Perisian hasad khas yang tidak pernah dikesan digunakan dalam serangan siber SingHealth
Jawatankuasa Siasatan (COI) meneruskan sesi mendengar keterangan awam mengenai serangan siber terhadap data para pesakit SingHealth.
SINGAPURA: Jawatankuasa Siasatan (COI) meneruskan sesi mendengar keterangan awam mengenai serangan siber terhadap data para pesakit SingHealth.
Lebih banyak perincian mengenai kemahiran dan kecanggihan para penggodam didedahkan dalam sesi tersebut.
Peguam Cara Negara, Kwek Mean Luck, memberikan kenyataan mengenai satu laporan awam yang disiapkan oleh Agensi Keselamatan Siber (CSA) menyusuli keterangan privet dari agensi itu pada awal minggu ini.
Pihak berkuasa menyifatkan para penggodam yang mencerobohi pangkalan data SingHealth sebagai sangat mahir dan canggih.
Laporan awam CSA itu mendedahkan bahawa mereka menggunakan 'malware' atau perisian hasad khas sehinggakan pada mulanya, sebuah syarikat anti virus terkemuka tidak dapat mengesannya sebagai satu ancaman.
Para penggodam itu juga amat bersabar dan sanggup menunggu sehingga empat bulan setelah mendapat akses ke dalam sistem tersebut sebelum melakukan tindakan selanjutnya agar tidak dikesan.
Kelemahan sistem IT SingHealth juga menjadi antara salah satu faktor yang membolehkan serangan siber itu berlaku. Ini termasuk kata laluan yang mudah ditembusi.
Satu lagi faktor adalah kelemahan dalam pengekodan sofwe rekod perubatannya.
Pengerusi Jawatankuasa Siasatan, Richard Magnus, berkata pihaknya cenderung untuk menerima penilaian CSA itu walaupun sidang masih diteruskan.
Menurut Encik Magnus, adalah jelas pada COI bahawa para penggodam mempunyai hanya satu tujuan niat jahat - untuk mencerobohi data dari "aset penting" rangkaian berkenaan, iaitu pangkalan rekod perubatan SingHealth.
Lebih ramai pegawai eksekutif kanan dari Sistem Maklumat Kesihatan Bersepadu dan SingHealth dijangka memberikan keterangan dalam sesi-sesi perbicaraan yang selanjutnya.
Mereka mungkin akan memberikan bukti mengenai langkah-langkah yang sudah diambil bagi memperkukuhkan tahap keselamatan siber dalam sektor jagaan kesihatan awam.
Tarikh bagi sesi selanjutnya belum ditetapkan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.