Peristiwa bersalin ketika terkandas dalam kesesakan AYE tular; pasangan ini perjelas kisah sebenar
Bagi pasangan suami isteri Encik Mohammad Syazwan El Rani Mohammad dan Cik Nurul Radhiah Mohd Ali, tanggal 21 Julai 2020 pastinya terukir dalam kenangan sebagai hari yang amat luar biasa.
(Gambar: Izzah Hafsah/BERITAmediacorp)
SINGAPURA: Bagi pasangan suami isteri Encik Mohammad Syazwan El Rani Mohammad dan Cik Nurul Radhiah Mohd Ali, tanggal 21 Julai 2020 pastinya terukir dalam kenangan sebagai hari yang amat luar biasa.
Pada sekitar 10.45 malam, Cik Radhiah terpaksa melahirkan sendiri bayi lelakinya tanpa suami di sisi di bahagian belakang kereta di tengah-tengah Ekspreswe Ayer Rajah (AYE) yang sesak ketika itu.
Kereta yang dipandu oleh bapa Cik Radhiah tidak dapat meneruskan perjalanan ke Hospital Universiti Nasional (NUH) selama sekitar setengah jam akibat kemalangan antara sebuah lori kontena dengan kereta yang menghadang hampir kesemua lorong.
“Saya rasa kepalanya seperti sudah keluar. Saya terfikir bagaimana hendak sambut bayi ini? Saya terus menariknya keluar. Dalam fikiran saya, yang paling penting ialah bayi harus menangis. Jadi, saya cepat-cepat menepuknya. Dia menangis dan saya terus memeluknya. Saya tidak tahu hendak buat apa,” kongsi Cik Radhiah.
Menyedari bahawa cucunya sudahpun dilahirkan, bapa Cik Radhiah bergegas keluar dari kereta untuk meminta bantuan daripada para responden kecemasan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) yang ketika itu sudahpun berada di tempat kejadian untuk menangani kemalangan tersebut.
SUAMI TIDAK TAHU ISTERI SUDAH BERSALIN
Pada waktu itu, Encik Syazwan tidak dapat bersama isterinya kerana perlu menghantar anak sulung mereka ke rumah ibunya di Yishun dahulu untuk dijaga.
Menurut ustaz berusia 28 tahun itu, beliau langsung tidak tahu-menahu bahawa isteri dan bapa mertuanya terperangkap dalam kesesakan jalan raya dan bapa mertuanya pula tidak memberitahunya kerana tidak mahu ia merisaukan beliau.
Perkara itu hanya disedari apabila Encik Syazwan sendiri menaiki teksi dan bertembung dengan kesesakan yang sama dalam perjalanan untuk bertemu mereka di NUH.
“Bila kami mendekati tempat kemalangan itu, pemandu teksi saya mengatakan bahawa kemalangan itu nampak seperti kemalangan biasa sahaja. Saya melihat kereta bapa mertua saya yang berwarna merah di situ. Saya tertanya-tanya apa yang sudah terjadi ini?” kongsi beliau.
Seribu satu pertanyaan mencelarukan fikiran beliau ketika itu. Alangkah terkejutnya Encik Syazwan apabila melihat isterinya sendiri sedang duduk di dalam ambulans yang menghadap lorong-lorong di lebuh raya berkenaan. Beliau dengan segera “melompat” keluar dari teksi untuk ke sisi isterinya.
“Saya mendekati Radhiah dan nampak yang beliau sudah memegang bayi”.
MUKA BAYI KELIHATAN KEBIRU-BIRUAN
Cik Radhiah dan bayi lelakinya dikejarkan dengan ambulans ke Hospital Wanita & Kanak-Kanak KK (KKH) untuk bantuan perubatan dan pemeriksaan lanjut.
Akibat dilahirkan dalam ruang yang sempit, muka bayi yang diberi nama Ubayy El Rani Bin Mohammad Syazwan El Rani kelihatan kebiru-biruan (facial congestion) dan mengalami ruptur permukaan (superficial rupture) pada bahagian mata.
Mujur, kedua-dua keadaan tersebut tidak menjejas kesihatan bayi dalam jangka panjang. Cik Radhiah juga tidak mengalami sebarang komplikasi.
TIDAK SANGKA PERISTIWA MEREKA DIJADIKAN BAHAN BERITA
Dua hari setelah berlaku kejadian tersebut, sedang Encik Syazwan bersiap sedia untuk menemani isterinya di hospital, beliau menerima mesej daripada Cik Radhiah yang mengongsi beberapa artikel berita tentang peristiwa mereka di AYE.
Sungguhpun demikian, artikel-artikel dalam bahasa Inggeris dan Mandarin tersebut ditulis berdasarkan laporan saksi dan menurut pasangan itu laporan-laporan media yang diterbitkan mengandungi beberapa fakta yang kurang tepat.
(Gambar ihsan: Mohammad Syazwan El Rani Mohammad)
“(Laporan-laporan) tersebut mengatakan ada saksi yang melihat seorang lelaki dalam keadaan marah dan cemas keluar dari kereta dan memekik “Isteri saya sudah bersalin! Apabila saya membacanya, saya memikir itu bukan saya,” kongsi Encik Syazwan sambil tertawa.
LAPORAN TIDAK GAMBARKAN KEADAAN SEBENAR
Lelaki yang dilihat itu sebenarnya bapa mertuanya. Di samping itu, Cik Radhiah dan bapanya juga terkandas dalam kesesakan itu selama sekitar 30 minit saja dan bukan dua jam seperti yang digambarkan dalam sesetengah laporan tersebut.
Pada 28 Julai, genap seminggu selepas Ubayy dilahirkan ke dunia ini dalam keadaan yang tidak diduga, Encik Syazwan memuat naik catatan ke media sosial untuk mengongsi kisah kelahiran luar biasa cahaya matanya.
Catatan tersebut dikongsi secara meluas dan ia turut mendapat perhatian para responden kecemasan daripada Balai Bomba Central yang membantu Cik Radhiah dan bayinya pada hari itu. Encik Syazwan bersyukur kerana dapat menghubungi mereka untuk menyampaikan ucapan terima kasih yang tidak terhingga.
Seorang lagi wira yang ingin dihubungi tetapi belum dapat ditemui hingga ke hari ini ialah pemandu teksi ComfortDelGro, Encik Lim Puay Boon. Malangnya, Encik Syazwan tidak sempat mendapatkan plat nombor teksinya dan sebarang rekod mengenai tempahan Grab tersebut sudah terpadam.
Bagi suri rumah sepenuh masa Cik Radhiah pula, beliau berterima kasih kepada bapanya yang pantas bertindak dan tenang walaupun dalam situasi yang sangat genting. Bagi wanita lain yang mungkin akan bersalin tidak lama lagi, ini nasihat Cik Radhiah:
“Saya rasa jikalau air ketuban sudah pecah, mungkin lebih baik jika (anda) duduk di rumah dan memanggil ambulans sahaja untuk elakkan daripada perkara seperti ini berlaku”.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.