapura (SDP).

"Kebenaran dan kepalsuan akhirnya merupakan perkara yang mesti ditentukan oleh mahkamah berdasarkan bukti."

Pada 2022, beliau mengetuai panel lima hakim yang mengekalkan Perlembagaan Seksyen 377A, yang menjadikan hubungan seks sesama lelaki sebagai satu kesalahan, dalam cabaran undang-undang yang dibawa oleh tiga lelaki 'gay'.

Mahkamah tertinggi menolak cabaran tersebut kerana mendapati Seksyen 377A "tidak boleh dikuatkuasakan", kecuali Peguam Negara mengubah pendiriannya untuk tidak mendakwa perbuatan sedemikian "antara dua orang dewasa yang saling bersetuju di tempat privet".

Dalam penghakiman tersebut, Hakim Besar Menon turut menghuraikan pandangannya berhubung sama ada proses politik atau tindakan undang-undang adalah lebih sesuai untuk menghuraikan isu yang memecahbelahkan masyarakat.

"Kelebihan terbesar proses politik - malah sebab utama kewujudannya - ialah keupayaannya untuk menampung kepelbagaian kepentingan dan pandangan," kata beliau.

"Walaupun ada yang berpendapat proses politik tidak melaksanakan fungsi itu dengan sempurna, mahkamah tidak boleh mengambil alih peranan tersebut kerana ia bukan tanggungjawab Perlembagaan mahkamah untuk mendamaikan perbezaan dalam masyarakat.

"Ini ada sebab yang kukuh kerana litigasi merupakan proses yang berbentuk pertentangan bagi menghasilkan keputusan menang atau kalah.

"Sebaliknya, proses politik berusaha menjadi perantara - mencari kompromi dan kata sepakat supaya tidak ada satu pihak yang perlu menanggung kekalahan sepenuhnya."

Seksyen 377A kemudian dimansuhkan parlimen pada tahun yang sama, bersama pindaan Perlembagaan bagi melindungi takrifan perkahwinan sebagai melibatkan hubungan heteroseksual.

Pada 2019, Hakim Besar Menon mengetuai panel lima hakim yang menolak rayuan pengedar dadah Nagaenthran Dharmalingam yang dijatuhi hukuman mati.

Keputusan itu mewujudkan "ujian Nagaenthran" bagi menentukan sama ada seseorang pengedar dadah mengalami gangguan mental yang menjejaskan tanggungjawabnya secara ketara terhadap kesalahan tersebut.

Jika keperluan ujian itu dipenuhi, pengedar dadah yang dijatuhi hukuman mati boleh dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup sebagai ganti.

Nagaenthran gagal memenuhi keperluan ujian tersebut di Mahkamah Rayuan dan dihukum mati pada 2022.

Pada tahun yang sama, Hakim Besar Menon turut bersidang dalam kes seorang lagi banduan hukuman mati, Roszaidi bin Osman, di Mahkamah Rayuan.

Mahkamah Rayuan membuat keputusan yang jarang berlaku apabila panel hakim berpecah tiga lawan dua, dengan Hakim Besar Menon bersama dua hakim lain membatalkan hukuman mati terhadap Roszaidi dan menggantikannya dengan hukuman penjara seumur hidup.

Hakim Besar Menon turut berkongsi penghakiman majoriti yang menghuraikan secara terperinci pergelutan Roszaidi selama beberapa dekad dengan penyalahgunaan dadah sejak berusia 10 tahun, serta bagaimana kemurungan dan gangguan penggunaan bahan menjejaskan keupayaannya untuk menahan keinginan untuk mendapatkan dan menggunakan dadah.
Sumber : CNA/AZ/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita